LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, February 9, 2013

Kupasan Buku 25 Cendekiawan Islam

















Judul : 25 Cendekiawan Islam
Pengarang : Shafie Abdul Rahman
Penerbit : Must Read
Tahun Terbitan : 2011
Halaman : 196
ISBN : 978-967-5426-75-9
Genre : ketokohan | biografi | cendekiawan | Islam | perintis



Ketokohan Islam dalam pelbagai bidang sesungguhnya sentiasa dikagumi. Sumbangan mereka dalam dalam menginovasi dan merintis terhadap potensi bidang sentiasa cemerlang membawa kejayaan. Sumbangan mereka tidak dapat dinafikan memangkin Islam ke mercu jaya. Ia sebagai penanda aras bahawa kedatangan Islam ke dunia tidak kosong tetapi dihampar dengan kegemilangan tokoh-tokoh yang dibawa. Tokoh-tokoh yang disebut oleh pengarang ini adalah:
  1. Al-Batani  (astronomi)
  2. Al-Biruni  (kaji bumi, astronomi, matematik, saintis)
  3. Al-Farabi  (falsafah, kosmologi, psikologi, sosiologi, muzik)
  4. Al-Farghani  (astronomi, matematik)
  5. Al-Jahiz  (zoologi)
  6. Al-Jazari  (kejuruteraan, robotik)
  7. Al-Kahzin  (matematik, astronomi, fizik)
  8. Al-Khawairizmi  (matematik, astronomi)
  9. Al-Kindi  (farmakologi, falsafah, kaligrafi, penterjemah)
  10. Al-Razi  (perubatan, kimia)
  11. Al-Zahrawi  (perubatan)
  12. Al-Zarqali  (astronomi, mekanikal)
  13. Ibnu Al-Baitar  (botani, saintis)
  14. Ibnu Bajjah  (falsafah, astronomi, fizik)
  15. Ibnu Firnas  (kejuruteraan, juruterbang)
  16. Ibnu Al-Haitham  (optik, kanta objek)
  17. Ibnu Khaldun  (falsafah, sosiologi, ekonomi, peradaban)
  18. Ibun Al-Nafis  (falsafah, perubatan, fisiologi)
  19. Ibnu Miskawyh  (falsafah, psikologi, sejarah)
  20. Ibnu Rusyd  (falsafah, perundangan)
  21. Ibnu Sina  (perubatan, astronomi)
  22. Ibnu Tufail  (perubatan, saintis, falsafah, sasterawan)
  23. Ibnu Zuhr  (perubatan, pendidik, saintis)
  24. Jabir Ibnu Hayyan  (kimia, perubatan)
  25. Umar Khayyam  (matematik, astronomi, falsafah, penyair)

Setelah saya menghadam buku ini, terdapat pengajaran yang boleh saya belajar. Cendekiawan Islam yang disebut dalam buku ini mengkhatam dan menghafal Al Quran sejak kecil. Mereka diberi didikan agama di peringkat awal. Pentarbiyahan agama yang baik menjadi jiwa mereka bersih dan hati yang kuat. Melalui Quran, mereka menelaah kejadian alam dan keajaibannya. Dari sinilah mereka mengkaji alam dan memikir Penciptanya.  Penyelidikan, penciptaan dan inovasi yang dibuahkan merupakan pencerakinan seperti apa yang dihikmah terkandung dalam Al Quran.  Al Quran yang diperturunkan sudah menghidangkan makna yang luas, hanya hamba-hambaNya sahaja mencari penyelesaian terhadap persoalan dan kehidupan.


iqra'
Tokoh-tokoh Islam sejak dahulu gemilang mewarnai dunia mengambil semangat iqra seperti diajukan dalam surah Al'-Alaq (Bacalah) ayat 1-5 . Ilmu dimanfaat sebaik mungkin mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata. Inilah seperti yang disebut Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri iaitu “ilmu dalam konteks semangat iqra' selamanya berorientasi tauhidik, bertolak daripada motivasi imanik dan bergerak mencapai objektif mengenal, mengagumi dan mengabdi kepada Ilahi.”


Rekaan Kumpulan Robot Penyanyi
(Al-Jazari)
Keduanya, mereka terus menekuni ilmu tanpa jemu dan lelah. Al-Khawarizmi sebagai contohnya sanggup berulang-alik ke India beberapa kali untuk menemui seorang guru Matematik. Ibnu Khaldun dalam memantap ilmunya  berguru dengan ramai cerdik pandai dan ulama seperti Muhammad As-Satti, Abdul Muhaimin dan Muhammad bin Ibrahim Al-Abili. Mengukuhkan diri dengan ilmu adalah dengan menjayakan pembelajaran yang berterusan dengan terus memerhati, mengkaji, menguji, mempraktik dan mencipta.


Al-Jazari seorang ilmuwan dalam bidang kejuruteraan dan robotik telah mencipta sistem pembekalan air ke masjid dan ke hospital Diyarbakir, Turki. Beliau juga memodelkan robot penyanyi dan pemain muzik yang berupa robot duduk dalam sebuah bot belayar di sebuah tasik sambil mengalunkan muzik. Begitu juga Ibnu Firnas yang  mencipta sepasang sayap untuk terbang. Beliau juga membuat latihan diri dengan melakukan eksperiman penerbangan ini. Konsep penerbangan ini diambil dengan memerhatikan cara bagaimana burung terbang dan keupayaannya menghinggapi dengan sayapnya.


Halaman pada Kitab
Al-Hayawan (Al-Jahiz)
Ketiga, mereka terus merekod dan menulis. Ilmu yang ada tidak akan hilang begitu saja tanpa meninggalkan sebarang catatan berguna. Mereka memperkembangkan fikrah, idealisme, kajian, hasil dapatan melalui penulisan. Al-Jahiz seorang tokoh zoologi menghasilkan ensiklopedia berjudul 'Kitab Al-Hayawan' (Book of Animals) yang terdiri daripada tujuh jilid buku. Al-Farabi yang lahir pada 872 masihi menulis buku bertajuk 'Al-Madina Al-Fadila'. Buku ini menghuraikan negara ideal seperti yang dinyatakan oleh Plato dalam karyanya 'The Republic'. Al-Farabi menggajukan  bahawa sistem politik boleh dibuat dengan memenuhi kepercayaan Islam melalui kajian gabungan falsafah, sains, matematik dan agama.


Manakala Ibnu Sina, bapa perubatan yang terkenal dengan kitab 'Qanun fi Al-Tibb' telah menyiapkan 238 karya sepanjang hayatnya. Merencanakan penulisan ini memberi sumbangan hebat kepada kemajuan peradaban dunia. Ia seterusnya menjadi rujukan besar kepada generasi timur dan barat. Ini pernah diakui oleh sarjana barat, Bertrand Russell (1872-1970) terhadap sumbangan peradaban Islam dalam membangunkan tamadun moden Barat yang sebelum ini menempuhi abad kegelapan.


Dalam mendepani cabaran dunia hari ini, umat Islam jangan meremeh bakat yang ada. Hakikatnya, idealisme dan bakat sebenarnya boleh dijelmakan dalam diri dan membentuk siri kejayaan dalam pelbagai lapangan.  Pengetahuan yang baik akan menghasilkan inovasi yang gah. Pengalaman luas akan membantu memaknai wawasan merentasi arus zaman dengan gemilang. Jika kita biarkan potensi diri tanpa usaha penggilapan, kita akan terus ketinggalan, dicengkam atau 'diracuni' oleh tamadun/koloni bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Pengalaman tokoh-tokoh Islam yang lalu boleh dijadikan panduan. Mereka terus unggul mendahului zaman kerana kekuatan diri seperti yang disebut di atas. Hikmahnya dengan mempelajari dan terus belajar. Paling penting jangan melupai agama!



| cetusan Faisal |

No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA