Sunday, December 28, 2008

Mengimbas Detik-Detik dan Peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W.


Tibanya Muharram setiap tahun membuka lembaran baru bagi menandakan permulaan kalendar tahunan umat Islam sejagat. Islam menggunakan takwim hijrah (berasaskan pergerakan bulan mengelilingi bumi) yang diilhamkan oleh Khalifah Rasyidin Pertama, Umar Al-Khattab. Tiada yang lebih baik bagi kaum Muslimin melainkan bulan Muharram diingati sebagai tahun baru yang diambil sempena dengan peristiwa tahun 1 Hijrah (Hijratul Rasul) di mana junjungan mulia Muhammad S.A.W. melakukan hijrah dari kota Makkah ke kota Madinah. Di pelusuk dunia, sambutan maal hijrah dinantikan dengan perasaan gembira, terharu, dan syukur oleh ummah serata dunia.


Mengimbas detik-detik dan peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W.

Hijrah membawa maksud penghijrahan Rasulullah S.A.W. dari Makkah ke Madinah. Hijrah ini dilakukan apabila diperintah oleh Allah kepada utusannya (Muhammad S.A.W.) melalui wahyuNYA. Penghijrahan ke Madinah adalah kerana membawa risalah Islam, membina kekuatan ummah dan menegakkan Islam di muka bumi. Tatkala orang-orang Quraisy mengetahui niat Rasulullah S.A.W. untuk melakukan hijrah ke Madinah, mereka khuatir Rasulullah S.A.W. akan berkuasa di Madinah kerana di kota tersebut dan agama Islam mendapat tempat di hati kaum Muslimin. Mereka juga khuatir kafilah-kafilah dagang yang pulang balik dari Syam ke Makkah akan diserang baginda dan pengikut-pengikutnya. Oleh satu cara untuk melenyapkan usaha murni baginda itu dengan bertindak ke atas Rasulullah S.A.W. sebelum terlambat. Sikap para musyrikin Quraisy merupakan suatu rencana kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Ketika pengepungan di malam hari oleh kalangan orang Quraisy di rumah baginda, Ali bin Abi Thalib, sepupu Rasulullah S.A.W. mengganti tempat tidur baginda S.A.W. Ini bagi mengaburi pihak musyrikin Quraisy bahawa yang tidur itu adalah baginda. Rasulullah S.A.W. memohon perlindungan Allah dengan mengambil segenggam tanah sambil membaca ayat dari surah Yasin ketika keluar dari rumah baginda.

Dalam lipatan sejarah, peristiwa Hijrah baginda ke Madinah ditemani sahabat karib baginda, Abu Bakar As-Siddiq. Gua Tsur merupakan tempat persembunyian baginda bersama Abu Bakar As-Siddiq. Selama 3 hari mereka bersembunyi di dalam gua tersebut dari dijejaki oleh musyrikin Quraisy. Ketika musyrikin Quraisy melalui gua tersebut, dengan perlindungan Allah, muka gua ditutupi dengan sarang labah-labah seolah-olah sarang itu menggambarkan ia telah lama bersarang dan tidak mungkin ada orang masuk di dalam gua tersebut. Semasa tempoh bersembunyi, anak-anak Abu Bakar As-Siddiq iaitu Asma’ dan Abdullah membawa makanan dan mengkhabarkan berita-berita mengenai pihak Quraisy.

Kisah Rasulullah S.A.W. dengan Abu Bakar As-Siddiq tercatit di dalam Al Quran yang berbunyi:

"Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (At-Taubah:40) 

100 ekor unta jika dapat menangkap Rasulullah S.A.W.  Begitulah hadiah yang ditawarkan pihak Quraisy bagi sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah S.A.W.  Diceritakan apabila Suraqah bin Malik siap berkuda mengejar Rasulullah S.A.W. bersama Abu Bakar As-Siddiq menuju perjalanan ke Madinah. Setiap kali Suraqah cuba mendekati Rasulullah S.A.W., kuda yang ditungganginya terus jatuh. Akhirnya dia tidak berjaya mendekati Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W. juga mengambil jalan jauh untuk sampai ke Madinah sebagai strategi mengelak dari buruan kafir Quraisy. Mereka ditemani oleh Amir bin Furihah, seorang yang boleh dipercayai sebagai penunjuk jalan. Apabila Rasulullah S.A.W. melalui perkhemahan Ummi Ma’bad Al-Khuza’i, baginda melihat seekor kambing lemah yang tidak mengeluarkan susu. Rasulullah S.A.W. meminta izin untuk mengusap kambing sambil berdoa kepada Allah. Akhirnya, dengan mukjizat Nabi, kambing itu mengeluarkan susunya. Mereka minum susu dari binatang tersebut. Dalam perjalanan ke Madinah, Muhammad S.A.W. tiba di Quba (kira-kira 10km ke Madinah). Di Quba, Rasulullah S.A.W. mendirikan sebuah masjid. Masjid ini merupakan yang pertama seumpamanya dibina dalam sejarah Islam. 

Pada hari Jumaat, dalam bulan Rabiulawwal 1 Hijrah, Rasulullah S.A.W. memasuki kota Madinah. Kedatangan Rasulullah S.A.W. yang dinantikan itu, disambut kegembiraan dengan diiringi selawat (Thola’al Badrul Alaina) oleh penduduk Islam yang berada di Madinah.  Di Madinah, Muhammad S.A.W. menyatukan kaum Muhajirin (kaum yang behijrah) dengan kaum Ansar (penduduk asal Madinah – kaum Aus dan Khazraj). Pada hari tersebut, Rasulullah S.A.W. mendirikan solat Jumaat kali pertama bersama dengan umat Islam di sana. Rasulullah S.A.W. berkhutbah di hadapan Muhajirin, Ansar dan kaum muslimin. Rasulullah S.A.W. membina masjid di kota Madinah.  Masjid ini didirikan dengan tiangnya diperbuat batang-batang tamar, rangka diperbuat dari pelepah dan dedaun tamar. Masjid itu dikenali sebagai Masjid Nabawi. Di masjid ini, buat pertama kali azan dilaungkan oleh Bilal bin Rabah bagi menandakan masuknya waktu solat. Masjid dibina ini sebagai simbol penyatuan umat Islam, penyebaran ilmu dan juga pengerjaan amal ibadah. Nama asal Yathrib ditukar kepada nama Madinatun Nabiy yang bermaksud kota nabi dan kemudiannya dipanggil Madinah. 

Rasulullah S.A.W. memeterai piagam Madinah bagi menyatukan masyarakat di Madinah. Perkara-perkara utama terkandung dalam Piagam Madinah adalah seperti berikut: 

i) Rasulullah S.A.W. sebagi ketua negara bagi penduduk Madinah. Sebarang pertelingkahan hendaklah dirujuk pada baginda.

ii) Semua penduduk Madinah tidak boleh bermusuhan antara satu sama lain.

iii) Semua penduduk Madinah adalah bebas beragama dan bebas melakukan upacara agama masing-masing.

iv)Semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam masalah ekonomi dan mempertahankan Kota Madinah dari musuh luar.

v) Keselamatan orang Yahudi adalah terjamin selagi mereka taat kepada perjanjian ini.

Setelah melalui ujian yang hebat dan getir dalam hijrah Rasulullah S.A.W. ke Madinah, akhirnya baginda berjaya membentuk sebuah masyarakat yang aman, harmoni dan bersatu di Madinah. Di Madinah, syiar Islam gemilang ditegakkan. Masyarakat di Madinah bersama-sama membantu dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan pertahanan negara. Pembudayaan ilmu, iman dan amal tumbuh mekar melakar dalam lipatan sejarah Hijrah. Model kenegaraan yang dipimpin baginda seharusnya dicontohi oleh ummah hari ini. Melalui hijrah agung inilah, maka Islam terus bertapak dan dengan kebijaksanaan kepimpinan dan usaha dakwah baginda bersama para sahabat dan kekuatan kaum muslimin ketika itu menjadikan Islam tersebar ke persada dunia.

Menelusuri peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W., ternyata banyak pengajaran di dalamnya. Perkataan-perkataan seperti ujian, pengorbanan, perjuangan, rintangan, sabar, tabah, ilmu, iman, amal, persaudaraan, perancangan, strategi, Islam, kuat, yakin, setiakawan mengisi suasana peristiwa hijrah yang ternyata mempunyai hikmah dan kebijaksanaannya untuk dijadikan panduan bagi umat manusia.




No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA