Sunday, October 21, 2018

Bukan Semua Perkara Perlu Diswastakan (Privatisation)




Bukan semua perkara perlu diswastakan (privatisation). Penswastaan itu dikatakan dapat memenuhi pengurusan dan penyampaian yang lebih baik, cekap termasuk menggalakkan persaingan sihat di kalangan institusi, badan, agensi atau firma. Namun begitu, belum tentu penswastaan sebagai 'ubat mujarab' untuk segala masalah ketidakcekapan. Ini seperti yang telah disebutkan oleh Prof. Dr. Jomo K.S., penswastaan akan mengutamakan pertimbangan mengaut keuntungan semata-mata di samping mengorbankan kebajikan sosial dan kepentingan awam.  


Relatifnya, dasar penswastaan dalam menyampaikan perkhidmatannya, dari masa ke semasa akan menaikkan kos berlebihan dan mengenakan kadar caj tertentu atas khidmatnya, sedangkan prasarana dan infastrukturnya belum tentu dapat dimanfaat, dinikmati dan disenangi oleh masyarakat teramai.


Ironinya, kita melihat Penswastaan Kerja Pungutan Sampah di taman perumahan tidak kekal tetap diambil mengikut waktunya; Penswastaan Taman Rekreasi untuk riadhah keluarga dan awam - kemudahan dan persekitarannya amat sekali memalukan; Penswastaan Tandas Awam - kebersihannya digambarkan amat begitu menjelekkan; Penswastaan Tempat Parkir kenderaan - pengurusannya lemah dan penyelenggaraanya tidak diatur dengan baik;  Penswastaan Sistem Telekomunikasi - rangkaiannya tersekat-sekat, liputan terhad sehingga tidak dapat diakses di kawasan pedalaman; dan akhirnya Penswastaan Jaringan Lebuh Raya - mutu prasarana, mobiliti perjalanan dan keselamatan sering dipersoalkan.


Kerana itu, kita tidak perlu terikut-ikut dengan slogan penswastaan bahawa semuanya akan jadi baik-baik belaka.




| damaisuria.blogspot.com |



No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA