Hari ini umat Islam di seluruh dunia menyambut Ma'al Hijrah, hari kebesaran Islam dalam permulaan takwim Islam. Takwim hijrah ini mengambil iktibar sempena dalam sejarah Rasulullah SAW melakukan hijrah dari kota Makkah Al Mukarramah ke Madinah. Dalam hijrah agung ini terdapat banyak pengajaran dan panduan yang boleh diambil oleh kita sebagai ummah bagi membentuk sikap dengan mencontohi peribadi murni junjungan mulia Rasulullah SAW dan para sahabat.
Seperti yang disebut Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz dalam ceramahnya di Masjid An-Nur, Ulu Kinta baru-baru ini, iaitu tiga watak mukmin yang hebat kerana keyakinan dan keberaniannya dalam peristiwa Hijrah.
- Yang pertama Abu Bakar As-Siddiq sebagai orang dewasa menemani Rasulullah SAW sepanjang penghijrahan dari bumi Makkah ke Yathrib (Madinah);
- Yang kedua Ali bin Abi Talib sebagai orang muda yang menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW ketika baginda dikepung pihak musuh di rumahnya dan
- Yang ketiga Asma sebagai orang perempuan yang menyediakan makanan dan khabar berita kepada Rasulullah SAW dan Abu Bakar sepanjang mereka bersembunyi.
Dalam kalangan kita hari ini masing-masing ada mempebaharui tekad, semangat dan azam di tahun baru ini. Tentunya azam ini membawa kepada transformasi dari kurang baik kepada baik atau yang baik kepada lebih baik lagi. Saya tak terkecuali bagi azam tahun ini yang antaranya mengekalkan pembudayaan membaca bagi meningkat ilmu untuk dunia dan ukhrawi, Insya-Allah. Takkan ku luntur nilai ilmu ini seperti yang ku garap sebelum ini.
Semoga tahun yang menyinari ini lebih bermakna buat diri kita, keluarga, masyarakat dan umat Islam seantero dunia. Juga, semoga semangat hijrah ini dapat dihayati falsafahnya. Selamat Tahun Baru 1431 Hijriah buat semua.
“Memantap ukhuwah, Memperkasa ummah”
No comments:
Post a Comment