Monday, April 27, 2009

Kembara Buku 2009

Poster PBAKL 2009 di pintu masuk
Jalan sesak. Parking penuh. Orang ramai. Suasana tetap meriah! Begitu dapat digambarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (PBAKL 2009), semalam. Kembara buku tahun ini membawa saya ke PWTC, KL untuk menjamah kepelbagaian ilmu dan ilmiah.
Majalah Milennia
Lebih kurang 11.30 pagi semalam saya dan ahli keluarga tiba di bangunan PWTC. Di jalan masuk bangunan tersebut dihenyak tapak-tapak orang yang tak putus-putus menuju masuk bangunan PWTC. Semuanya tidak lain - ke pesta ilmu yang dianggap hari terakhir semalam, bagi kali ke-28 tahun ini.
Chef menggayakan resipi keknya
Seperti yang dirancang, kami ke booth paras bawah dahulu yang kemudiannya akan menyusuri ke bahagian paras atas. Bahan bacaan yang pertama dibeli saya ialah Milenia Muslim, majalah agama domestik yang diterbit setiap bulan. Majalah ini memang dinanti-nantikan. Apa yang suka akan majalah ini kerana kandungannya bersifat kontemporari, neutral dan bermaklumat. Maka, 6 keluaran yang lepas-lepas dibeli, kesemuanya RM10 sahaja. Rugi rasanya kalau tak beli kali ini. Memang benar diakui PBAKL merupakan medan terbaik bagi sesiapa yang nak dapatkan pelbagai percetakan ilmiah yang dijujukan dengan pembukuan, penovelan, pemajalahan dan penjurnalan sama ada dalam bentuk fiksyen atau bukan fiksyen. Cakaplah apa genrenya- agama, budaya, pendidikan, kesultanan, politik, wanita, bahasa, komputer, pelancongan, biografi, sejarah, sains, alam sekitar, motivasi, ekonomi, seni, kesihatan, komik, sukan, bahan kanak-kanak, dsb. semuanya segak dipamerkan di rak-rak untuk disantap pembacanya.
PTS tetap meriah!
Pengkaryaan dari Karangkraf
Jam hampir 1 tengahari, orang semakin ramai. Berbondong-bondong manusia datang. Pelajar sekolah beruniform datang berombongan, kanak-kanak sibuk memilih bahan bacaannya manakala ibu bapa berpesta buku sakan di hujung minggu. Pameran buku di tingkat bawah sarat dengan muatan manusia, umpama sardin merah dalam tin, ha! Saya ke PTS akhirnya, penerbit buku lokal yang giat menerbit buku-buku berbahasa Melayu dalam pelbagai genre. Lagi ramainya orang tampaknya. Booth tak selebar mana tetapi tersusun memanjang. Yang bagusnya buku disusun mengikut genre dan tertulis kategori buku yang memudahkan pelanggan mencapai buku. (Tapi sukar gak mencapainya dek orang terlalu ramai.. aha!) Walau apa pun PTS tetap meriah. Di suatu sudut, kelihatan Pn. Ainon Mohd., Presiden PTS. Barangkali orang tak mengenalinya kerana sifatnya yang biasa-biasa sahaja. Kakak ipar saya beli buku Yakjuj & Makjuj - Bencana di Sebalik Gunung. Buku ini difahamkan terhasil berdasarkan tesis PHD pengarangnya. Saya tak lepas peluang membeli Benarkah Iskandar bukan Zulqarnain. Saya rasa, kedua-dua buah buku yang bersifat pembongkaran misteri ini merupakan terhebat tahun ini diterbit PTS.
Buku-buku Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh didapati di Anbakri Publika Seramai-ramainya pengunjung
Kami teruskan pelegaran kami dari gerai ke gerai yang menyaksikan pelbagai ragam manusia kerana buku. Booth Karangkraf kali ini serba kehijauan. Barangkali semangat motonya tahun ini - Go Green. Gerai bukunya disulami dedaun, manakala ‘tentera-tenteranya’ berbaju hijau hampir pasti menghijaukan lagi suasana. Majalah yang diterbitnya agak banyak di pasaran ketika ini. Di Galeri Ilmu, saya turut mendapatkan autograf dari Ustaz Zulramli. Berhampiran dengan booth tersebut, kelihatan potret Tok Guru Nik Abdul Aziz menghiasi di Anbakri Publika. Ya, buku biografi beliau sudah sedia di pasaran dan baru-baru ini Tok Guru Nik Abdul Aziz melancarkan sebuah novel Bidadari dari Timur (Memoir Isteri Seorang Pejuang), sebuah catatan isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak yang memperihalkan kisah diri dan kehidupan bersama suaminya.
Penerbit buku agama Jahabersa
Katalog buku 2009 Utusan Publication & Distributors
Boleh dikatakan hampir segenap ruang gerai di paras saya lalui, mencari buku-buku yang menarik dan sesuai dengan jiwa ini. Resensi buku di khalayak dilihat di mana-mana - di booth, lobi, kafe hingga ke surau, barangkali bicara kandungan dan penulisnya atau mungkin reka bentuk kulitnya..emm! Tapi turut nak saya dedahkan sesuatu, syarikat-syarikat buku novel sentiasa sahaja dengan pengunjung manakala buku-buku mengenai akta dan perundangan, saya lihat orangnya kurang. Jika salah, sila betulkan saya. Manakala buku sekolah tetap mendapat perhatian. PBAKL kali ini masih menunjukkan masyarakat Melayu menjadi pengunjung teramai. Namanya PBAKL – Pesta Antarabangsa Buku Kuala Lumpur, bukan Pesta Buku Kampung atau Pesta Buku Melayu dan tertera perkataan ‘Antarabangsa’ yang menunjukkan keterbukaan program ini di peringkat global. Tetapi asas untuk menjayakan kemajmukan berbilang bangsa Malaysia untuk mengisi di PBAKL 09 saya kira ia masih tak tercapai. Jika tahun lepas PBAKL menyaksikan pengunjung Melayu mencecah lebih 90 peratus. Tetapi jika Pesta/Pameran ICT penyertaan kaum Cina mendominasi 80 peratus. Apa maknanya.
Paras atas: buku-buku berbahasa Inggeris
Sedar tak sedar, enam jam telah berlalu. Saya dan keluarga akhirnya mengalah ke tingkat atas, ruang pembelekan buku terakhir di PBAKL sebelum pulang. Tingkat atas mempamerkan buku-buku penerbit antarabangsa seperti MCGraw Hill, Pearson, UniPress, Elsevier, dsb. Buku-buku ini ekstensif kepada berbahasa Inggeris. Tatkala petang itu kami tiba di atas, orangnya tidak seberapa ramai jika dibandingkan dengan paras di bawah yang padat dengan manusia. Juga ketika kami naik, kelihatan beberapa booth mengalami proses pemunggahan buku-buku dari rak ke dalam kekotak – tanda pesta buku ini berakhir sudah. Saya banyak menghabiskan masa di booth Pearson. Di sana saya dapatkan sebuah buku berjudul The Second World – How Emerging Powers Are Redefining Global Competition In The Twenty-First Century. Saya turut juga ke bahagian buku bergenre reka bentuk (design) di beberapa booth - menatap arkitektur, landskap dan rekaan grafik. (nice to see, nice to hold, but expensive to be bought). Harganya agak mahal (dalam USD belum lagi ditukar kepada RM). Lebih-lebih lagi peruntukan wang telah banyak digunakan kepada buku-buku pada paras bawah tadi. Abang saya beli sebuah buku mengenai dinasour. Konsep buku ini menekankan elemen ilustrasi dan lukisan dalam menghasilkan bentuk dinosaur dan diselang-seli teks sejarah, kewujudan, habitat, dsb. Emm.. agak menarik untuk dijadikan koleksi.
Sebahagian daripada buku-buku yang dibeli
Okay, jom balik! Kira-kira 6.30 ptg, kami melangkah keluar dari PWTC. Selamat tinggal PBAKL 09. Terima kasih kerana menyaji bahan ilmiah yang bermanfaat untuk ditatap dan dirizab khalayak umum.

No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA