Thursday, November 8, 2012

Memahami Hamas Melalui Buku Khaled Hroub



















Judul : Hamas, A Beginner's Guide
Penulis : Khaled Hroub
Penerbit : Pluto Press
Tahun Terbitan : 2006
Halaman : 169
ISBN : 9780745325910
Genre : organisasi | politik | kerajaan | kenegaraan | isu semasa | Islam 



Hamas bukan saja sebuah parti mendukung pembebasan bumi Palestin daripada penguasaan Zionis Yahudi, tetapi merupakan gerakan pertubuhan memayungi rakyat Palestin tercinta. Semenjak Hamas memenangi pilihan raya 2006 lalu, Hamas membuktikan merekalah pelindung kebajikan rakyat dan memperjuangkan isu-isu Palestin yang tidak pernah selesai. Menteri-menteri Hamas berkhidmat segala mungkin, memotong gaji  mereka dan  mengenepikan pelbagai keistimewaan demi tanggungjawab kepada rakyat jelata yang sedang mendepani ujian kehidupan serba mencabar.

Buku ini mengupas sejarah panjang dan susur-galur perjuangan Hamas yang bermula dari gerakan di Mesir. Hamas adalah lahir dari Ikhwan al-Muslimin dan ia tidak boleh disamakan sebagai Al-Qaeda atau mana-mana pertubuhan ekstremis. Ia merupakan sebuah gerakan organisasi dinamisme yang mempunyai ideologi, strategi dan gagasan yang melihat isu Palestin merupakan perjuangan bersama-sama umat Islam dunia bagi membebaskan bumi Palestin daripada dinodai cengkaman Zionis Yahudi.

Dengan gaya penyampaian secara soal jawab, penulis Khaled Hroub yang merupakam seorang sarjana di Universiti Cambridge menemukan maklumat sebenar mengenai Hamas (kini pertubuhan kepimpinan sah kerajaan) yang sering dikabur dengan maklumat salah ala Barat. Tidak dapat disangkal sumbangan Hamas dalam usaha menjaga kebajikan pelarian, pendidikan dan kesihatan adalah tanggungjawab sosial yang diberikan sebelum memenangi pilihanraya lagi. Tercetusnya intifada (1987), sokongan mula meluas terhadap Hamas dan ia terus melonjak dari pelosok daerah sehingga ke peringkat universiti.

Sheikh Ahmad Yassin, Abdul Aziz al-Rantisi, Mahmoud al-Zahhar, Ismail Haniya, Aziz Duwaik, Naser al-Sha'er, Khaled Mishal, Mousa Abu Marzouq, Syeikh Salah Syahadah, Ibrahim Maqadmah, Ismail Abu Shanab adalah nama-nama besar sinonim dengan perjuangan Hamas. Mereka dihadap dengan pelbagai rintangan dan di kalangan mereka menemui syahid. Namun begitu Hamas dalam merentasi masa terus melahir generasi pembebas termasuk anak-anak muda memperjuangkan rakyat dan bumi Palestin.  Isu perjuangan untuk mengembali dan mengikitiraf Palestin boleh dilihat dari banyak sudut.

Pertama, di Palestin merupakan sebuah negara yang terdapat warga rakyatnya bermastautin yang terdiri Islam (majoriti) dan Kristian (minoriti) namun dinafikan tanah kependudukan oleh negara haram baru bernama Israel. Warganya walaupun majoriti Islam, ia tetap mengiktiraf penduduk Kristian untuk hidup secara bersama secara harmoni.

Kedua, di Palestin terdapat Masjid Al-Aqsa iaitu masjid yang mendapat tempat kebajikan yang tinggi  selepas Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah seperti yang disabda Rasulullah SAW.

Ketiga, di Palestin terdapat tempat-tempat sejarah awal kedatangan dan penyebaran Islam.

Keempat, Palestin merupakan tempat lahirnya para anbia membawa Islam ke dunia.

Kelima, Palestin sebuah negara yang dihuni oleh saudara-saudara Muslim yang mana mereka berhak untuk terus hidup, menjalani kehidupan seharian dan dibantu oleh kita sesama muslim.

Palestin pernah dibebaskan ketika pahlawan Salahuddin Al-Ayubi menakluki Palestin pada tahun 1187. Apakah tidak mustahil Palestin terbuka belengunya suatu hari nanti. Usaha kita bukan menanti suatu hari nanti tetapi inisiatif ini bermula sekarang dengan menguatkan perpaduan, strategi, pertahanan, bersama menghulurkan bantuan dan terus berdoa. Saudara-saudara kita di sana sejak dahulu lagi hampir saja setiap hari bergelumang dengan pahit getir dan kita di sini dari sekecil-kecilnya usaha sehingga sebesar-besarnya ikthiar perlu menggarapkan kekuatan dan keprihatinan bagi membela rakyat Palestin terpinggir. Semoga!



| cetusan Faisal |

No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA