Judul : Muhammad SAW, Jejak Junjungan Mulia
Penulis : Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Penerbit : Kemilau Publika
Tahun Terbitan : September 2009
Halaman : 244
ISBN : 978-983-44746-5-2
Genre : Islam | ketokohan | sirah | sejarah | biografi
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu, seorang rasul
dari golongan kamu sendiri, berat terasa olehnya
penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan
keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi
penyayang terhadap orang-orang yang beriman."
(At-Taubah: ayat 128)
Muqaddimah
Begitulah gambaran dari ayat Quran yang memperihalkan seorang manusia yang bernama Muhammad diutuskan ke bumi sebagai Rasul membawa rahmat ke seluruh alam. Baginda terlalu sayang kepada umatnya. Kasih sayangnya tidak bertepi dalam menuntuni peradaban yang baik sama ada pada umat Islam mahupun bukan Islam. Ada waktunya baginda memimpin pengajaran agama. Ada ketikanya baginda membantu hal ehwal masyarakat. Adakalanya baginda pergi berperang. Ada saatnya baginda berukhuwwah dengan keluarga. Ada ruang pengisian dalam kehidupan baginda bertaqarrub kepada Allah SWT. Ada semuanya panduan kehidupan pada diri Rasulullah SAW yang menjadi sunnah untuk diteladani. Sedekah baginda tidak terhitung banyaknya bagi memunculkan Islam sebagai agama yang benar, mengeluarkan manusia dari dunia jahiliah dan khurafat kepada kehidupan berlandas syariat, bebas dan berakhlak mulia. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Semoga kita mengikut jejak langkah apa yang disampaikan baginda.
Buku Muhammad SAW - Jejak Junjungan Mulia memasuki jilid ke-2 dengan sirah perjalanan Rasulullah SAW menegak agama Islam di muka bumi ini. Jika buku jilid pertama - Muhammad SAW, Insan Teladan Sepanjang Zaman banyak mengisahkan perjuangan baginda dalam siri peperangan Islam, maka kali ini Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (penulis) mengajak para pembaca untuk menelusuri beberapa siri peperangan lagi disertakan kehidupan baginda di tengah-tengah masyarakat ketika itu. Di samping itu, dicatatkan hikmah di sebalik tugas yang dikemukakan Rasulullah SAW dan bagaimana umatnya mengikuti penyuluh jalannya. Buku ini juga menceritakan detik-detik kewafatan nabi yang amat menyentuh hati dan bagaimana pemerintahan baginda disambung oleh Empat Khalifah Ar-Rasyidin yang utama. Perjalanan baginda terlalu banyak untuk dikisahkan, namun suka saya mengambil iktibar dari buku ini melalui peristiwa Tabuk.
Peperangan Tabuk
Peperangan Tabuk berlaku sekitar bulan Rejab, tahun ke-9 hijrah. Wahyu diturunkan Allah SWT melalui malaikat Jibril agar Muhammad SAW bersiap sedia bagi menentang tentera Rom di medan Tabuk, sebuah tempat padang pasir yang jauh lagi menyukarkan para musafir, berdekatan dengan Teluk Aqabah. Perang Tabuk bermula disebabkan kerajaan Rom dengan empayarnya kuat waktu itu, telah mengumpulkan pasukan perangnya bagi melebar jajahannya ke tanah-tanah arab serta memerangi Rasulullah SAW dan kerajaan Islam. Apa yang tersurat dengan nama peperangan ini, adalah Tabuk sendiri berlaku dalam keadaan destinasi tempat jauh dari Makkah dan Madinah berserta cuaca yang terlalu panas. Bayangkan di jazirah tanah Arab dengan padang pasir, bergurun kering dan kontang. Ditambah persekitaran yang panas terik sangat menguguh jiwa yang merasainya, menghadapi kerahan pasukan Rom yang jauh berganda-ganda dari kaum Muslimin.
Pada masa yang sama, peperangan Tabuk ini berlaku dalam suasana musim menuai buah tamar dan anggur. Tanaman yang diusahakan bagi sekian lamanya oleh penduduk telah mula masak ranum dan sedia untuk dipetik. Jika terlewat dituai, sudah pasti buahnya akan luruh dan rosak. Kaum muslimin ketika itu berasa serba salah antara mengikut perintah Rasulullah SAW untuk berperang dalam cuaca panas atau bersiap untuk memungut hasil tanaman. Hasil tuaian yang diperolehi ini merupakan sumber rezeki dan ekonomi bagi kaum muslimin. Peristiwa ini benar-benar menguji keimanan orang Islam.
Selain daripada itu, terdapat golongan munafikin yang menghasut golongan mukminin supaya tidak berperang dengan memberi pelbagai alasan seperti panas terik dan kesusahan yang ditanggung oleh mereka yang berjuang kelak. Allah SWT menempelak golongan ini melalui wahyuNya:
“Orang-orang yang ditinggalkan (tidak ikut berperang)
itu, merasa gembira dengan tinggalnya mereka di
belakang Rasulullah, dan mereka tidak suka berjihad
dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah dan
mereka berkata: ‘Janganlah kamu (pergi berperang)
dalam panas terik ini’. Katakanlah: ‘Api neraka
jahannam itu lebih sangat panas(nya), jika mereka
mengetahui.’ Maka hendaklah mereka tertawa sedikit
dan banyak menangis, sebagai balasan dari apa
yang selalu mereka kerjakan."
(At-Taubah: ayat 81-82)
Maka, atas keimanan yang tinggi kepada Allah SWT dan dasar kecintaan kepada Rasulullah SAW melebihi dari dunia seisinya, para penduduk mengikuti junjungan mulia ini bagi membenteng pertahanan dari ancaman musuh musyrikin dari sewenang-wenangnya menjajahi bumi Islam. Di samping itu, sifat pengorbanan dan dermawan yang ditonjolkan para sahabat menjadi contoh bagi memperjuangkan Islam ke jalan Allah. Umpamanya dalam peristiwa genting ini, Saidina Usman bin Affan r.a. memberi 300 ekor unta dengan kelengkapan muatan perang. Beliau juga tidak lokek menderma 200 augiah (10,000 dinar). Umar ibnu Al-Khattab r.a datang kepada Rasulullah SAW dengan menyerah separuh hartanya untuk jihad fisabilillah. Abu Bakar As-Siddiq r.a. pula menyerahkan apa saja yang dimiliknya, lalu perkara ini ditanya Rasulullah SAW. “Apakah yang tinggal untuk ahli keluargamu?” Jawab Abu Bakar, “Hanya Allah dan RasulNya sahaja yang ku tinggalkan untuk keluargaku”. Menginfak harta benda untuk tujuan murni ini tidak lain tidak bukan hanya semata-mata mengharap keredhaan Allah SWT.
Setelah mengumpul kekuatan dan kelengkapan, Rasulullah SAW bersama 30,000 bala tentera Islam memulakan perjalanan ke medan Tabuk. Saat melalui perjalanan jauh kira-kira 3,000 batu dari kota Madinah dengan suhu panas membara, tentu sahaja junjungan besar Rasulullah SAW bersama kaum muslimin mengharungi kesabaran dalam perjalanan berliku itu. Cabaran kekurangan air terpaksa dihadapi dengan keperluan dan kelengkapan yang terbatas. Terdapat juga segelintir daripada mereka terpaksa berkongsi unta secara bergilir-gilir. Dalam episod ini, kesabaran mereka teruji sekali lagi bagaimana menghidupkan kerjasama dan mengurus atur perjalanan dengan baik menuju ke medan Tabuk. Namun persefahaman yang berterusan dan sentiasa muafakat dalam jemaah perpaduan menguat kembali kekuatan pasukan Islam. Akhirnya semangat kental umat Islam yang ditunjukkan amat menggerunkan musuh apabila mengetahui persiapan tentera Islam diketuai Rasulullah SAW sedang menuju ke Tabuk. Walaupun tentera Rom dengan jumlahnya yang sepuluh kali ganda banyaknya, namun mereka amat bimbang, gusar dengan keberanian umat Islam yang sentiasa bersedia berjihad dengan segala kesungguhan yang dibina. Mereka (pasukan perang Rom) tidak jadi berperang lalu berundur dan berpatah balik. Setelah itu penguasa Yuhanna, Gabenor Ilah dari kerajaan Rom meminta perdamaian dengan baginda dan bersetuju membayar jizyah.
Perbandingan orang Islam yang berperang dengan orang musyrik yang berperang ada jelas perbedaan kedua-duanya. Walaupun orang musyrik berperang mempunyai kelengkapan yang baik ditambah pasukan yang terdiri ramai, namun mereka sebenar takut akan maut menimpa diri mereka. Manakala bagi umat Islam yang berjihad ke jalan Allah, mereka mengorban apa sahaja termasuk jiwa dan raga. Kematian umat Islam dalam jihad menentang musuh merupakan syahid di sisi Allah SWT yang mendapat tempat dan naungan di akhirat kelak. Dalam Islam, jihad bukan sekadar berperang semata-mata. Jihad Islam boleh dipanjangkan kepada berdakwah dalam agama, mewakaf harta benda, memajukan sistem pendidikan negara, membantu umat Islam tertindas termasuk meningkat taraf kehidupan rakyat.
Hikmah dari Tabuk
Dalam lipatan sejarah, peperangan Tabuk merupakan peperangan tanpa pertumpahan darah. Persiapan awal dengan persediaan dari segi jasmani dan rohani kaum muslimin untuk ke Tabuk ada hikmahnya. Allah SWT sengaja menguji umatnya bagaimana hamba-hambaNya bersedia untuk berperang dan berkorban dalam suasana persekitaran yang mencabar. Dalam situasi berbeza pada masa serentak, antara tibanya musim menuai buah yang membolehkan kaum muslimin menikmati rezeki bersama keluarga mereka atau bersiap siaga untuk berperang ke jalan Allah dengan menempuh perjalanan sukar lagi jauh. Hakikatnya, kaum muslimin yang teguh imannya memilih jalan yang ditunjuk oleh RasulNya. Rasulullah SAW dalam hal ini sentiasa memberi motivasi dan dorongan kepada kaum muslimin bagi membela agama Allah ini. Seandainya tiada sebarang langkah dari orang Islam membuat persiapan ke Tabuk, sudah pasti tanah-tanah arab akan dimasuki gerombolan musuh dari kerajaan Rom. Kemaraan mereka itu dikhuatiri bakal menggangu gugat kedamaian umat Islam di kota Makkah dan Madinah. Ia secara tidak langsung membawa gambaran benteng Islam sebenarnya lemah, tidak sekuat mana pada mata dunia.
Dalam Quran disebut, supaya umat Islam menyediakan segala jenis kekuatan dan kelengkapan bagi menggerunkan musuh. Dengan kekuatan dan pertahanan ini membolehkan musuh-musuh Islam takut untuk mengugat ketenteraman umat Islam. Dalam konteks hari ini, jika penelitian terhadap ayat di bawah, umat Islam wajib membina kekuatan dalam perpaduan, pertahanan, penyelidikan, sains dan inovasi yang dapat menggerunkan anasir-anasir luar yang sentiasa mengintai dan cuba mengambil kesempatan.
"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuhyang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapatkamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yanglengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaanitu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuhyang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya;sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yangkamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakanbalasannya kepada kamu dan kamu tidakakan dianiaya." (Al-Anfal: ayat 60)
Al Quran juga mengingatkan kita supaya tidak lalai dengan nikmat kesenangan hidup. Lantaran dengan kemewahan membawa umat Islam lupa dan alpa terhadap perkara ibadah dan agama. Nilai-nilai ini lama kelamaan menjerumus kepada kepentingan diri sendiri.
"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat
dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan
mereka pada waktu pagi dan petang, yang
mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan
janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada
mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan
hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang
yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati
dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran,
serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya
pula adalah melampaui kebenaran."
