LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, November 25, 2009

Parlimen Dahulu, Parlimen Sekarang

Parlimen Dahulu, Parlimen Sekarang

 







oleh Prof. Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim  




Parlimen adalah tempat di mana rakyat, melalui wakilnya, merealisasikan hasrat mereka. Amalan dan tindakan Parlimen memperlihatkan sikap dan kecenderungan penduduk sesebuah negara. Sejarah Parlimen Malaysia yang sebenarnya telah bermula sebelum pembentukan Malaysia (pada 16 September 1963) kini berusia setengah abad. Pada 31 Ogos, Tanah Melayu muncul sebagai sebuah negara bangsa. 

Ia merupakan suatu gabungan sembilan buah kerajaan berdaulat dan Negeri-negeri Selat yang dari tahun 1867-1957 (kecuali waktu Perang Dunia Kedua) merupakan Tanah Jajahan British. Sistem politik yang dipilih rakyatnya pada tahun 1957 adalah Demokrasi Berparlimen. Justeru sistem pemerintahannya terdiri daripada tiga bahagian yang berasingan: Kehakiman, Perundangan dan Eksekutif.  
Bukan hanya negara yang mempunyai Perlembagaan, setiap negeri juga mempunyai Perlembagaan. Sistem politik dan pemerintahan harus berjalan berasaskan Perlembagaan. Memang ramai tidak faham apa itu Perlembagaan. Secara ringkas, Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara. Undang-undang lain yang bertentangan dengan Perlembagaan adalah tidak sah. Secara umumnya Perlembagaan memang dapat dipinda dengan majoriti dua pertiga tetapi dalam Perlembagaan Malaysia ada fasal-fasal tertentu yang hanya dapat dipinda dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Amat jelas bahawa sepanjang 1970-an Parlimen bukan hanya sibuk dengan isu mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang melibatkan kepentingan kaum Melayu dan kaum bukan Melayu, ia tidak memberi penjelasan tentang kedudukan orang Melayu dan golongan bumiputera kepada orang ramai. Undang-undang yang diluluskan membezakan di antara orang Melayu dengan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak tetapi pada suatu ketika orang Melayu di Semenanjung biasanya merujuk kepada diri sendiri sebagai kaum bumiputera.  Sepanjang 1970-an, akibat rusuhan 1969, isu-isu yang dianggap sensitif tidak dapat dibincangkan oleh orang ramai. 

Walau pun wakil rakyat diberi kebebasan di Parlimen untuk membangkitkan hal-hal yang membabitkan kepentingan orang ramai, mereka lebih berhati-hati daripada dahulu. Di samping itu orang ramai diingatkan bahawa DEB bukan bertujuan memberi segala-galanya kepada orang Melayu. Strateginya ialah negara mesti meluaskan kekayaannya dan bahagian tambahan itu sahaja, dan bukan keseluruhannya, akan diberikan kepada orang Melayu.  

Keadaan berubah dengan agak drastik pada awal 1980-an apabila Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) muncul sebagai Perdana Menteri. Beliau mentafsirkan DEB dengan cara yang tersendiri. Bagi beliau usahawan seharusnya diberi bantuan oleh pihak pemerintah agar mereka dapat mencapai keuntungan yang maksimum. Dr. Mahathir juga pemimpin yang tidak bertoleransi dengan pengiring yang tidak mempunyai cita-cita tinggi. Pada masa beliau menjadi Perdana Menteri, DEB digunakan untuk menolong usahawan Melayu mencapai kejayaan yang luar biasa.  

Walau pun kedudukan Barisan Nasional dan UMNO tidak menghadapi sebarang masalah di Parlimen, pada zaman Dr. Mahathir, kedudukan UMNO bukanlah begitu tenang. Timbalannya berubah beberapa kali. Dalam jangka masa dua dekad Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, empat orang telah menjadi Timbalannya. Kemudian tiba-tiba Dr. Mahathir berundur untuk membolehkan Abdullah Badawi (kini Tun) menggantikannya.

Perdana Menteri baru berjanji akan memperkenalkan beberapa perubahan yang akan mempertingkatkan taraf hidup rakyat. Satu cara untuk memajukan negara ialah dengan menitikberatkan Islam Hadari - Islam yang adil pada semua dengan menitikberatkan agama itu sebagai mana terdapat pada kitab al-Quran. Beliau juga minta rakyat jangan berkhidmat untuk beliau tetapi bersama beliau. Walau pun sikap Abdullah Badawi diterima baik oleh rakyat, dari segi pelaksanaannya, parti pemerintah dan juga pegawai tadbir tidak berjaya meyakinkan rakyat.  

Ahli Parlimen pada zaman akhir-akhir ini jauh berbeza dengan mereka yang sampai ke Parlimen pada 1960-an dan 1970-an. Pada zaman dahulu Ahli Parlimen berbahas berasaskan gagasan dan undang-undang. Akhir-akhir ini, Ahli Parlimen lebih suka berlakon dan di antara mereka ini majoriti suka menjadi pelawak. Kadang-kadang ada juga yang tidak segan menggunakan bahasa yang tidak senonoh. Justeru rakyat mulai memandang negatif terhadap Ahli Parlimen. Ketidakpuasan hati mereka jelas ternampak bila prestasi Barisan Nasional merosot dengan jelas pada Pilihan Raya Umum 2008 dan juga selanjutnya bila Basrisan Nasional kalah di beberapa pilihan raya kecil.

Dalam jangka masa lebih kurang 25 tahun kebelakangan ini, Parlimen Malaysia tidak memperlihatkan bahawa ia semakin matang. Mutu perbahasan jelas tidak membuktikan peningkatan yang dapat menenangkan hati rakyat. Ada suatu ketika dicadangkan oleh sesetengah pihak bahawa mesyuarat Parlimen sepatutnya ditayangkan secara langsung. Tetapi ini tidak dilaksanakan kerana ramai khuatir perangai Ahli Parlimen yang tidak senonoh itu nanti akan memberi kesan negatif kepada golongan muda di Malaysia. Kini Parlimen sudah sampai ke suatu peringkat yang sangat genting. 

Pengumuman tentang konsep 1Malaysia memang dialu-alukan oleh mereka yang sayangkan Malaysia dan mahu melihat Malaysia muncul kembali sebagai sebuah negara yang dapat bersaing di peringkat antarabangsa dalam bidang ekonomi, pendidikan, pembangunan dan sukan. Tetapi prestasi Ahli Parlimen zaman sekarang tidak memperlihatkan kecemerlangan yang rakyat harapkan. Yang lebih membimbangkan ialah wakil rakyat tidak dapat membuktikan bahawa mereka memahami undang-undang maka mereka seolah-olah tidak sanggup patuh kepada prinsip-prinsip Rukunegara: "Keluhuran Perlembagaan" dan "Kedaulatan Undang-undang". 

Ternampak seolah-oleh mereka lebih mementingkan agenda diri sendiri daripada agenda rakyat. Malaysia ada satu matlamat lagi yang seharusnya dikejar: Wawasan 2020, iaitu Malaysia sepatutnya sampai ke status negara maju pada tahun itu. Untuk mencapai sasaran itu negara memerlukan pemimpin-pemimpin yang serius, berkebolehan dan penuh dengan integriti.  

Wakil rakyat memang pemimpin yang sangat penting dalam sesebuah negara. Merekalah yang dipilih oleh rakyat untuk menjalankan pemerintahan maka rakyat menaruh harapan sepenuhnya kepada mereka. Parlimen adalah tempat di mana prestasi mereka secara terus menerus diuji.  


sumber: Utusan Malaysia



No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA