Judul : Si Tenggang Anak Derhaka
Penulis : A. Samad Ahmad
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Tahun Terbitan: 1975
Halaman : 103
ISBN : 983-62-0389-3
Genre: cerita rakyat, klasik
Si Tenggang Anak Derhaka mengisahkan seorang anak orang asli yang menjadi pelayar berjaya dengan takhta dan kuasa tetapi sayang sekali beliau telah menderhaka terhadap kedua-dua orang tuanya. Ceritanya bermula apabila Si Tenggang membina perahu sendiri untuk ke sebuah pulau di tasik untuk membawa hati apabila gadis yang disukainya, Si Bulan telah berkahwin dengan Si Embih, anak kepada Si Tok Batin Itam. Si Bulan merupakan adik kepada Si Sirih, kawan kepada Si Tenggang. Selain Si Sirih, Si Tenggang mempunyai kawan-kawan seperti Si Keledek, Si Akoi, Si Lepan dan Si Gagak. Si Tenggang merupakan seorang anak muda kampung yang gigih, tahan lasak dan berani. Dia sentiasa disayangi oleh ibu bapanya, Si Deruma dan Si Talang. Ketika dia mendayung sampan di tasik, dia telah diculik oleh seregombolan pedagang yang ingin mencari air untuk minuman.
Akibatnya, Si Tenggang menjadi budak suruhan kepada Nakhoda Jaya. Sepanjang menjadi kuli kepada para pedagang, ketekunannya bekerja menambat hati Nakhoda Jaya, lalu berkenan untuk menjadikan Si Tenggang sebagai anak angkatnya. Nakhoda Jaya ialah seorang pedagang berjaya. Beliau sering turun ke laut bersama anak-anak kapalnya bagi memperdagangkan barangan milik saudagar Biram di beberapa buah negeri. Setelah melihat potensi diri di pada Si Tenggang, Nakhoda Jaya menaikkan pangkat Si Tenggang kepada jawatan tandil sehingga akhirnya menjadi nakhoda kapal apabila Nakhoda Jaya sudah uzur. Si Tenggang juga telah berkahwin dengan Puspa Sari, anak kepada saudagar Biram. Kemewahannya berlipat ganda dan siapa sangka dirinya asalnya seorang kaum hutan menjadi pedagang yang kaya-raya.
Ketika namanya tersohor dan meniti di bibir oleh masyarakat di pelbagai pelusuk kota dan desa, Si Tenggang berkahwin lagi dengan seorang anak raja, Puteri Ratna Lela sebagai isteri kedua. Tujuannya tidak lain kerana ingin memegang kedudukan, pangkat dan kuasa. Sehinggalah suatu hari apabila beliau mengajak kedua-dua isterinya untuk berlayar berbulan-bulan lamanya untuk berdagang ke luar negeri. Ini membawa kepada pertemuan kepada orang tuanya semula.
Ia berlaku ketika kapal yang dinaikinya berlabuh di sebuah kuala sungai kerana cuaca yang tidak mengizinkan untuk meneruskan pelayaran. Si Tenggang merasakan tempat ini seolah-olah biasa dengan dirinya. Tiba-tiba dari atas kapal, dia ternampak kawan-kawannya lama, Si Keledek dan Si Akoi sedang mendayung sebuah perahu. Dia memekik nama-nama mereka namun kawan-kawannya bergerak laju meninggalkan kapal yang tidak dikenali mereka. Cerita Si Tenggang pulang semula ke tempat lahirnya menjadi buah mulut bagi penduduk kampung kaum Semai di hutan. Walau bagaimanapun ayah dan emaknya, Si Talang dan Si Deruma gembira dengan berita kehadiran anaknya sekarang berada tidak jauh dari sini. Mereka bergegas ke tempat Si Tengggang berada dengan menaiki sebuah perahu.
Kehadiran ibu bapanya di pelabuhan kapal membawa sikap malu kepada Si Tenggang. Si Tenggang malu melihat ibu bapanya yang sudah tua dan bongkok dengan berpakaian orang hutan dan kelihatan tidak terurus. Si Tenggang tidak mahu isteri-isterinya dan kerabat termasuk penumpang yang berada di dalam kapal tahu bahawa dia sebenarnya berasal dari kaum hutan. Setelah kemewahan yang dikecapinya, Si Tenggang lupa daratan lalu mengatakan dia tidak kenal siapa mereka berdua. Si Tenggang lantas menghalau ibu bapanya pergi dari sini. Lebih malang lagi, apabila makanan lontong dan cikah serta buah-buahan yang dibawa ibunya ditolak mentah-mentah. Ibunya yang tidak berputus asa terhadap anaknya dan cuba memanjat kapal namun dihalang oleh Si Tenggang yang semakin biadab. Si Tenggang tetap tidak mengaku ibu bapanya itu. Air mata ibunya bercucuran jatuh mengenang sikap anaknya kini sudah berubah. Ketika kecil anak muda ini ditatang dengan kasih sayang dan tatkala besar kerana dek kekayaan dan bongkak, anak muda sengaja melupai ibu bapanya.
Ketika itu guruh sabung-menyabung dan hujan turun mencurah-curah. Ibu bapanya terasa terkilan dengan sikap pelik anaknya tidak mengaku mereka sebagai darah dagingnya. Mereka terus meninggal tempat itu dengan perasaan hiba dan kecewa. Ibunya mendoakan agar balasan dikenakan terhadap anak yang derhaka itu. Seketika kemudian doa ibunya dimakbulkan. Si Tenggang kemudian terasa berat untuk melangkah di atas geladak dan semua penghuni dalam kapal itu mula menjadi kaku. Kapal itu mula membenam ke bumi sedikit-demi sedikit. Hanya suara Si Tenggang kedengaran dari kejauhan memanggil-manggil nama ibunya.
Cerita rakyat ini sudah tersadur pada tiga dekad lalu dan ia mempunyai mesej tersendiri untuk diambil iktibarnya. Ibu dan bapa merupakan manusia mulia yang melahir dan membesarkan kita. Ketika kecil kita dipelihara, diasuh dan disayangi oleh mereka. Cinta mereka kepada kita sentiasa bernyala sepanjang masa. Di pihak kita adalah bagaimana menghidupkan nyalaan itu agar tidak terus padam ditenggelami masa. Sejauh mana kehidupan kita baik di kota mahupun di desa, baik dalam keadaan kita payah mahupun senang, kita sewajib-wajibnya tidak boleh melupakan jasa dan pengorbanan mereka. Seandainya kita ada buat sesuatu yang menguriskan hati dan menzalimi diri mereka, maka ingatkanlah dan takutkanlah doa mereka yang dimakbulkan oleh Tuhan.
No comments:
Post a Comment