LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, November 24, 2009

Kejayaan Malaysia 25 Tahun (1957-1982)

 











Judul : Kejayaan Malaysia 25 Tahun (1957-1982)
Suntingan : Fauzi Mohd Reka letak &
Fotografi : Bahagian Pengeluaran Visual
Penerbit : Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Penerangan Malaysia
Tahun Terbitan: September, 1982




Kejayaan Malaysia 25 Tahun (1957-1982) merupakan buku meja kopi (cofee table book) yang diterbit oleh Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Penerangan Malaysia pada tahun 1982, sebuah buku yang agak lama namun masih disimpan oleh bapa saya sehingga saya generasi hari ini. Buku yang bersaiz 10 x 9 inci, setebal 100 muka surat, merupakan sejarah 25 tahun kejayaan Malaysia bermula pada tahun 1957-1982, iaitu sejak kemerdekaan Tanah Melayu sehingga pencapaian Malaysia dalam pelbagai bidang dan kepimpinan pada masa itu.

Pada muka pendahuluan, diterangkan liku-liku negara ini dengan penjajahan Portugis (1511-1640), Belanda (1641-1786), kekuasaan Inggeris dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu sehingga perjalanan untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu. Dua parti politik terpenting iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dibawah kepimpinan Dr. Burhanuddin dan UMNO diketuai Dato’ Onn pada zaman itu, disebut dalam buku ini bagi menuntut pembubaran Malayan Union dan seterusnya membentuk Persekutuan Tanah Melayu. 

Walaupun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sekali lagi negara digugat dengan komunis dan peristiwa perkauman 13 Mei 1969. Berkat kebijaksanaan dan kepimpinan kerajaan pada waktu itu serta muafakat semula antara rakyat, keharmonian mekar kembali di Malaysia.  










Logo Perayaan Jubli Perak Hari Kebangsaan 31 Ogos 1982  

Oleh kerana ia suatu buku meja kopi, sudah pasti dipenuhi banyak imej yang mempunyai seribu makna dalam susur galur Malaysia 25 tahun sejak 1957. Pengisian imej pertama di halaman buku menunjukkan Bapa Kemerdekaan melaungkan “merdeka” yang mengisytiharkan Tanah Melayu sebagai negara bebas dan merdeka pada 31 Ogos 1957. Halaman-halaman awal menunjukkan imej bangunan Parlimen yang menggambarkan demokrasi rakyat dalam menentukan kepimpinan kerajaan; Yang di-Pertuan Agong sebagai simbol Raja Berpelembagaan; Perdana-Perdana Menteri Malaysia sebagai ketua kerajaan - Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (1957-1970), Tun Abdul Razak bin Hussein (1970-1975), Tun Hussein Onn (1975-1981) dan Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad (bermula 1981). 

Imej-imej termuat dalam buku ini diteruskan dalam bidang ekonomi, komoditi negara, pendidikan, pertahanan, agama sehingga ke hubungan luar negara manakala setiap bidang mempunyai penerangan teksnya. Buku meja kopi ini sudah berusia 27 tahun lamanya. Melihat imej-imejnya saja, sudah tentu mengimbas kembali nostalgia kehidupan rakyat pada zaman tersebut, namun nilai klasiknya perlu ditukar dengan pembaharuan iltizam dan tekad generasi hari ini bagi mengekal dan mengisi kemerdekaan di tanah air tercinta ini.




No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA