Saturday, June 26, 2010

Bacaan Seterusnya...


Tiga buah buku habis dibaca berturut-turut iaitu Menjawab Persoalan Makhluk Halus – Kaitannya dengan Penyakit dan Pengubatan (Dato' Dr. Haron Din, 2009), Travelog Iran – Menyingkap Misteri Bumi Ahmadinejad (Dina Sulaiman, 2009) dan yang terbaru Hamas – Pejuang Kota Suci Baitulmuqaddis (Maszlee Malik, 2009). Alhamdulillah, banyak maklumat baru diperolehi. Seronoknya membaca kerana pembacaan yang meluas itu menggapai ilmu yang tidak terhingga banyaknya yang tak putus-putus terhabisnya. Sedikit dari khazanah ilmu itu menjadi milikan empunya diri yang melahirkan pengetahuan bermanfaat  untuk dicerakinkan. Maka, apa pula buku-buku seterusnya harus dibaca.

Banyak sebenarnya buku yang menanti! (So many books to read. So little time!) Langkah misi seterusnya adalah 3 buah buku: 1 novel + 1 bukan-fiksyen + 1 komik yang mana kali ini insya-Allah sengaja dicuba saya untuk membaca kesemuanya secara serentak.

____________________________________________________________


Piala Kehidupan (Nazehran Jose Ahmad. 2008. Pekan Ilmu)

Novel Piala Kehidupan merupakan novel pertama saya beli tahun 2010 tatkala pergi melawat adik saya di Batu Pahat awal tahun ini. Buku ini dibeli di kedai buku dan Alat Tulis Freedom, Parit Raja yang menyaji banyak novel-novel tempatan di kedai tersebut. Ia mengisahkan cerita bola sekitar 90-an dan diselit percintaan oleh penulis Nazehran Jose Ahmad. Semangat buku ini diambil dengan lagenda bola sepak Malaysia seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Datuk Ghani Abdul Minhat, Chow Kwai Lam, Arthur Koh, Santokh Singh, Datuk Soh Chin Aun, Wong Chong Wah, Abdullah Ali, K Rajagopal, Zufkifli Norbit, Redzuan Abdullah, pemain adik-beradik Khalid Ali dan Hanafiah Ali dan ramai lagi. Musim bola sepak Piala Dunia 2010 yang beredar waktu ini, masa terbaik novel ini dibaca.

____________________________________________________________


Bone : The Complete Cartoon Epic in One Volume (Jeff Smith. 2004. Cartoon Books)

Bone merupakan novel grafik (komik) hitam putih setebal 1332 halaman (fun and action-adventure story) dihasilkan oleh Jeff Smith. Komik ini mengisahkan tiga saudara bernama Fone Bone, Phoney Bone dan Smiley Bone yang lari dari Boneville, kampung halaman mereka lalu berpecah dan tersesat setelah mereka diserang jutaan belalang di gurun. Masing-masing mencari haluan sehingga masing-masingnya terjumpa sebuah wilayah menarik yang mempunyai penghuni manusia dan makhluk-makhluk ajaib. Malah watak Bone juga dicipta istimewa (botak, berwarna putih, berhidung bulat dan comel) Kembara mereka bermula dengan bermacam-macam ragam untuk menyatukan semula mereka dan pelbagai misi yang tak terduga menemui mereka. Novel grafik ini sebenar saya sudah baca pada siri Out From Boneville (Bone #1). Tapi untuk volume yang lengkap (#1-9), saya pinjam dari abang saya di Kuala Lumpur yang juga merupakan seorang penggemar komik.

____________________________________________________________


Wajah Baru Politik Malaysia (Mujahid Yusof. 2009. Anbakri Publika)

Saat berada di Kinokuniya, KLCC beberapa bulan lepas, buku yang diperolehi adalah Wajah Baru Politik Malaysia di samping Alexander Adalah Zulqarnain. Wajah Baru Politik Malaysia diilhamkan Dr. Mujahid Yusof, Ahli Parlimen Parit Buntar yang juga anak kepada Allahyarham Yusof Rawa, Bekas Presiden PAS. Wajah Baru Politik Malaysia yang diterbit Anbakri Publika (kini Kemilau Publika) cuba mencungkil dan menganalisis senario politik semasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang menyaksikan perubahan dalam landskap politik negara. Selain daripada itu, buku ini membedahkan isu-isu semasa, perpaduan, orang Melayu dan pendekatan parti yang dianggotai penulis dan peralihan kuasa & kepimpinan parti lawan. Di bahagian pendahuluan buku ini, pandangan sisi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dimasukkan sebagai mutiara bicara bagi tema buku ini.

No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA