Wednesday, March 28, 2012

Dari Aktiviti Bowling hingga Bertukar-Tukar Bahasa


Nampaknya saya tidak dapat lari dari berkawan dengan pelajar-pelajar antarabangsa sejak memasuki UUM. Kawan-kawan luar negara semakin bertambah. Kelmarin, saya, Ariz, Yahya dan Tara menggunakan waktu petang kami bermain bowling di C-Mart. Ariz ialah sahabat baik saya sejak di sekolah menengah lagi. Kemasukannya menyambung belajar di IPT sama menyebab ukhuwah kami semakin rapat. Yahya ialah seorang Arab dari Yaman. Dia juga Presiden kepada Perwakilan Pelajar Siswazah Antarabangsa UUM. Dia belajar jurusan sama dengan saya. Tara pula seorang pelajar perempuan Cina berasal dari China mengambil jurusan dalam International Bisnes.

Rupa-rupanya ini kali pertama Yahya bermain bowling. Katanya di Yaman jauh sekali banyaknya pusat bowling didirikan. Membaling bola bowling suatu yang menyeronokkan bagi dia sungguhpun dia kelihatan agak sedikit kalut buat pertama kalinya. Manakala bagi Tara, ini merupakan kali kedua dia main bowling dan mencuba sukan ini di negeri orang (Malaysia) merupakan yang pertamanya.

'Yes, this is my second time playing bowling,' kata Tara yang tak lekang dengan senyumannya.

Tapi jika ditanya kepada kami,  memang dah berpuluh-puluh kali dengan sukan  ini.  Ariz ni lagilah... pantang dicabar. Lagaknya sungguh berbisa di pentas bowling. Tetapi kewujudan Ariz sebenarnya menambah semangat permainan ini.

Usai bowling, aktiviti kami dibawa ke meja makan. Di sana kami bertukar-tukar bahasa dari  ucapan cina 'ni hao ma' sehingga perkataan arab 'majnun'. Bahasa itu suatu lambang dan pengantaraan penting bagi mencapai hasrat dan maksud seseorang itu. Lenyap bahasa, maka hilanglah satu identiti bangsa. Yahya sebenarnya tidak kedekut untuk berkongsi bahasanya. Tanyalah apa saja, ada saja jawabnya.

Kata Tara, 'ni hao ma' itu untuk ucapan apa khabar kepada seorang sahaja. Tetapi ucapan 'ta jia hao' untuk ucapan apa khabar kepada ramai orang. Ha..sungguh, ucapan pemimpin-pemimpin sudah pandai menggunakan pendekatan bahasa pelbagai kaum pada era ini. Lagi banyak bahasa yang digayakan oleh seorang pemimpin, lagi banyak pengaruh relatifnya menawan hati pelbagai etnik rakyat di tanah air ini.

Ariz yang tidak duduk diam banyak memperkenalkan maksud makanan yang dimakan oleh kami dalam bahasa Melayu seperti nasi putih, bihun sup, tomyam, nasi pataya, sayur campur. Saya juga tidak lupa memperkenal cara masyarakat Melayu Islam Malaysia termasuklah menyatakan makanan yang akhir atau yang tertinggal satu lagi itulah yang paling berkat! Malah Tara cukup teruja dengan pesanan Air Batu Campur saya yang berwarna-warni itu.

'What we want to call it if we want to order this?' tanya Tara sambil menunjukkan Air Batu Campur saya yang kemerah-merahan.
'Just said ABC!'  kata saya.
'Oh! so simple!'  katanya sedikit terkejut semudah abjad abc sambil  disambung dengan gelak ketawa kami.




No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA