Sunday, April 19, 2009

Kandungan Dasar Buku Negara Perlu Dinilai Semula

Kandungan Dasar Buku Negara Perlu Dinilai Semula  

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Kandungan Dasar Buku Negara perlu dinilai semula supaya selaras dengan tahap literasi masyarakat Malaysia yang sudah meningkat pada ketika ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, Sabtu. Timbalan Perdana Menteri berkata usaha itu dapat memantapkan lagi dasar yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 1985 memandangkan walaupun kadar literasi rakyat Malaysia adalah tinggi, ia tidak signifikan dengan amalan dan tabiat membaca rakyat Malaysia yang masih berada di tahap rendah dan hanya membaca bahan terpilih sahaja.

Bagi kumpulan umur 10 tahun dan ke atas, daripada 85 peratus rakyat Malaysia yang membaca, hanya tiga peratus membaca buku, manakala 77 peratus membaca akhbar sahaja, tiga peratus membaca majalah dan 1.6 peratus membaca komik, kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran. Bagi rakyat Amerika Syarikat, 53 peratus daripada mereka membaca buku fiksyen dan 43 peratus membaca buku bukan fiksyen, katanya dalam ucapan perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di sini.  

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong membacakan teks ucapan beliau. Pesta bertemakan "Buku: Lakaran Masa Depan" itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra sehingga 26 April ini dianjurkan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran. Muhyiddin berkata perbandingan itu menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih cenderung membaca bahan yang ringan berbanding rakyat negara maju yang lebih gemarkan bahan bacaan dalam bentuk buku. Beliau berkata Dasar Buku Negara berobjektif untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai minat membaca yang tinggi dan menggunakan bahan bacaan berkualiti.

Daripada segi statistik Jabatan Perangkaan 2008, statistik kadar literasi pada kelompok umur 15 tahun ke atas adalah 93.2 peratus. Laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) 2007/2008 pula menunjukkan kadar literasi rakyat Malaysia berada di belakang negara maju seperti Jepun, Britain, Amerika Syarikat, Australia dan Jerman yang mempunyai kadar literasi tinggi, pada tahap 99 peratus. Muhyiddin berkata oleh itu, usaha mengembangkan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia mestilah dilihat sebagai satu agenda nasional yang bersepadu dengan proses pembinaan negara, bangsa dan pembangunan modal insan.  

Ke arah itu, agensi kerajaan sama ada di bawah Kementerian Pelajaran atau kementerian lain perlu memperkasakan aktiviti pengembangan budaya membaca dengan satu perancangan dasar yang menyeluruh berserta dengan struktur program yang jelas dan berkesan, katanya. Beliau berkata cabaran besar industri perbukuan juga perlu dilihat dengan persaingan teknologi maklumat yang menyediakan medium internet sebagai paparan karya bahan bacaan.  

"Oleh yang demikian, penggiat dan karyawan buku seperti penulis, penterjemah, penyunting, pereka letak dan ilustrator perlu melihat kembali kepada aspek latihan, pendidikan, dan peningkatan kemahiran dalam usaha menerajui industri buku di negara ini," katanya. Beliau berkata institusi latihan penerbitan pula perlu dimantapkan lagi dengan menggabungkan penulis, penterjemah, penyunting dan ilustrator supaya karya mereka boleh diangkat ke persada dunia serta berkembang maju melalui perdagangan hak cipta, seperti yang berlaku di pesta buku antarabangsa di negara maju.  

Muhyiddin berkata industri perbukuan juga perlu diperluaskan kepada semua negeri agar ia tidak hanya tertumpu kepada kawasan Lembah Klang. Pada masa sekarang, 45 peratus kedai buku terletak di Lembah Klang manakala 20 peratus di utara seperti di Perak dan Pulau Pinang dan 10 peratus di Johor. Pesta buku itu menyasarkan 2.5 juta pengunjung berbanding 2.2 juta orang pada pesta tahun lepas serta menyediakan 663 gerai pameran untuk 190 syarikat dalam dan luar negara. Turut diadakan persidangan kebangsaan mengenai penerbitan ilmiah. 

sumber: Bernama


No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA