Monday, November 5, 2012

Khidmatnya Baik, Bermanis Muka dan Berlapang Dada


Saya akhirnya terjaga dari lamunan tidur. Jam di dashboard kereta menunjukkan 2.11 pagi dan saya masih berada di Hentian Bukit Gantang. Bertolak waktu malam dari UUM untuk ke Ipoh menyebabkan saya 'terdampar' seketika di hentian lebuh raya tersebut. Hari ini bertolak lewat. Ada diskusi dengan kawan-kawan saya di kampus. Di luar kereta, persekitarannya masih lembap dan basah akibat musim hujan yang panjang kebelakangan ini. Saya terus kembali mengingatkan diri untuk membeli buah tangan sebelum pulang ke Ipoh.

Di gerai buah, kelihatan seorang remaja lelaki sedang asyik menekan sesuatu pada handfon. Bermain games barangkali, melawan mata di larut malam agar jangan tidur lagi. Sampai saja saya di gerai, dia bergegas berhenti bermain dan tengok-tengokkan apa yang saya perlu. Cantik sekali khidmatnya kepada 'tetamu' yang bertandang.

"Saya ambil buah ini," kata saya sambil menunjukkan buah betik tersusun atas para. "Err.. jangan ambil buah ni lah abang, bawahnya tak beberapa elok pulak," pintas remaja yang baru tersedar buah yang sedikit rosak itu. Buah-buahan betik di atas para semuanya dah cukup masak. Ia sedia untuk dimakan apabila saya pulang ke rumah nanti. Kejujurannya dalam memberitahu keadaan buah dan cuba memilih yang terbaik menjadi kesukaan saya.

"Kalau begitu, saya ambil yang ini," pilih saya.
 "Hmm..okay," ujar remaja ini.

Saya menambah buah-buahan honeydew dan ciku dalam pembelian saya. Saya cukup senang dengan khidmat yang ditawarnya. Bermanis muka menyambut pelanggan dan berlapang dada dalam aktiviti niaganya. Apabila saya tanya sesuatu mengenai buah-buahan di gerainya, dia tidak berat mulut menjawabnya. Malah dia menyelitkan pertanyaan jika ada apa-apa lagi yang hendak saya beli. Di akhir jual beli, dia tidak lupa mengakadkan dengan perkataan 'saya jual' dan diikuti balas saya, 'saya beli'.  Dalam Islam, akad jual beli memuktamadkan urusan jual dan beli antara peniaga dan pelanggan. Berakad menambah kesepakatan dan keberkatan.  Berakad mencantik urusan jual beli. Berakad mencari keredhaan Ilahi. Islam agama yang sempurna. Kedatangan Islam menghalalkan usaha jual beli tetapi mengharamkan riba.

Apa yang yang saya cuba sebutkan di sini, bahawa remaja tersebut begitu berakhlak dalam menjaga keperluan pelanggannya. Ia begitu cepat dalam menengokkan pelanggannya. Apabila seseorang itu lambat dalam servis yang diberikan, kemungkinan orang ramai tentu tidak akan pergi ke kedainya. Ia juga lama-kelamaan menjejaskan prestasi jualan produknya. Mutu perkhidmatan yang disediakan tidak kira perniagaan secara kecil-kecilan atau besar-besaran harus berkualiti senantiasa.  Kisah ini mungkin nampak kecil, tetapi jika ramai umat Islam yang menawar perkhidmatannya yang beradab dan memuaskan hati pelanggan/pengguna, impaknya besar kepada dunia perdababan Islam.

Saya meluncurkan perjalanan saya yang masih berbaki lagi untuk sampai ke Ipoh. Di keheningan malam, saya terfikir andainya ramai remaja seperti ini alangkah indahnya muamalah Islam.


| cetusan Faisal |


No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA