Tuesday, September 7, 2010

Buku Kerohanian untuk Bulan Ramadhan






Bulan Ramadhan, bulan mulia, bulan yang dibarakah dengan nur pahala menghiasi dari bulan-bulan Islam yang lain. Mengisi ruang waktu dengan buku-buku agama sepanjang Ramadhan memang mengasyikkan lebih-lebih lagi cara pemilihan buku itu benar-benar berisi dengan ilmu. Kata orang rugi tak baca. Lebih rugi jika buku tersedia di depan mata tapi tak mampu untuk menyelami ilmunya. Bagi musim Ramadhan ini, buku bertema Ramadhan banyak dijual di pasaran. Melihat usaha PTS umpamanya, sebuah penerbit buku yang tidak asing di negara ini giat mempromosi buku-buku agamanya di musim Ramadhan sangat dialu-alukan. Malah melalui Program Wakaf Buku PTS untuk masyarakat mewakafkan buku bermula dari nilai RM200 turut disokong. Hasilnya anak-anak / penerima buku nanti dapat menikmati kemudahan buku lalu mencerakin manfaat ilmu darinya, Insya-Allah.

Bulan Ramadhan ini, buku yang dibaca saya lebih bercorak spiritual atau kerohanian. Mesej saya jelas, mengangkat diri dengan ilmu keagamaan. Mushaf Al Quran dibaca manakala kali ini tafsirnya juga cuba difahami. Belajar ini tak pernah habis, tak pernah surut, cuma kekadang beberapa halangan yang muncul, cuba kita buka tirainya secara berhikmah supaya usaha pembajaan ilmu berterusan seadanya. Saya juga berhasrat untuk menyambung ke peringkat sarjana. Tapi belum pasti waktunya. Niatnya dah ada, pelaksanaannya belum lagi. Doakan dimudahkan semuanya.

Ada sesuatu yang menyeronokkan hati saya apabila ke kedai-kedai buku. Buku agama dari dahulu tetap segak dengan pelbagai judul. Warna kulitnya kini dihiasi dengan ilustrasi menarik dan penulisnya berlatar belakang profesion ahli agama dari pelbagai lulusan institusi. Pandangan sisi juga dimasukkan. Bicaranya tidak jumud ketinggalan zaman. Harga pun ada yang murah dan mahal. Kalau mahal, ini kerana kulit keras (hardcover), ketebalan halamannya, nilai ilmu atau kelebihan yang ada pada seseorang pengarang. Buku agama sejak dahulu lagi kekal dengan pelbagai furu’nya. Cabang agama begitu luas. Ambillah buku mana yang rasa kurang faham bagi kita - Fardhu Ain, Fardhu Kifayah, Munakahat, Muamalat, Fiqh, Tauhid, Hadis, Syariah, dsb. Bacalah akan kita. Selebihnya jika tidak arif atau kurang faham bertanyalah kepada yang alim. Jangan pula ikut faham sendiri dan buat mazhab sendiri.



Mengakhiri bulan Syaaban sebelum Ramadhan menjelma baru-baru ini, saya menghabiskan bacaan buku Muhammad SAW, Jejak Junjungan Mulia (Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. 2009, Kemilau Publika). Buku ini merupakan sambungan dari Jilid I, Muhammad SAW, Insan Teladan Sepanjang Zaman dari penulis yang sama. Sejarah tokoh agung jika disingkap, membenih rasa kasih cinta kita kepada junjungan besar nabi kita, Muhammad SAW  ditambah pula karangan ulama Tuan Guru Nik Abdul Aziz terkenal dengan pengolahan yang cermat setiap baris kata. Sepanjang Ramadhan karim 1431H ini, keilmiahannya diteruskan dengan beberapa buah buku seperti Rahsia Islam di China (Ann Weng Seng. 2009, PTS) yang memperihalkan peradaban Islam di negara China, didakwah dengan begitu hebat membawa Islam sebagai ad-din di tengah-tengah masyarakat. Menyusuri dari itu, buku Sejarah dan Keagungan Mazhab Syaif’i (K.H.Sirajuddin Abbas. 1979, Pustaka Aman Press) menobatkan seorang insan bernama Muhammad bin Idris menekuni ilmu siang dan malam sehingga ilmunya tersebar di daratan bumi lalu dipegang dan ditaklid oleh kita hari ini. Sejarah dan Keagungan Mazhab Syaf’i ketika ini masih dibaca. Manakala sebuah buku lagi mengenai Sejarah Rasulullah SAW & Khulafa Ur Rasyidin (Sharifah Fakhrudin. 2006, Jahabersa) dikhatam kali kedua buat saya. Pembacaan berulang kali sebenarnya membiasakan diri kita dengan sirah nabawiyah dan para sahabat. Buku yang dibaca saya kekadang melibatkan satu dua judul dalam satu-satu masa. Kekadang sebuah buku dengan buku mempunyai perkaitan lalu ditelusuri bagi memantap perkembangan pengetahuannya. Disebabkan kesibukan saya, banyak buku yang dibaca, terlepas diresensi dalam blog ini. Insya-Allah jika ada kelapangan akan dibuat saya sedikit ulasan tentang buku-buku yang dibaca.

Ramadhan, kemunculannya dinanti. Episod Ramadhan menghimpun apa dinamakan amal, kebajikan dan bakti. Tentunya kerana fadhilatnya terlalu besar menitip acara untuk dilumba umat Muhammad menuju ketinggian iman dan beroleh taqwa. Hari berlalu. Masa terasa begitu pantas berputar. Ramadhan semakin meninggal kita. Syawwal pula semakin tiba. Maka ayuh! dalam sisa waktu Ramadhan yang berbaki ini, sama-sama kita melipatgandakan usaha dan amalan yang dibawa. Semoga mendapat maghfirah. Semoga mendapat rahmat. Semoga dinaungi hasanah dan dijauhi azab api neraka. Semoga amalan yang baik ini diberi ganjaran pahala  sebanyak-banyaknya. Amin.

Selamat menjalani ibadah di bulan Ramadhan
dan Selamat Menyambut ‘Idilfitri mulia.

2 comments:

Afida Anuar said...

Salam aidilfitri juga buat damai suria sekeluarga..

DAMAI SURIA said...

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir & Batin. Semoga berbahagia bersama ahli keluarga tercinta.

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA