Tuesday, February 22, 2011

Pandangan Michael H. Hart Mengenai Muhammad SAW

Pemilihan saya untuk Muhammad SAW pada kedudukan pertama dalam senarai tokoh-tokoh yang paling berpengaruh di dunia mungkin mengejutkan sebilangan pembaca dan menjadi tanda tanya oleh orang lain, namun baginda adalah satu-satunya insan dalam sejarah yang sangat berjaya menegakkan syiar Islam kepada umat manusia keseluruhannya.

Berlatarbelakangkan kehidupan yang sederhana, Nabi Muhammad SAW menegak dan menyebarkan salah satu agama terbesar di dunia (Islam), dan menjadi pemimpin umat yang sangat berkesan. Hari ini, setelah tiga belas abad kewafatannya, pengaruh ajarannya masih kuat dan meluas.


Kelahiran junjungan mulia Muhammad SAW
di Makkah Al Mukarramah


Sebahagian besar tokoh-tokoh yang tersenarai dalam buku ini sangat bertuah kerana dilahir dan dibesarkan di tengah-tengah kegemilangan tamadun dan kebudayaan manusia atau dalam kecemerlangan lingkaran politik bangsa. Bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada tahun 570 masihi di kota Makkah yang terletak di Semenanjung Arab. Pada waktu itu, tanah Arab merupakan kawasan mundur, jauh dari pusat perdagangan, kesenian dan keilmuan. Nabi Muhammad SAW menjadi yatim piatu ketika meniti usia enam tahun dan dibesarkan dalam persekitaran sederhana. Dalam rakaman sejarah, baginda juga seseorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Hanya ketika usia baginda 25 tahun, kedudukannya bertambah baik apabila berkahwin dengan seorang wanita janda yang dermawan. Menjelang usia 40 tahun, ada sedikit penunjuk luaran bahawa baginda mempunyai sifat yang luar biasa.

Kebanyakan orang Arab pada waktu itu adalah masyarakat jahiliah yang menyembah berhala dan percaya pada banyak tuhan. Di kota Makkah, terdapat juga sebilangan kecil orang Kristian dan Yahudi. Berdasarkan ramalan mereka, inilah Nabi Muhammad SAW telah datang membawa keyakinan bahawa hanya Tuhan Yang Maha Esa yang memerintah seluruh alam semesta sahaja wajib disembah. Maka, ketika baginda berumur empat puluh tahun, baginda menerima wahyu daripada Allah SWT dan dipilih sebagai Rasul untuk menyebarkan kebenaran agama Islam.

Selama tiga tahun Muhammad SAW berdakwah tentang ajaran Islam kepada kaum keluarga dan sahabat-sahabat baginda secara sembunyi-sembunyi. Sehinggalah sekitar 613 masihi, baginda mulai berbicara kebenaran agama Islam di depan umum. Saat agama ini muncul dan mendapat perhatian baik dari masyarakat sekeliling, ketua-ketua puak jahiliah Makkah mulai mencurigai dan menganggap baginda sebagai musuh yang berbahaya. Pada tahun 622 masihi, keselamatan baginda semakin tergugat kerana kebenaran Islam yang dibawanya kepada para penduduk di kota Makkah. Baginda akhirnya melakukan hijrah ke kota Madinah (terletak kira-kira 200 batu dari utara Makkah). Di Madinah, sambutan terhadap Islam amat menggalakkan dan di sana kedudukan baginda dilindungi sebagai pemimpin umat Islam.

Dalam peristiwa perpindahan yang disebut ‘Hijrah’ ini, ia dicatatkan sebagai titik perubahan penting dalam sejarah kenabian Rasulullah SAW. Jika di Makkah, baginda mempunyai pengikut-pengikutnya, maka di Madinah bilangan pengikutnya bertambah ramai. Dalam masa beberapa tahun, ajaran dari wahyu ini mendapat tempat dan bilangan penganutnya semakin bertambah. Sementara itu, siri pertempuran juga tidak dapat dielakkan dan berlaku di antara kota Makkah dan kota Madinah. Peperangan ini berakhir pada tahun 630 masihi dengan kemenangan berpihak kepada Muhammad SAW dan seterusnya mengorak kejayaan kepada pembukaan kota Makkah oleh baginda berserta para pengikutnya. Dalam tempoh dua setengah tahun terakhir dalam kehidupan baginda, banyak perkara luar biasa berlaku dengan menyaksikan berbondong-bondong bangsa Arab masuk kepada agama Islam. Sehingga kewafatan baginda pada tahun 632 masihi, baginda muncul sebagai pemimpin yang paling berpengaruh dan pengembang agama yang berjaya di seluruh jazirah Arab.

Di tanah Arab terdapat suku Badwi. Secara tradisinya, suku Badwi Arab mempunyai ciri-ciri sebagai pahlawan yang gagah dan berani. Tetapi jumlah mereka yang tidak ramai dan dengan perbalahan sesama sendiri, menyebabkan mereka tidak berjaya untuk menewaskan ketenteraan dari kerajaan-kerajaan besar yang menetap di daerah pertanian sebelah utara. Namun, disatukan oleh Rasulullah SAW untuk pertama kalinya dalam sejarah dan dengan keimanan yang teguh mereka kepada keesaan Allah, akhirnya pasukan Arab yang kecil ini mampu melakukan penaklukan yang menakjubkan dalam sejarah manusia. Di bahagian timur laut Arab terletaknya empayar Neo-Parsi dari Sassanid dan di barat laut, berdirinya empayar Byzantine (empayar Rom) yang berpusat di Constantinopel. Jika diperhatikan, bilangan pasukan Arab dilihat tidak sepadan dengan lawan mereka. Bagaimanapun, ketika beraksi di medan pertempuran, pasukan Arab berjaya menakluki Mesopotamia, Syria, dan Palestin. Pada tahun 642 masihi, pasukan Islam telah berjaya merampas Mesir dari jatuh di bawah kekuasaan empayar Byzantine manakala dalam pertempuran Qadisiya, tentera Parsi telah dikalahkan pada tahun 637 masihi dan begitu juga terjadi di Nehavend pada 642 masihi.


tamadun empayar Islam di zaman kegemilangan


Ia tidak berakhir setakat di sini sahaja, bahkan kesinambungan penaklukan yang besar ini diteruskan para sahabat baginda dan penggantinya, Abu Bakar As-Siddiq dan ‘Umar Al-Khattab. Pada tahun 711 masihi, pasukan Arab telah meluaskan jajahan takluknya merentasi benua Afrika Utara sehingga Lautan Atlantik. Kawasan jajahannya merentasi ke utara, merentangi Selat Gibraltar dan melingkari kerajaan Visigothic di Sepanyol.

Untuk seketika, perluasan empayar Islam ini dilihat seperti orang-orang Islam akan melitupi Kristian di Eropah. Bagaimanapun, pada tahun 732 masihi, dalam Pertempuran Tours, pasukan Muslim yang sedang mara ke hadapan di Perancis, akhirnya ditewaskan. Namun begitu, pasukan Islam didorong dengan sabda Nabi Muhammad SAW, telah melakarkan empayar dari perbatasan India sehingga Lautan Altlantik iaitu sebagai satu-satunya empayar yang terbesar yang pernah dilihat di dunia. Di mana sahaja penaklukan Islam berlaku, ia disertai dengan bilangan besar umat manusia memeluk agama Islam.

Ternyata, tidak semua penaklukan ini kekal lama. Orang Parsi, meskipun penganutnya beragama Islam, telah memerdekakan diri semula dari tangan bangsa Arab. Di Sepanyol, selepas tujuh abad dalam peperangan, akhirnya orang Kristian menawan semula seluruh semenanjung. Bagaimanapun di Mesir, Mesopotamia dan Afrika Utara terus kekal dengan peradaban Arab. Agama Islam terus tersebar dari satu abad ke abad lain, jauh membawa agama ini dari empayarnya ke negara-negara lain di persada dunia. Kini, terdapat berjuta-juta penganutnya bertebaran di bumi Afrika dan Asia Tengah sehingga meluas berkembang di Pakistan, India Utara dan Indonesia. Di Indonesia, agama Islam dijadikan sebagai medium bagi faktor penyatuan. Bagaimanapun di India Utara, konflik antara Muslim dan Hindu merupakan halangan besar dalam penyatuan.

Maka, bagaimana untuk menilai pengaruh Muhammad SAW memberi kesan ke atas keseluruhan sejarah umat manusia? Seperti agama-agama lain, Islam mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap kehidupan pengikut-pengikutnya. Itulah menjadi alasan mengapa para pengasas dan penyebar agama-agama besar di dunia ini mendapat tempat di dalam buku ini. Jika diperhatikan, jumlah penganut Nasrani adalah dua kali ganda lebih besar dari Islam dan ia mungkin agak kelihatan ganjil mengapa Nabi Muhammad SAW diberi tempat pada kedudukan lebih tinggi berbanding Jesus. Ada dua alasan pokok bagi menjawab perihal tersebut. Pertama, Rasulullah SAW memainkan peranan yang jauh lebih penting dalam pengembangan agama Islam berbanding Jesus lakukan bagi agama Nasrani. Walaupun Jesus bertanggungjawab dalam menggariskan ajaran moral dan etika (hingga batas tertentu berbeza dengan Judaisme), tetapi yang sebenarnya St. Paul adalah tokoh utama dalam penyebaran ilmu tauhid, perubahan rukun-rukun Kristian dan menulis sebahagian besar Perjanjian Baru.

