Saturday, August 14, 2010
7 Tip Penjagaan dan Pengurusan Buku
1 Elakkan buku dari kepanasan
Jangan letak buku pada tempat yang panas. Membiarkan buku pada darjah suhu yang tinggi menyebabkan buku anda melengkung dan permukaannya tidak sama rata. Meninggalkan buku dalam kenderaan di tempat parkir panas atau membiarkan buku berdekatan mesin-jentera berhaba antara perkara yang perlu dielakkan bagi penjagaan buku anda. Bahang panas juga menyebabkan kulit muka dan halaman menjadi kekuningan.
2 Balut buku
Kekalkan penjagaan buku dengan membalut buku-buku yang dibeli. Membalut buku dapat memelihara kulit buku daripada rosak di tepi-tepinya. Ia juga dapa mengelak daripada lekatan debu, minyak dan kotor terus pada muka buku. Terdapat pelbagai plastik buku di pasaran mengikut kualiti dan ketebalannya. Pilihlah plastik buku yang berkualiti. Jika anda memilih plastik buku yang nipis atau bermutu rendah maka plastik ini adalah jenis yang tidak tahan lama, mudah koyak dan cepat bertindak balas apabila berhadapan perubahan suhu tinggi.
3 Sediakan almari / rak buku
Buku yang diperolehi / dibeli dari masa ke semasa sedikit demi sedikit menjadi banyak. Kelak ia menimbun dengan pelbagai judul yang memerlukan penyimpanan teratur. Justeru itu penyediaan almari buku atau rak buku merupakan suatu cara supaya buku anda tidak bersepah dan merata-rata. Jika ada duit lebih, beli almari / rak buku yang bercermin bagi mengelakkan buku anda dari cepat berhabuk dan berdebu.
4 Susun buku ikut kategori dan genre
Atur buku ikut kategori dan genre. Maksud kategori adalah pembahagian mengikut majalah, novel, jurnal, diari, ensiklopedia, fiksyen, bukan fiksyen, dsb. Genre pula adalah perjenisan judul buku melalui tema dan intipati sesebuah buku seperti biografi, agama, ekonomi, politik, sejarah, arkitektur, pendidikan, tamadun, perubatan, sains, dsb. Terpulang kaedah penyusunan masing-masing. Ada yang suka menyusun mengikut keluaran penerbit. Ada yang gemar menyusun mengikut nama penulis buku. Sebahagian lain mungkin meminati penyusunan mengikut siri / edisi.
5 Atur buku secara menegak
Aturan buku-buku secara menegak merupakan kaedah penyusunan yang terbaik berbanding penyusunan kaedah buku baring atau melintang. Mengapa? Pertama, buku secara menegak memudah dan mempercepatkan kita mengambil buku yang dicari. Kedua, penyusunan secara menegak memanjang jangka hayat buku. Ini kerana buku-buku secara baring menyebabkan binding buku lama-kelamaan tidak selari akibat bertindih dengan buku-buku lain di atasnya.
6 Letak penghadang buku
Apabila menyusun buku (secara menegak), letakkan penghadang buku pada susunan buku paling tepi / akhir buku. Tujuannya supaya buku-buku yang disusun itu tidak kelihatan senget atau terjatuh. Penghadang buku boleh didapati di kedai alat tulis.
7 Rekod maklumat buku
Pustakakan maklumat buku-buku supaya pengkoleksian senarai bahan bacaan anda lebih tersusun, terurus dan bermaklumat. Bagi sebuah buku, perkara yang boleh direkodkan adalah seperti judul buku, nama penulis, nama penerbit, tahun terbitan, jumlah halaman, ISBN, harga buku, genre, dsb. Perekodan ini memudahkan anda melihat kembali jenis-jenis buku yang ada dalam simpanan. Urutan senarai ini amat bermanfaat bagi kegunaan capaian di masa akan datang. Anda boleh menguruskan perekodan ini melalui catitan pada buku khas atau melalui perisian pangkalan data. Perisian asas seperti Database, Excel boleh diinisiatifkan atau memuat turun secara percuma perisian perekodan buku yang sesuai di laman siber. Hari ini, laman komuniti perpustakaan maya seperti Goodreads, Shelfari, LibraryThing menyediakan akaun buku yang membolehkan anda untuk berkongsi maklumat buku anda miliki dengan penggemar-penggemar buku dari pelosok dunia.
Labels:
buku,
pengurusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
tips-tips yang menarik!
Terima kasih. slm utk buku.
Post a Comment