Friday, May 22, 2009

Pengembaraan Meneroka Alam






















Judul: Pengembaraan Meneroka Alam  
Terbitan: Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan Malaysia  
Muka surat : 52 (termasuk kulit)
Genre: eko-Pelancongan  


  Dengan gaya reka bentuk majalah berjudul Pengembaraan Meneroka Alam, ia suatu  maklumat yang ekspresif bagi destinasi alam di Malaysia. Diterbitkan oleh Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan Malaysia, maklumat ini sesuatu yang berguna bagi pelancong untuk mengetahui tempat-tempat menarik dari dimensi eko-pelancongan dan penerokaan alam di Malaysia. 

Terbitan ini membolehkan para pencinta alam, pengembara dan pelancong dalam dan luar negara dapat mengetahui tempat-tempat seperti Gua Harimau di Lembah Kinta, Taman Alam Kuala Selangor, Camerons Highlands di Pahang, Endau Rompin di Johor, Sungai Sukau di Sabah dan Taman Negara Bako di Sarawak.
 
Pada awal muka surat makalah tersebut, sebuah peta Malaysia disisipkan bagi melegendakan destinasi eko-pelancongan di negara ini. Makalah berhalaman 52 muka surat (termasuk kulit) ini disusun mengikut kategori dan dipadat dengan teks, imej dan grafik destinasi menarik untuk diterokai.
  • Meneroka Hutan / Perkhemahan
  • Mendaki Gunung
  • Mendaki Permukaan Batu
  • Meneroka Gua
  • Menyusur Sungai
  • Berakit Melawan Jeram
  • Ekspedisi Pacuan Empat Roda
  • Berbasikal
  • Memerhati Burung
  • Menyelam Lihat Kapal Karam
Sebenarnya naskhah ini saya dapatkan di Pusat Informasi Pelancongan Perak baru-baru ini. Saya ke sana sewaktu hendak mendapat beberapa maklumat bagi melakukan ekspedisi pelancongan ke Pulau Pinang pada tempoh hari. Bagi saya, sumber maklumat pelancongan/pengembaraan yang diterbit dalam bentuk buku, brosur dan peta selain dari saluran internet adalah penting bagi individu/kumpulan individu merancangkan perjalanan/pelancongan ke destinasinya terutama tempat destinasi dituju agak terasing pada dirinya. 

Tahun ini insya-Allah, jika ada ruang waktu, ekonomi yang stabil dan kekuatan tubuh badan, saya akan melakukan siri penjelajahan ke tempat-tempat di Malaysia. Bersama rakan-rakan seperjuangan sebagai teman ekspedisi, pengembaraan ini diharapkan dapat membina kekuatan mental & fizikal dan seterusnya menelagai pengetahuan dan pengalaman yang bermakna, insya-Allah.




Saturday, May 16, 2009

Pelancongan Pulau Pinang


Akhirnya kami menyusuri masuk ke Butterworth melalui Lebuhraya Utara Selatan tengahari itu. Memang dicari masuk ke Butterworth kerana teringin sekali menaiki feri untuk sampai ke Georgetown. Balik nanti telusuri pula Jambatan P. Pinang untuk ke tanah besar. Setelah kenderaan beratur kira-kira 20 minit, akhirnya kereta kami bergerak masuk ke perut feri. Enjin kereta dimatikan. Feri selepas itu mula bergerak. Saya, Rizal, Naz, Syihan bingkas keluar dari kereta. Kelihatan penumpang lain turut bersama. Manakala yang lain duduk dalam kenderaan.. barangkali sudah biasa berulang-alik dengan feri. 

Kami mengamati pemandangan laut sekeliling dari muka feri. Memang cantik! Bayu laut menempias ke muka.. nyaman terasa. Pemandangan awan cerah ketika itu. Laut membiru perlahan. Dalam perjalanan itu kelihatan feri berselang-selang melewati perairan tersebut pergi dan balik mengandar manusia dan kenderaan ke destinasi dituju. Dari dek feri, kelihatan jelas obor-obor berenang di permukaan air masin. Manakala enjin feri menderu laju membelah ombak. Nun jauh kelihatan jambatan P. Pinang tersergam terbentang di lautan. Burung-burung bebas berterbangan di udara. Bangunan Komtar yang menjadi mercu tanda di pulau itu semakin dekat di penglihatan. 

Setelah 15 minit bergerak, feri akhirnya sampai di jeti Georgetown. Enjin kereta dihidupkan. Pintu feri terbuka. Yup! Kembara bermula, semangat membara.. Ayuh, ke destinasi pulau mengamit kepelbagaian pelancongan. 
 

Guru O Guru


Guru O Guru

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan didulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


Usman Awang 
1979
 


Friday, May 15, 2009

Oh Penuntut


Oh Penuntut

Lamun dikau duduk tunduk,
Menulis melukis merenung tepat,
Kepada buku penyuluh jalan,
Jalan hidup berkelok-kelok,
Tetapi dikau bertanggung berat,
Dalam membina kemerdekaan.

Tetesan tintamu penyiram semangat,
Goresan pena di hadapan suria,
Rajin tekun bahagia mereka,
Di situlah dikau dituntut giat,
Di sana tempat mencari laba,
Penebus hak bumi pusaka.

Teruskan segera perjuangan saudara,
Di medan pelajaran yang maha luas,
Yakin dan tabah menuju cita,
Berani menentang ombak gelora,
Terhadap nusa tulus ikhlas,
Secara perajurit pahlawan sateria.

Biarpun dikau duduk di sana,
Tetapi mempunyai erti mulia,
Dalam perjuangan mencintakan maju,
Kemerdekaan raya dikaulah pembela,
Memberi bukti cinta setia,
Berjuang bersama angkatan baru.  


Zulkifli Muhammad - Majlis, 14 Disember 1946
 



  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA