Tuesday, November 16, 2010

Konflik Dunia Abad Ke-20















Judul Buku : Konflik Dunia Abad Ke-20
Penyunting : Abdullah Zakaria Ghazali 
dan Zulkarnain Abdul Rahman
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbitan : 2008
Halaman : 481
ISBN : 978-983-62-9993-2
Genre: politik, kerajaan, pemerintahan, sejarah



Konflik Dunia Abad Ke-20 merupakan sebuah buku yang mengimbau pelbagai isu sejagat yang berlaku di negara-negara dunia abad ke-20. Disunting oleh Abdullah Zakaria Ghazali dan Zulkarnain Abdul Rahman, buku ini menghimpun penulis dari pelbagai profesion sebagai panel untuk topik-topik yang melanda negara dunia. Isu-isu tersenarai adalah berkisar politik negara, hubungan antarabangsa, masalah ekonomi, polisi kerajaan, peperangan, pertikaian wilayah, etnik dan agama. Bacaan buku ini agak berat, namun untuk mengetahui maklumat sejarah dan kerajaan sesebuah negara itu bermula dan bagaimana sesebuah negara boleh terlibat dengan kancah dan pergolakan, buku ini amat sesuai buat pengkaji- pengkaji politik dan para pelajar sains politik di IPT.

Topik-topik yang dibincangkan dalam buku ini adalah seperti berikut:

Konfrontasi Malaysia-Indonesia: Faktor dan Penyelesaian
(Panel Penulis: Hoi Hui Ling)

Pertikaian Tuntutan Kepulauan Spratlys
(Panel Penulis: Mohd. Samsudin)

Acheh - Perjuangan yang Tak Sudah-Sudah
(Panel Penulis: Ahmad Jelani Halimi)

Ambon: Konflik Semasa dan Latar Belakang Sejarah
(Panel Penulis: Salina Haji Zainol)

Konflik Selatan Filipina: Antara Autonomi Atau Kemerdekaan
(Panel Penulis: Wan Rusik Wan Yusoff)

Rohingya dan Konflik Etnik di Arakan (Rakhine)
(Panel Penulis: Abu Talib Ahmad)

Perang Vietnam: Tragedi Politik Abad Ke-20
(Panel Penulis: Ruhanas Harun)

Konflik dan Pemisahan Korea (1945-1948)
(Panel Penulis: Noor Shuhana Zamhuri)

Perang Korea (1950-1953)
(Panel Penulis: Azhar Md Aros)

Krisis Selat Taiwan
(Panel Penulis: Suffian Mansor)

Kemelut Politik Di Semenanjung Balkan: Serbia dan Kosovo
(Panel Penulis: Zulkarnain Abdul Rahman)

Konflik Etnik di Bosnia-Herzegovina
(Panel Penulis: Arba’iyah Mohd Noor)

Kashmir: Konflik yang Tiada Penyelesaian
(Panel Penulis: Azharudin Mohamed Dali)

Krisis Ekonomi 1930-an di Amerika Syarikat
(Panel Penulis: Shakila Yacob)

Konflik Politik dan Ketenteraan di Rantau Teluk: Perang Iran-Iraq
(Panel Penulis: Mohammad Redzuan Othman)

Pertikaian Wilayah Kurile: Dilema Hubungan Diplomatik Jepun-Rusia
(Panel Penulis: Md. Nasrudin Hj. Md. Akhir)

Konflik Politik di Selatan Thailand, 1900-1954: Satu Perspektif Sejarah
(Panel Penulis: Abdullah Zakaria Ghazali)

Insurjensi Komunis di Sempadan Malaysia-Thailand
(Panel Penulis: Mahmud Embong)

Secara rumusan, sesebuah negara mempunyai identiti tersendiri. Ia merupakan hasil dari faktor geografi, pembentukan sejarah, persekitaran, budaya, bangsa, adat dan agama yang mempengaruhi acuan sesebuah tamadun. Corak kepimpinan juga mempengaruhi jatuh dan bangun negara. Jika gaya pucuk pimpinan yang mengamalkan integriti, keadilan dan kesaksamaan dalam pemerintahan, maka rakyat menikmati kedamaian dan kemakmuran. Sewajarnya negara tegak didaulatkan oleh warganya. Jika sebaliknya unsur-unsur berat sebelah dan zalim terus diamalkan dalam dasar pentadbiran pemerintah, negara pasti akan bergolak. Jika tidak diubati, lama-kelamaan negara itu boleh membawa kepada pemberontakan dan peperangan.

Di sebalik kejayaan dan kemakmuran yang dimiliki, sesebuah negara juga mempunyai potensi untuk bergolak. Kenapa dan bagaimana? Ini kerana kedamaian yang dinikmati oleh sesebuah negara di persada antarabangsa diintip dan diirihati oleh anasir-anasir luar. Anasir-Anasir luar ini cuba mengintai dan mengambil kesempatan terhadap kedudukan istimewa bagi sesebuah negara. Ia cuba mencucuk dan membenih ideologi yang membangkit semangat perkauman yang kuat atau fahaman yang menyemai perasaan kurang senang di kalangan rakyatnya. Masyarakat jadi keliru, sukar membeza yang benar mahupun salah. Yang benar mungkin salah dan yang salah mungkin benar.

Akhirnya fahaman ini melanda kuat dalam diri. Perasaan marah, dendam dan dengki menyelubungi diri. Nilai-nilai adab menjadi negatif. Penaburan fitnah dan kata-mengata melanda di khalayak ramai. Kesannya, pihak-pihak bertelagah menubuh komuniti dan puak sendiri. Akhirnya pemberontakan berlaku di sana-sini. Anasir-anasir luar cuba memainkan peranan, seolah-olah cuba menyelamat negara tersebut namun yang tersirat dan tersembunyi sebenarnya ingin menjajah dan mengambil alih tampuk pemerintahan negara tersebut.

Pada pandangan saya terdapat beberapa perkara yang menyebab sesuatu pergolakan atau konflik negara itu berbangkit.
  1. Penyimpangan atau anomali yang jauh dari prinsip kepimpinan dan pemerintahan yang berlandaskan undang-undang.
  2. Pemerintahan yang diktator, kejam, mengambil hak dan menindas warganya.
  3. Parti-parti politik gelojoh merebut kuasa pemerintahan negara.
  4. Kelemahan, kekurangan kewibawaan dan ketidakbijaksanaan pemerintah negara mengendalikan kerajaannya.
  5. Isu-isu seperti ekonomi, politik, agama dan sosial gagal ditangani dengan bijaksana.
  6. Penggadaian nilai pemerintahan yang adil dan saksama.
  7. Kepimpinan parti politik bertelagah sesama sendiri.
  8. Corak pemimpin yang mengamalkan budaya anarki dan cantas-mencantas.
  9. Ketaksuban atau ekstremis terhadap sesuatu fahaman dan ideologi.
  10. Penjajahan oleh negara luar bagi membolot hasil sumber dan kekayaan bumi.
  11. Penjajahan oleh negara luar kerana iri hati dan khuatir akan kebangkitan dan potensi sesebuah negara di masa hadapan.
  12. Rasuah dalam kerajaan bermaharajalela.
  13. Ketidakpuasan rakyat terhadap sistem pilihan raya yang adil dan bersih.
  14. Ketidakpuasan rakyat terhadap ekonomi yang menekan hidup.
  15. Hak untuk bebas beragama dan menegakkan syariat dinafikan.
  16. Pemimpin yang disayangi dibelengu oleh pihak yang berkuasa.
  17. Pembolotan harta kekayaan di kalangan pemimpin hanya untuk kroni dan keluarga.
  18. Penipuan, fatalisme, rasuah yang diamalkan oleh sesebuah organisasi dan pihak berkuasa.
  19. Ketiadaan perpaduan manakala semangat perkauman dibiar menebal.
  20. Sistem keistimewaan atau pelembagaan negara dibubarkan.
  21. Ketiadaan sepakat dan perselisihan yang berlaku berterusan dengan negara-negara jiran.






"Anger and intolerance are 
the twin enemies of correct understanding"
Mahatma Gandhi (1869-1948)


2 comments:

nurhi akin said...

How can i get this book. its all out of stock in most bookstore. really need for my assignment.:(

DAMAI SURIA said...

Go to library. The book also published by DBP. Maybe you can find in DBP shops or make order via http://www.dawama.com/Konflik-Dunia-Abad-Ke-20/q?pid=741&doit=order

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA