Majalah PC Mei 2010 (#161)
Majalah PC keluaran Mei 2010 (#161) bertemakan Windows 7. Jika dilihat pada kulit muka majalah tersebut, grafik bernombor tujuh mewakili sistem pengoperasian (OS) Windows 7. Begitulah majalah yang dikeluarkan oleh Karangkraf yang selalu sahaja dengan perhiasan grafik dan warna-warni pada muka dan halamannya. Saya mendapatkan majalah ini ketika kebetulan tahun ini komputer saya telah memasang windows 7 setelah lama dengan Windows XP.
Oleh kerana ada beberapa masalah teknikal pada sistem pengoperasian dan perlu diformat balik, maka OS digantikan baru dengan Windows 7. Apabila bersama dengan Windows 7 ternyata banyak kelainan dan pembaharuan syarikat Microsoft lakukan pada antaramukanya. Ia kelihatan cantik, lebih interaktif, capaian mudah-mesra dan banyak efek memberi nilai tambah kepada penggunanya. Windows 7 telah dilancar pada 22 Oktober 2009 dengan enam edisi utama:
- Starter
- Home Basic
- Home Premium
- Professional
- Enterprise
- Ultimate
Antaramuka Windows 7
Saya mendapatkan Home Basic pada harga RM289 di sebuah kedai komputer. Pada mulanya ia kelihatan agak berat dengan perkakasan saya. Walaupun dilarikan di atas Intel Core (2) Duo, RAM 1GB yang ada pada motherboard masih belum memadai. Tambahan pula kerja-kerja saya dalam bidang design + multimedia memerlukan sokongan RAM yang lebih besar. Bagi mengisi slot kosong pada motherboard, RAM 512MB saya pinjam dari adik saya (yang dia tidak pakai buat sementara ini). Manakala pendrive saya, boleh dijadikan sebagai RAM pada slot USB.
Windows 7 seperti juga Vista memudahkan penggunanya menambahkan RAM tambahan pada komputernya dengan menjadikan pendrive / peranti storan sebagai RAM. Proses ini dinamakan ReadyBoost. Untuk pemprosesan yang lebih efisien dengan RAM yang tidak begitu tinggi, ada beberapa perkara yang saya perlu lakukan pada Windows ini, umpamanya menidakkan banyak perkara pada Visual Effect di System Properties, memadam aplikasi pada Startup, mengenepikan Search Index, mematikan Sound Systems, meninggalkan servis panel yang tidak perlu, meniadakan Thumbnail Preview pada Folder Options dan memanfaatkan maklumat yang berguna dari laman web untuk tip pembersihan storan, kelajuan aplikasi dan browser bagi melicinkan Windows 7 performance.
Sebenarnya tidak banyak cerita kali ini mengenai Windows 7 pada majalah Mei 2010. Fokus Windows 7 bertumpu kepada tiga subjek utama iaitu “Soalan Lazim Windows 7” , “Kenali Windows 7 secara Visual” dan “Perisian Percuma Untuk Melengkapi Windows 7” yang saya rasa boleh diperhebatkan lagi maklumatnya. Tentu berlegar di fikiran kita tentang mengapa dinamakan Windows 7, kenapa tidak dengan nama Windows lain? Melalui penulisan majalah tersebut seperti yang diperkatakan dalam beberapa tapak web di ruang siber menyatakan turutan peristiwa Windows sebegini:
- Windows 1 (Windows 1)
- Windows 2 (Windows 2)
- Windows 3 (Windows 3, Windows NT)
- Windows 4 (Windows 95, Windows 98, Windows 98 SE, Windows ME)
- Windows 5 (Windows 2000, Windows XP)
- Windows 6 (Windows Vista)
- Windows 7 (Windows 7)
Majalah PC beredar di pasaran setiap bulan. Ia merupakan sumber ilmu perkomputeran dan dunia digital semasa. Majalah ini saya kumpul ketika saya di peringkat pengajian Diploma lagi. Sepanjang bersama majalah ini ada masanya ia bertukar tangan dengan rakan-rakan yang ingin menjadi pembacanya lebih-lebih lagi bidang kami ceburi dalam jurusan IT. Saya juga melalui waktu di mana pengkoleksian ini agak terhenti apabila tamat pengajian di IPT. Sesekali saya mendapatnya juga di pasaran atau mengikutinya melalui perpustakaan dan pinjaman dari kawan-kawan.
Apa yang membanggakan pada nilai majalah ini, adalah kerana ia sesuatu yang berani untuk terus kekal dalam bahasa Melayu dan kelangsungannya dianggap baik tanpa jemu mendidik / memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai ICT. Jika tidak silap, Majalah PC ini telah bertapak pada pertengahan 90-an dan ia segar dengan pelbagai bahan tajuk. Oleh kerana ia tidak tertumpu pada pengguna Windows sahaja, paparannya turut mencerminkan bagi pengguna OS Unix, Linux, Ubuntu dan memasukkan pelbagai kategori perisian dan perkakasan. Cumanya saya berharap ada artikel atau rencana panjang mengenai asosiasi ICT, industri animasi, aspirasi inovasi yang ditulis oleh pakar / wartawan / aktivis IT yang boleh dimasukkan setiap bulan selain penumpuan pada berita IT pada waktu ini.
Apabila namanya majalah, banyak informasi yang boleh diketengahkan seperti mana dengan majalah-majalah lain yang tidak habis dengan keilmiahannya. Kerana teknologi itu suatu pembaharuan yang membawa banyak impak kepada trend, sosial masyarakat dan di pelbagai lapangan, maka ketuntasan penulisannya pula didahagai.
No comments:
Post a Comment