(Al-Kahfi: ayat 28)
Rasulullah SAW akhirnya pulang besama para sahabat setelah melalui jejak langkah yang jauh beribu-ribu batu di padang pasir yang luas dalam peristiwa Tabuk. Kemenangan umat Islam tanpa sebarang pertempuran mahupun pertumpahan darah membawa mesej peperangan tidak semestinya mengorban jiwa namun dengan akal berfikir, kebijaksanaan mengatur strategi termasuk persiapan yang rapi oleh umat Islam nyata dapat mengerunkan musuh sehingga mereka benar-benar dalam kebimbangan dan ketakutan. Negeri Jerbah dan Hadrah kembali aman. Mereka lebih senang membayar jizyah kepada kerajaan Islam berbanding kerajaan kuffar. Islam sebuah agama yang syumul, dan mereka tertarik dengan kebenaran dan keadilan yang dibawa Islam. Pembayaran jizyah ini membolehkan kerajaan Islam Madinah menaungi wilayah-wilayah di daerahnya dari sebarang anasir jahat yang mencerobohinya. Pada masa yang sama, pembayaran jizyah dengan hati terbuka oleh negeri-negeri sekitar Tabuk ini dapat menguat perpaduan, pertahanan dan dakwah Islam. Ia secara tidak langsung menjauhkan sebarang anasir-anasir luar dari meletakkan pangkalan musuh perang. Peperangan Tabuk akhirnya membawa kemenangan besar bagi umat Islam seluruhnya di bawah pimpinan Rasulullah SAW.
Menghadapi Golongan Mukhallafun
Sekembali Muhammad SAW ke Madinah, baginda menghadapi golongan Al-Mukhallafun iaitu golongan yang berkhilaf dengan Rasulullah SAW yang mencicirkan diri dengan sengaja tidak menyertai peperangan Tabuk. Di kalangan 80 orang yang tidak menyertai angkatan perang Tabuk, mereka memohon maaf kepada baginda atas ketidakhadiran mereka bersama angkatan muslimin ke medan Tabuk. Rasulullah SAW mendengar bicara mereka yang datang dan baginda memohon ampun kepada Allah SWT atas ketidakhadiran mereka dalam misi peperangan ini kecuali Kaab bin Malik, Marrarah bin Ar-Rabie’ dan Hilal bin Umaiyah. Mereka ditangguhkan kemaafannya kerana baginda menunggu ketibaan Jibril menjelaskan kedudukan mereka bertiga di sisi Allah SWT.
Walaupun dalam keadaan yang berkemampuan, sikap mereka yang meremehkan dan tidak ikut serta dalam perjuangan jihad ke Tabuk, memakan diri mereka setelah melihat hasil semangat, setiakawan dan kemenangan para muslimin dalam peristiwa Tabuk. Perkara ini memalukan mereka kerana terganggu dengan urusan duniawi bersifat sementara. Kecuali bagi golongan Al-Bakkaun, iaitu golongan yang sentiasa mengiringi setiap sesuatu dengan keadaan linangan air mata kerana sedih. Mereka terdiri dari kalangan orang miskin yang berhasrat untuk berperang, tetapi mereka tidak mempunyai harta dan kenderaan perang. Sebelum ke Tabuk, mereka menemui Rasulullah SAW sekiranya dapat disediakan kenderaan untuk pergi Tabuk, namun baginda tidak memiliki apa yang diminta oleh golongan Al-Bakkaun itu. Lalu mereka pulang dengan linangan air mata kerana tidak dapat pergi berperang bersama-sama baginda. Manakala ketiga-tiga individu tadi (menurut Bukhari dan Muslim), mereka telah dipulau oleh masyarakat Islam ketika itu selama 50 hari sehingga turunnya wahyu kepada Rasulullah SAW bahawa mereka telah diampunkan Allah SWT. Keampunan Allah SWT sememangnya sesuatu berita gembira yang ditunggu-tunggu oleh mereka selama ini. Mereka bersyukur kerana taubat mereka akhirnya diterima Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT maha pengasih lagi maha penyayang terhadap hamba-hambaNya.
Peperangan Tabuk akhirnya menghadiahkan kejayaan besar bagi umat Islam seluruhnya di bawah pimpinan baginda Rasulullah SAW. Peristiwa Tabuk menterjemahkan masyarakat yang mentaati pemerintah seperti yang terjelma dalam kepatuhan kepada baginda SAW melahirkan masyarakat yang berjemaah dan bersatu padu. Sesungguhnya untuk mencapai bunga kejayaaan dan nikmat kesenangan itu bermula dengan mengharungi kesusahan dan kesabaran. Peristiwa Tabuk selepas tahun hijrah direkodkan sebagai peperangan terakhir dalam kehidupan baginda SAW.
No comments:
Post a Comment