Kelmarin hari eksplorasi. Kuala Sepetang dijelajahi, kembara berempat dirandai, mengorak sebuah nama destinasi. Bertolak lewat pagi, saya, Rizal, Naz dan Syihan memulakan gerakan ke Matang dan Kuala Sepetang melalui lebuhraya Ipoh-Utara. Perjalanan hari ini agak memakan masa dengan kesibukan kenderaan di jalan raya, tambahan pula musim cuti Tahun Baru Cina telah bermula. Dalam perjalanan, kami berhenti di R&R Sungai Perak untuk bersarapan.
Matang terletak lebih kurang 10km dari Taiping dan 60km dari Ipoh. Kuala Sepetang terletak di muara sungai sebelah barat negeri Perak. Lokasinya berdekatan dengan perairan Selat Melaka yang menjadi laluan penting bagi aktiviti perikanan. Kedua-dua tempat ini terletak dalam Daerah Larut, Matang dan Selama. Dulunya, nama Kuala Sepetang dikenali Port Weld yang merupakan tempat paling sibuk bagi perdagangan bijih timah. Landasan keretapi di Port Weld - Taiping (1885) adalah landasan yang pertama di di tanah air bagi tujuan pengangkutan bijih timah.
Lebih kurang jam 1.30 tengahari, kami memasuki kawasan Matang. Di sini terdapat sebuah Muzium Ngah Ibrahim yang kukuh struktur bangunannya di mana persekitarannya terbentang perkampungan orang Melayu. Ngah Ibrahim ialah anak kepada Che Long Jaafar dan pembesar Melayu Perak yang memerintah Larut (1836-1895). Ayahnya Che Long Jaafar, adalah orang yang mula-mula menemui dan menerokai perusahaan bijih timah di Bukit Gantang, Taiping. Gelaran yang dipakai Ngah Ibrahim ialah Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.
Dalam rakaman sejarah, Ngah Ibrahim memerintah kota Larut dengan pusat pentadbiran dan kediaman beliau dikenali Kota Ngah Ibrahim. Kekayaan beliau jelas terbukti dengan pungutan cukai bijih timah di jajahan Larut. Tinggalan Kota Ngah Ibrahim pernah dijadikan ia sebagai Maktab Perguruan, Sekolah Rendah Kebangsaan Matang dan kini dijadikan Muzium Matang.
Kami meneruskan perjalanan ke Hutan Paya Laut Matang (HPLM). HPLM sebenarnya berkeluasan 101,877 hektar dengan mempunyai 198 hutan simpanan kekal. Kawasan ini dijadikan eko-pelancongan dengan pelbagai aktiviti seperti Hutan Simpanan Dara (Virgin Jungle Reserve), Hutan Pelajaran dan Penyelidikan (Eko-Pelajaran), kawasan proto sejarah di Pulau Kelumpang, kegiatan menangkap kerang, dapur arang kayu, perkampungan nelayan dan penternakan ikan dalam sangkar. Pada 13 Oktober 2004, sambutan ulang tahun seratus tahun pengurusan Hutan Paya Laut Matang telah diadakan dengan D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Perak berkenan untuk menyempurnakan majlis sambutan ini. HPLM juga direkodkan sebagai hutan Malaysia yang diurus terbaik di dunia.
Memintas trek perjalan kaki atau ‘boardwalk’ suatu pengalaman menarik di mana trek membawa kami menikmati suasana hijau dan ‘nature’ di alam HPLM. Di HPLM, antara spesis pokok bakau yang tumbuh adalah bakau Minyak (Rhizophora Apiculata), Kurap (Rhizophora mucronata), Temu, dan Lenggadai. Difahamkan terdapat 3 zon HPLM seperti zon pengeluaran, zon perlindungan dan zon tak produktif.
Kami menyudahi di HPLM dengan bergerak ke jeti Kuala Sepetang. Aktiviti seterusnya menaiki bot menyusuri muara Kuala Sepetang. Dalam pakej 30 minit (RM80 untuk 4 orang) penelusuran bot akan membawa kami melihat tumbuhan bakau sepanjang pesisiran sungai sehingga ke perkampungan nelayan. Dalam bot selain kami, terdapat dua pelancong Melayu dengan seorang pengemudi bot. Ini merupakan kali kedua saya menaiki bot dalam jangka waktu terdekat. Pertama, di Gunung Lang, Ipoh dua bulan yang lalu dan kelmarin turutan kali kedua.
Merentasi perkampungan nelayan, ia suatu senario menarik bagi kami. Ia terkenal dengan pusat aktiviti perikanan dengan kedudukan istimewa di muara Kuala Sepetang. Rumah-rumah nelayan tersusun berderet, terbuka menghadap muara. Binaan perumahannya diperbuat daripada pepapan dan ada yang terdiri daripada binaan batu. Di samping itu, kelihatan bot-bot dengan pelbagai saiz, warna dan rupa tersadai di depan rumah. Di sini keluarga nelayan terdiri kaum Cina dan bangsa Melayu. Kaum Cina menjadi majoriti nelayan di perkampungan ini.
Dalam pengemudian ini, kami berselisih dengan bot-bot yang baru pulang dari laut. Mereka turun pagi dan berhari-hari di lautan mencari rezeki. Ada juga bot membawa muatan penumpang menuju ke Bagan. Turut kelihatan juga warna merah-kemerahan menghiasi rumah-rumah Cina sempena perayaan Tahun Baru Cina (Gong Xi Fa Chai to you all). Di samping itu, terdapat kedai membaiki bot dengan rupanya agak legam dan kusam. Aktiviti lensa diambil merakam apa saja yang menambat hati. Manakala Syihan, Naz dan Rizal ralit dengan pemandangan yang persona itu. Sesekali saya bersapa dengan pengemudi bot, bertanya hal kehidupan nelayan dan persekitaran di sini. Dari lagak bicaranya, dia rupanya seorang nelayan sejak kecil lagi.
Pukul 3.00 petang kami balik ke jeti. Usai solat Zohor di surau kawasan sini, kami bergerak cergas menuju ke kilang arang kayu yang tidak jauh di HPLM. Kilang arang kayu di Kuala Sepetang memang tersohor dengan kerja-kerja pembakaran arang dari kayu bakau sejak 1930an lagi. Kegiatan tradisi ini, hari ini diteruskan oleh keluarga mereka. Oleh kerana En. Chuah pemilik kilang Khar Hua Holding bercuti raya Cina, maka kami melensa berapa sudut kilang dan persekitarannya. Kami ke posisi kilang di belakangnya. Ia dimiliki bumiputera. Di situ kami disantuni seorang pekerja Melayu. Mukanya berpeluh dan sedikit comot tapi cukup membantu apa yang kami perlukan. Dia menunjuk kami cara-cara menghasilkan arang kayu dan menerangkan satu persatu mengenai pembakarannya.
Kayu dari jenis bakau Minyak dan Kurap memang sesuai dibuat arang. Kayu yang ditebang tidak diangkut dari lori tapi melalui suatu laluan air di tengah-tengah kilang. Fenomena air pasang memudahkan pembawaan kayu-kayu bakau dari bot. Ketika kami sampai, pemunggahan kayu-kayu giat dilakukan dari bot. Setiap potongan kayu mempunyai berat kasar 25 kg. Batang-batang kayu akan disiat kulitnya dahulu. Kemudian ia disusun rapi untuk dimasukkan ke dalam dapur pembakaran. Dapur pembakaran kayu di kilang ini berbentuk unik seperti reka bentuk iglu dengan warna kecoklatan. Kami dibawa masuk ke dalam dapur pembakaran arang. Senibinanya terdiri daripada batu-bata. Pembinaan dapur yang berbentuk iglu itu memerlukan 25,000 bongkah bata untuk membangunnya.
Batang-batang kayu yang telah masuk, disusunkan secara menegak dan setiap susunan memuatkan 1500 batang kayu secara membulat. Sebenarnya untuk menghasil arang kayu, bukan bermakna kayu tersebut dibakar terus dengan api. Jika dibakar terus dengan api, sudah tentu kayu-kayu ini akan menjadi bara dan abu. Batang-batang kayu ini tidak dibakar secara langsung. Ia boleh diumpama sebagai ‘kukus’ bagi menyejat kandungan air dari batang dan melalui beberapa prosedur pembakarannya.
Setelah batang-batang bakau disusun di dalamnya, pintu dapur akan ditutup dan disimen. Hanya bukaan bawah sahaja terbuka untuk dimasuk kayu api. Api akan dinyala pada kayu api. Proses pembakaran kayu-kayu ini memakan masa sebulan. Dalam fasa ini, penjagaan api begitu penting. Para pekerja akan bergilir-gilir menjaga api siang dan malam. Kemudian pada peringkat berikutnya, pintu dapur akan ditutup habis. Tempat ini akan dikedapkan selama sepuluh hari. Hanya lubang pada dinding dapur saja terbuka bagi mencorong asap keluar. Proses ini dinamakan kedap dapur. Apabila batang kayu mencapai tahap pembakaran yang matang, pintu dapur akan dipecah dan kerja-kerja pengeluaran arang kayu dari dapur pembakaran ini akan dilakukan.
Arang kayu yang siap akan dilonggok, dipecah mengikut saiz. Ia akan dibungkus dengan kertas coklat (brown paper) atau digunikan. Arang kayu mendapat pasaran tempatan untuk kegunaan tumbuh-tumbuhan seperti pokok orkid dan bahan bakar untuk sate, ikan dan BBQ. Habuk arang sesuai dijadikan baja organik. Arang kayu kita juga mendapat permintaan pasaran di Jepun dan Korea Selatan.
Saya meninggalkan kilang arang dengan tangan kehitaman gara-gara ‘gatal tangan’ memegang arang kayu di pusat pembakaran arang kayu. Pada pukul 4.00 petang, kami menuju gerai makan Mee Udang Mak Jah di seberang jalan. Perut mulai terasa kosong, dahaga pula terasa ditekak. Rizal mencuba mee udang banjir. Naz makan udang tepung goreng. Saya dan Syihan pekena nasi goreng udang. ABC dipesan menambah selera yang ada. Gerai Mak Jah terletak di seberang jalan Kuala Sepetang-Matang. Gerai ini cukup popular dengan mee udang banjirnya. Orang ramai begitu ramai membawa ahli keluarga masing-masing. Sesudah makan, petang itu kami berangkat pulang. (Best!)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
saya nak buat kajian lapangan di kuala sepetang tapi tidak tahu macamana nak dan siapa untuk saya contact.
can anybody guide me...
Mungkin sdr. boleh menghubungi Pejabat Hutan Daerah Larut & Matang,
34000 Taiping, Perak. Tel: 05-8072762. Dari situ sdr. boleh bertanya dan mendapat maklumat lanjut.
Atau hubungi saya di http://fireflyzone.blogspot.com
Post a Comment