Sebaliknya, Nabi Muhammad SAW bukan sahaja berperanan terhadap tauhidiah, penggarisan moral dan etika tetapi baginda seorang insan pembawa wahyu dan suri teladan sunnah bagi mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan. Berbanding Kristian, tiada suatu kumpulan yang terperinci yang boleh diketemui dalam ajaran Kristian sehingga hari ini. Seperti Al Quran begitu penting kepada umat Islam dan begitulah jua kitab Injil sama penting kepada penganut Nasrani. Dalam hal ini, Muhammad SAW merupakan pengantara Al Quran dan kalam tuhan yang dilihat sangat besar peranannya. Ini adalah kemungkinan bahawa pengaruh hubungan Muhammad SAW dengan Islam lebih besar daripada pengaruh gabungan Jesus dan St. Paul dengan Kristian. Di peringkat rohaniah, sebagaimana Jesus mempunyai peranannya begitu juga Muhammad SAW mempunyai pengaruh dalam sejarah manusia.

Lebih dari itu (berbanding dengan Jesus), Muhammad SAW bukan sekadar pemimpin agama tetapi pemimpin yang memandu menelusuri kehidupan di dunia. Fakta menunjukkan di sebalik kemaraan perluasan empayar-empayar Islam, bagindalah di belakang tabir sebagai pemimpin politik sepanjang zaman.

Dari banyak peristiwa sejarah penting, mungkin seseorang itu boleh mengatakan sesuatu kejadian itu boleh berlaku tanpa pemimpin politik yang khusus yang membantu mereka. Mengambil contoh keadaan yang berlaku di koloni Amerika Selatan umpamanya, warganya boleh mencapaikan kemerdekaan dari kekuasaan Sepanyol walaupun Simon Bolivar tidak pernah wujud di dunia. Tetapi keadaan ini tidak sama dalam sejarah penaklukan oleh bangsa Arab. Sesiapa pun tidak boleh menafikan peranan yang dimainkan Rasulullah SAW bagi mencapai kejayaan dalam pembinaan ketamadunan empayar Islam. Anologi ini boleh disamakan seperti yang berlaku di Monggol apabila Genghis Khan melakukan penaklukan secara besar-besaran pada abad ketiga belas. Walaupun penaklukan yang lebih luas dari apa yang dilakukan oleh orang Arab, namun ia tidak kekal selama-lamanya. Hari ini, terbukti hanya wilayah yang dihuni oleh bangsa Monggol adalah seperti yang didiami sebelum kemaraan Genghis Khan suatu ketika dahulu.

Ia jelas menunjukkan perbezaan ketara dengan apa yang dilakukan bangsa Arab dalam melebarkan sayap empayarnya. Dari Iraq hingga ke bumi Maghribi, ikatan antara bangsa Arab dilihat begitu utuh bukan sahaja dalam kepercayaan dalam beragama tetapi termasuk dalam bahasa, kebudayaan dan peradabannya. Kedudukan Al Quran sebagai pegangan kuat di kalangan umat Islam dan penulisannya di dalam bahasa Arab merupakan suatu kelebihan bagi memelihara bahasa ini daripada dibahagi-bahagi kepada dialek-dialek yang sukar difahami. Jika kemampuan bahasa Arab senang dipecah-belahkan, maka awal-awal lagi pada abad ke-13 sudah terjadi halangan yang menyukarkan pengembangan ketamadunan Islam. Memang benar, perbezaan dan perpecahan di antara negara-negara itu ada, namun perpecahan itu tidak bermakna elemen perpaduan di kalangan ummah sedunia akan terus lenyap untuk disatukan. Secara tamsilannya, negara Iran dan Indonesia di mana kedua-duanya merupakan negara Islam dan pengeluar minyak di dunia. Kedua-duanya tidak menyertai embargo minyak pada musim sejuk 1973-1974. Sebaliknya hanya negara-negara Arab yang mengambil langkah melarang eksport minyak.

Kita telah melihat pada abad ketujuh, empayar Islam terus memainkan peranan penting dalam sejarah peradaban dunia sehingga hari ini. Dari perspektif saya, ini adalah gabungan yang kuat antara agama dan kehidupan dunia, hasil dari pembinaan insan bernama Muhammad SAW, tokoh paling berpengaruh dalam sejarah peradaban manusia.


No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA