Sunday, April 24, 2016

Wawancara Jejak Biografi Tokoh KPIP


Wawancara yang ditandai dengan kehadiran 3 tokoh Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP) merupakan suatu pengalaman berharga tatkala mengingati semula bagaimana saya bersemuka dengan mantan-mantan YDP yang pernah menabur budi dan bakti kepada pertubuhan ini. Sebagai ahli kerdil kepada pertubuhan ini, saya ditugaskan oleh presiden KPIP sebagai penemuramah bagi menjejaki fikrah mereka sempena sambutan Jubli Emas KPIP. Mereka ialah Tuan Haji Abdul Rahman Najib Haji Mohd Noor (Mantan YDP KPIP Ke-9), Ustaz Khairil Anwar El-Syazalli Musa (Mantan YDP KPIP Ke-17) dan Cikgu S. Samprizal Selamat (Mantan YDP KPIP Ke-18).

Dalam wawancara bersama Cikgu Rahman, beliau mengetengahkan bahawa sudah tiba masanya KPIP mengangkat inovasi sebagai kaedah memperkembangkan KPIP untuk pergi lebih jauh. Inovasi itu memangkin aplikasi ICT, multimedia, penyelidikan dan pembangunan untuk KPIP terus tumbuh sihat di arus perdana. Yang penting bagaimana KPIP menjana 'produk' dan 'perkhidmatan' tersebut dengan bijaksana.

Abang Samprizal melontarkan pandangan agar KPIP tidak tergelincir dari landasannya dengan memperkukuhkan program anjurannya sendiri. Latihan Asas Dedikasi Islam (LADI) dan Latihan Dedikasi Kepimpinan Islam (LDK) itu merupakan formula istimewa bagaimana KPIP melahirkan kaderisasi yang mempunyai dimensi kepimpinan, jati diri, berperwatakan mulia. Hari ini, KPIP telah melahirkan nama-nama besar dalam pelbagai lapangan - pendidik, ulama, politikus, teknokrat dan pemimpin masyarakat yang berjaya.

Manakala Abang Anwar menyatakan dalam memacu pertubuhan, usrah itu begitu penting, jangan sampai tertinggal. Usrah itu merupakan asas utama menyatukan jemaah, ukhuwwah dan solusi dalam KPIP mendepani pelbagai cabaran dan persekitaran hari ini. Usrah terbina dan mengakar kuat dalam diri sebenarnya memperkemaskan persaudaraan muslim, memecahkan tembok jurang perbezaan; warna dan rupa; pangkat dan darjat yang semakin rapuh merentasi zaman.

Betapa dalam penelusuran wawancara ini, nada saling nasihat-menasihati dan peringat-memperingati sentiasa dimekarkan oleh tiga tokoh ini untuk ke arah kebaikan bersama. Terima kasih kepada pimpinan tokoh-tokoh ini. Terima kasih juga kepada Tim Jejak Biografi Tokoh KPIP yang telah bersama-sama menjayakan misi jejak fikrah ini.

Wawancara bersama Tuan Haji Abdul Rahman Najib b. Haji Mohd Noor


 Wawancara bersama Cikgu S. Samprizal b. Selamat


 Wawancara bersama Ustaz Khairul Anwar El Syazalli b. Musa




No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA