LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, October 21, 2009

Anwar Ridhwan Sasterawan Negara Ke-10



Anwar Ridhwan bersama anugerah selepas menerima Anugerah Sastera Negara Ke-10 di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Dekan Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Datuk Dr. Mohd. Anuar Rethwan, 60, atau nama penanya Anwar Ridhwan diumum sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-10.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menyampaikan anugerah tersebut kepada tokoh sastera dan bahasa itu yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Turut berangkat pada majlis yang diadakan di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan dekat sini malam ini ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman.

Pemilihan tersebut membolehkan anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu menerima warkah penghormatan negara, wang tunai RM60,000 serta pelbagai kemudahan untuk kegiatan mencipta karya sastera.

Kerajaan turut membeli 50,000 naskah karya beliau untuk diedarkan ke sekolah-sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Dalam ucapannya pada majlis penyampaian anugerah tersebut di sini malam ini, Muhyiddin berkata, pemilihan Anwar berdasarkan sumbangan kreatif dan kesan pemikiran sehingga membentuk tradisi persuratan tersendiri bagi masyarakat negara ini.

Beliau berkata, ketegaran dalam mendalami dan mempertahankan nilai pembinaan negara bangsa yang diperjuangkan menjadi penilaian utama ahli panel untuk memilih penerima anugerah.

''Di samping itu, komitmen sasterawan dalam kegiatan sastera secara berterusan sehingga membentuk tradisi persuratan yang tersendiri serta didukung dan diteruskan oleh generasi penulis juga dijadikan asas penilaian," katanya.

Beliau berkata, pengurniaan Anugerah Sastera Negara merupakan iltizam berterusan kerajaan untuk memberikan pengiktirafan terhadap sumbangan sasterawan dalam usaha memperkukuh dan memartabatkan karya sastera kebangsaan.
Berikutan itu kata beliau, sebagai tanda penghargaan, kerajaan bersetuju untuk menaikkan jumlah ganjaran daripada RM30,000 kepada RM60,000.

Muhyiddin juga menyarankan agar penterjemahan karya Sasterawan Negara dan karya-karya besar yang lain diusahakan dengan lebih terancang.

Menurutnya, akhbar-akhbar berbahasa Melayu juga perlu memberikan ruang lebih luas kepada penyiaran tulisan-tulisan ilmiah berkaitan sastera.

''Karya-karya ini boleh disiarkan di akhbar-akhbar vernakular dan diuar-uarkan di media baru sebagai salah satu kaedah pengembangan dan pemasyarakatan sastera kebangsaan sekali gus mengukuhkan lagi semangat perpaduan 1Malaysia," katanya.

Anwar yang dilahirkan pada 5 Ogos 1949, merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Malaya sebelum memulakan tugas sebagai Pegawai Penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan bersara selaku Pengarah Penerbitan pada tahun 2005.

Antara cerpen beliau yang popular ialah Parasit, Sesudah Perang, Sangkar dan Dunia Adalah Sebuah Apartmen manakala drama pula seperti Orang-orang Kecil serta Yang Menjelma dan Menghilang.

Novel terkenal beliau ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Ogonshoto.

sumber: Utusan Malaysia



No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA