Showing posts with label gapai cita. Show all posts
Showing posts with label gapai cita. Show all posts

Saturday, May 4, 2013

Undi Kita Menentu Hala Tuju Malaysia Tercinta

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgOSiG362kEsmtrsHfXKZmfkgrECYVhzc1sRp7onL5Pn4-Qo7Waf15bgFDdizHbWbYutLcVUdedq12FaBl_GoGzQlgRHFrxMT4AGJMuSp_rWz_OFlM0oeM37LDYE59GKk6NJO1JMo0hX6I4/s1600/Sayangi+Malaysia.jpg

Ada orang yang kurang senang apabila kita bercakap soal politik. Katanya politik itu kotor. Jadi dia menjauhi dan lalu tiada kepedulian yang dipertimbangkan terhadap politik negara. Ya, memang tidak dinafikan politik itu kotor apabila sesetengah pihak mengotorkan minda kita dengan bahan-bahan yang 'kotor'. Kita akhirnya dijumud dengan yang kotor-kotor, tanpa cuba membuka, mendekati dan memahami apa sebenarnya kewarasan berpolitik. Sebenarnya kesedaran politik itu ada nilai tambahnya. Dari kesedaran politik kita sebenarnya mampu memahami perkembangan isu semasa, pelegaran berita yang dibawa, termasuk pelbagai bidang ekonomi, sosial, agama dan sebagainya. Kesedaran ini mempertimbangkan kita untuk mengenal yang mana baik dan yang mana buruk. Politik itu mematangkan diri kita untuk bersikap kritikal dan kreatif terhadap sesuatu isu. Ia punyai potensi mencerdikkan kita dalam membuat keputusan.

Esok, Ahad 5 Mei 2013 adalah hari penting buat setiap warga Malaysia. Ia adalah saat penentu kita dalam membuat keputusan bagi menentu hala tuju negara tercinta. Kemerdekaan kita di tanah air selama 55 tahun direnungi semula. Pertanyaan boleh disoal sebegini:
  • Apakah kita sudah benar-benar bebas,  berekspresi dan bersuara atau terus disekat dan dicengkam? 
  • Apakah kita terus berasa selamat, aman dan tenteram atau sebaliknya dibayangi dengan kecurigaan dan ketakutan? 
  • Apakah Malaysia mempunyai nilai kesopanan dan budaya tinggi atau dihambur setiap hari dengan kata-mengata, fitnah dan lucah berleluasa. 
  • Apakah media-media  arus perdana terus menjadi medium didikan rakyat dan adil menyampai berita atau berat sebelah peranannya sebagai mata dan telinga masyarakat.
  • Apakah isi rumah kita mempunyai kuasa berbelanja dan membeli atau dikekang dengan kewangan dan gaji yang terbatas. 
  • Apakah kita sentiasa berasa sesuai dengan pendapatan dari kerjaya dan tanggungan yang ada atau dibeban dengan kos pendidikan, pengangkutan, harga barang, makanan, sara hidup, hutang yang melambung.
  • Apakah perpaduan bangsa yang dibina zaman berzaman terus kekal atau terhakis dengan politik sempit dan perkauman yang menebal. 
  • Apakah kita berasa selesa dengan kemudahan disediakan atau kita dihimpit dengan kekurangan daya prasarana yang mesra. 
  • Apakah benar agama Islam sebagai agama rasmi sudah syumul dipraktikkan atau pemerintah memilih bulu meletak Islam ikut tempat.
  • Apakah betul prestasi Malaysia boleh dibanggakan berbanding indeks rasuah dan korupsi masih tinggi dan kedudukan defisit kewangan negara terus melonjak dari tahun ke tahun.
Justeru itu, demi mengembalikan Malaysia bermaruah dan berkehadapan, kita perlu percaya diri, yakin dan berani membuat keputusan yang bijak dalam menuntut suatu perubahan. Undi kita 5 Mei ini adalah penentu segala-galanya bagi mendapat sebuah negara yang lebih baik, berkebajikan, berkepimpinan yang wibawa  dan martabat Islam terus diungguli. Sayangilah Malaysia untuk masa depan kita dan anak-anak! :)


| cetusan Faisal |


Wednesday, April 24, 2013

Ke Puncak Bukit Kledang


Dengan ketinggian 778 meter (2552 kaki), Alhamdulillah akhirnya saya sampai ke puncak Bukit Kledang. Perjalanan ini memakan masa 2 jam setengah dengan 3 kali rehat menuju ke atas. Bersama mengharungi pendakian ini, saya ditemani sahabat karib Khairul Rizal pada Ahad lepas.

Bukit Kledang merupakan antara tempat terbaik bagi warga kota bersenam di waktu pagi. Keadaan geografinya berbukit dengan mempunyai beberapa  kecerunan yang tinggi. Laluan trek bertar disediakan.  Ini kerana terdapat stesen pemancar telekomunikasi di puncaknya. Kemudahan ini membolehkan para penunggang basikal, pendaki  turun naik sebagai rutin senaman setiap minggu.  Terdapat juga laluan alternatif menuju ke kawasan hutan. Hutan ini menghimpun pelbagai khazanah tumbuhan liar, sungai, spesis burung dan lotong. Bukit Kledang boleh diakses melalui kawasan Menglembu, 15 minit dari Ipoh.




 | cetusan Faisal |



Saturday, February 9, 2013

Kupasan Buku 25 Cendekiawan Islam

















Judul : 25 Cendekiawan Islam
Pengarang : Shafie Abdul Rahman
Penerbit : Must Read
Tahun Terbitan : 2011
Halaman : 196
ISBN : 978-967-5426-75-9
Genre : ketokohan | biografi | cendekiawan | Islam | perintis



Ketokohan Islam dalam pelbagai bidang sesungguhnya sentiasa dikagumi. Sumbangan mereka dalam dalam menginovasi dan merintis terhadap potensi bidang sentiasa cemerlang membawa kejayaan. Sumbangan mereka tidak dapat dinafikan memangkin Islam ke mercu jaya. Ia sebagai penanda aras bahawa kedatangan Islam ke dunia tidak kosong tetapi dihampar dengan kegemilangan tokoh-tokoh yang dibawa. Tokoh-tokoh yang disebut oleh pengarang ini adalah:
  1. Al-Batani  (astronomi)
  2. Al-Biruni  (kaji bumi, astronomi, matematik, saintis)
  3. Al-Farabi  (falsafah, kosmologi, psikologi, sosiologi, muzik)
  4. Al-Farghani  (astronomi, matematik)
  5. Al-Jahiz  (zoologi)
  6. Al-Jazari  (kejuruteraan, robotik)
  7. Al-Kahzin  (matematik, astronomi, fizik)
  8. Al-Khawairizmi  (matematik, astronomi)
  9. Al-Kindi  (farmakologi, falsafah, kaligrafi, penterjemah)
  10. Al-Razi  (perubatan, kimia)
  11. Al-Zahrawi  (perubatan)
  12. Al-Zarqali  (astronomi, mekanikal)
  13. Ibnu Al-Baitar  (botani, saintis)
  14. Ibnu Bajjah  (falsafah, astronomi, fizik)
  15. Ibnu Firnas  (kejuruteraan, juruterbang)
  16. Ibnu Al-Haitham  (optik, kanta objek)
  17. Ibnu Khaldun  (falsafah, sosiologi, ekonomi, peradaban)
  18. Ibun Al-Nafis  (falsafah, perubatan, fisiologi)
  19. Ibnu Miskawyh  (falsafah, psikologi, sejarah)
  20. Ibnu Rusyd  (falsafah, perundangan)
  21. Ibnu Sina  (perubatan, astronomi)
  22. Ibnu Tufail  (perubatan, saintis, falsafah, sasterawan)
  23. Ibnu Zuhr  (perubatan, pendidik, saintis)
  24. Jabir Ibnu Hayyan  (kimia, perubatan)
  25. Umar Khayyam  (matematik, astronomi, falsafah, penyair)

Setelah saya menghadam buku ini, terdapat pengajaran yang boleh saya belajar. Cendekiawan Islam yang disebut dalam buku ini mengkhatam dan menghafal Al Quran sejak kecil. Mereka diberi didikan agama di peringkat awal. Pentarbiyahan agama yang baik menjadi jiwa mereka bersih dan hati yang kuat. Melalui Quran, mereka menelaah kejadian alam dan keajaibannya. Dari sinilah mereka mengkaji alam dan memikir Penciptanya.  Penyelidikan, penciptaan dan inovasi yang dibuahkan merupakan pencerakinan seperti apa yang dihikmah terkandung dalam Al Quran.  Al Quran yang diperturunkan sudah menghidangkan makna yang luas, hanya hamba-hambaNya sahaja mencari penyelesaian terhadap persoalan dan kehidupan.


iqra'
Tokoh-tokoh Islam sejak dahulu gemilang mewarnai dunia mengambil semangat iqra seperti diajukan dalam surah Al'-Alaq (Bacalah) ayat 1-5 . Ilmu dimanfaat sebaik mungkin mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata. Inilah seperti yang disebut Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri iaitu “ilmu dalam konteks semangat iqra' selamanya berorientasi tauhidik, bertolak daripada motivasi imanik dan bergerak mencapai objektif mengenal, mengagumi dan mengabdi kepada Ilahi.”


Rekaan Kumpulan Robot Penyanyi
(Al-Jazari)
Keduanya, mereka terus menekuni ilmu tanpa jemu dan lelah. Al-Khawarizmi sebagai contohnya sanggup berulang-alik ke India beberapa kali untuk menemui seorang guru Matematik. Ibnu Khaldun dalam memantap ilmunya  berguru dengan ramai cerdik pandai dan ulama seperti Muhammad As-Satti, Abdul Muhaimin dan Muhammad bin Ibrahim Al-Abili. Mengukuhkan diri dengan ilmu adalah dengan menjayakan pembelajaran yang berterusan dengan terus memerhati, mengkaji, menguji, mempraktik dan mencipta.


Al-Jazari seorang ilmuwan dalam bidang kejuruteraan dan robotik telah mencipta sistem pembekalan air ke masjid dan ke hospital Diyarbakir, Turki. Beliau juga memodelkan robot penyanyi dan pemain muzik yang berupa robot duduk dalam sebuah bot belayar di sebuah tasik sambil mengalunkan muzik. Begitu juga Ibnu Firnas yang  mencipta sepasang sayap untuk terbang. Beliau juga membuat latihan diri dengan melakukan eksperiman penerbangan ini. Konsep penerbangan ini diambil dengan memerhatikan cara bagaimana burung terbang dan keupayaannya menghinggapi dengan sayapnya.


Halaman pada Kitab
Al-Hayawan (Al-Jahiz)
Ketiga, mereka terus merekod dan menulis. Ilmu yang ada tidak akan hilang begitu saja tanpa meninggalkan sebarang catatan berguna. Mereka memperkembangkan fikrah, idealisme, kajian, hasil dapatan melalui penulisan. Al-Jahiz seorang tokoh zoologi menghasilkan ensiklopedia berjudul 'Kitab Al-Hayawan' (Book of Animals) yang terdiri daripada tujuh jilid buku. Al-Farabi yang lahir pada 872 masihi menulis buku bertajuk 'Al-Madina Al-Fadila'. Buku ini menghuraikan negara ideal seperti yang dinyatakan oleh Plato dalam karyanya 'The Republic'. Al-Farabi menggajukan  bahawa sistem politik boleh dibuat dengan memenuhi kepercayaan Islam melalui kajian gabungan falsafah, sains, matematik dan agama.


Manakala Ibnu Sina, bapa perubatan yang terkenal dengan kitab 'Qanun fi Al-Tibb' telah menyiapkan 238 karya sepanjang hayatnya. Merencanakan penulisan ini memberi sumbangan hebat kepada kemajuan peradaban dunia. Ia seterusnya menjadi rujukan besar kepada generasi timur dan barat. Ini pernah diakui oleh sarjana barat, Bertrand Russell (1872-1970) terhadap sumbangan peradaban Islam dalam membangunkan tamadun moden Barat yang sebelum ini menempuhi abad kegelapan.


Dalam mendepani cabaran dunia hari ini, umat Islam jangan meremeh bakat yang ada. Hakikatnya, idealisme dan bakat sebenarnya boleh dijelmakan dalam diri dan membentuk siri kejayaan dalam pelbagai lapangan.  Pengetahuan yang baik akan menghasilkan inovasi yang gah. Pengalaman luas akan membantu memaknai wawasan merentasi arus zaman dengan gemilang. Jika kita biarkan potensi diri tanpa usaha penggilapan, kita akan terus ketinggalan, dicengkam atau 'diracuni' oleh tamadun/koloni bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Pengalaman tokoh-tokoh Islam yang lalu boleh dijadikan panduan. Mereka terus unggul mendahului zaman kerana kekuatan diri seperti yang disebut di atas. Hikmahnya dengan mempelajari dan terus belajar. Paling penting jangan melupai agama!



| cetusan Faisal |

Sunday, January 20, 2013

Universiti, Ilmu dan Penyuburannya


















Muqadimah

Ilmu mempunyai makna yang luas. Profesor  Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam membicarakan ilmu memberi takrifan "... ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang".  Inilah pengertian seorang cendiakawan tersohor bahawa ilmu yang ada pada seseorang itu dapat menjana diri seseorang dengan bidang yang diceburinya. Ia seterusnya bagaimana seseorang memaknai kehidupan dengan ilmu yang dibawanya. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam bukunya, Kuasa Iqra memberi makna “Ilmu dalam konteks semangat iqra' selamanya berorientasi tauhidik, bertolak daripada motivasi imanik dan bergerak mencapai objektif mengenal, mengagumi dan mengabdi kepada Ilahi.” Dari kaca mata saya, ilmu itu terus unggul apabila sentiasa dipelajari dan diamalkan untuk kebaikan diri dan kemaslahatan ummah.

Dalam mengungkapkan motivasi pula, ia suatu yang tidak dapat dipisahkan dalam proses pemantapan ilmu dan pembelajaran. Motivasi yang disuntik oleh guru-guru sebenarnya membangkitkan hati-hati manusia daripada terus layu. Guru adalah pembimbing terbaik. Guru bukan sahaja bersifat akademik tetapi mendorong anak-anak buah mencuba eksperimen diri  itu dan ini supaya anak-anak buahnya terus mencipta potensi diri. Selebihnya murid-murid mengemudi diri bagaimana mengadapatasi dengan kehidupan yang pelbagai ini. Buat guru-guru UUM, terima kasih diucapkan kerana mendewasakan diriku dengan ilmu dan memotivasikan pengalaman berharga. Kelak, semoga cekal selalu!


Universiti

Hari ini adalah hari terakhir saya berada di UUM sebelum bercuti semester. Perjalanan semester saya di sini sentiasa dicatatkan sebagai proses mengarap pendedahan, mencerakin ilmu dan menimba pengalaman berguna. Lebih daripada itu, peluang-peluang yang ada di kampus seharusnya dimanfaat dengan bijaksananya. Pembukaan semester berikut adalah  pada 13 Februari 2013.  Di kampus, para pelajar sibuk memunggah barang ke dalam beg dan kotak, satu tanda bahawa mereka akan pulang ke kampung halaman. Kedatangan penuntut-penuntut ke gedung ilmu membawa misi pengharapan. Dalam periode ini mereka mencipta peluang, membina diri dengan aktiviti kampus dan apa yang lebih penting mendalami pengetahuan.  Misi pengharapan ini  nanti ditukar kepada misi kejayaan apabila tamatnya pembelajaran mereka di IPT. Selepas itu penuntut akan berkerjaya dan menyumbangkan apa yang dipelajari, sama-sama membantu mengangkat negara kepada kemajuan.

Universiti adalah gedung ilmu. Peranannya dalam menjanakan keintelektualan jangan dipandang sepi. Mengambil peristiwa yang berlaku di dalam sebuah seminar mahasiswa UUM baru-baru ini, nilai keintelektualan perlu dijana bukan dinafikan semata-mata ideologi dan politik sempit. Kita tidak mahu mahasiswa disekat kerana pandangan dan ideanya. Kita tidak mahu mahasiswa digelar pendidikannya kurang tanpa periksa dan bukti. Janganlah dihina sebegitu rupa kerana kita perlu mencermin diri apakah kita benar-benar telah sempurna ilmu dan mendapat pendidikan terbaik. Universiti adalah suatu tempat persinggahan sebelum mahasiswa pergi jauh ke hadapan. Ia umpama musafir di padang pasir yang minum air  bagi menghilang dahaganya. Kemudian dia akan bertolak meneruskan perjalanannya. Persinggahan di unversiti adalah mengambil ilmu yang tercicir dan seseorang terus-menerus menimba ilmu apabila dia keluar universiti nanti. Tiada siapa dapat menafikan bahawa ilmu adalah pembelajaran sepanjang kehidupan.

Sebagai sebuah gedung ilmu,  apa yang kita dambakan mahasiswa bersama-sama kepimpinan, pensyarah, panel, moderator, staf dan warga kampus saling merencanakan gagasan percambahan idea.  "Kita perlu kembali kepada roh universiti", itulah kenyataan yang dibawa Dato' Saifuddin Abdullah dalam Forum Penyuburan Amalan Demokrasi di Malaysia di UM pada 3 tahun lepas. Dalam menncerminkan mahasiswa hari ini, Saifuddin Abdullah melihat bahawa suara mahasiswa perlu didengari, peranan mereka diiktiraf dan isu yang diketengah mereka ditangani.

Di khalayak ramai, saya lontarkan pandangan bahawa universiti ialah pusat keilmuan masyarakat. Di dalamnya ada manusia yang sentiasa mengajar dan terus belajar. Pemupukan daya keintelektualan, kajian penyelidikan, nilai-nilai keilmiahan perlu dibaja selalu. Menghargai peranan dan pandangan adalah teras membudayakan demokrasi yang matang di universiti. Membenarkan universiti berfungsi sebagai tempat penyuburan ilmu harus dipersempatkan dengan berkesan. Janganlah kecenderungan atau tekanan pihak berkepentingan menyebabkan universiti-universiti Malaysia terus jumud ketinggalan ke belakang. Ini kerana universiti yang akal budi dan bebas merupakan faktor membawa kegemilangan bangsa di persada dunia.




| cetusan Faisal |


Thursday, March 22, 2012

Semangatnya Wira Wirawati!


Wira, bila keluar kem nanti nak jadi apa? tanya saya.
Saya nak sambung belajar, cikgu! jawab wira.
Bagus! sahut saya spontan.

Kemudian dalam kelas, saya memilih secara rawak seorang demi seorang di kalangan wira dan wirawati PLKN. Mereka bangun tersipu-sipu. Kata saya, wira yang ini bila dewasa akan menjadi doktor. Mendengar perkataan doktor,  lalu dia mendapat tepukan dari rakan-rakan mereka. Wirawati ini  pula akan menjadi menteri, lantas mendapat sorakan hebat dari kawan-kawan mereka. Wirawati yang ini pula akan menjadi angkasawan, lagi tepukan gemuruh dan semangat dari kelas.

Sejak meninggalkan Kem Syruz (5-9 Mac 2012), Facebook saya di'tagged' dengan gambar-gambar mereka. Ia membawa imbasan semula pengalaman bersama mereka. Di sana saya sebagai jurulatih program Integrasi. Di sana saya menyemai makna perpaduan, persaudaraan, penghargaan dan peranan yang boleh dibawa oleh mereka nanti. Di sana ada keseronokan dan cabaran yang dirasai.

Selamat maju ke depan wira wirawati!

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhqhrhcYmkjjLpwlguxKxGNgasAgpAXIJX-1J-V6df2cTjVwy9zh0MxM5AIhdOoRSv6jkhFVbpHMg688GgYBJIKei5k4E2XYGlP3dRv5jpo85onDhwjeqdyYAU8h_HQKUNkU94Zm6nCB3hf/s1600/Kem+Syruz1.jpg
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgLyAyjdit-AdMrkLwJfsg8AQq3dFUIwZgCo0TfZ1QtCSqzvFjou7ZOGz_-DE38lbu2HEqY-AdAgxvjO-EhT90DvR-pyMSl49izsB14YQRjS1et00vPB6YWWgBdhS_mhBaCBTFqGpTCayqd/s1600/Kem+Syruz2.jpg
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh1c2lqjGuIPh1hRx9IGKCJ2EqlvWPXqBa4ApCPLFieNclyC3zUyAC832dICVft6Np4jncLOspbHt0Ilu0jDZm2HY3erlWzXPoWp2ua0JjiFDa6aDt69FPLMtqpK5trO18Kji92Ue61mn2z/s1600/Kem+Syruz3.jpg


Monday, February 15, 2010

Kledang Mountain Hiking

Kledang Mountain
So, after planned with Rizal, on the 14th February (yesterday) we tried our best to reach at the top of Kledang mountain, Perak. The weather in the morning was perfect for hiking and we started the journey at 8 a.m. sharp. By just walking, I think this mountain was among of moderate, adventurous and nature hiking to the top. Yup, the route is ready and surfaced by tar because TM workers used this route to their station centre up there. We don’t need to push up, jog or run and that will quick hurt your legs and easily getting tired. Bags that we carried is filled of bottles of drink and some snacks we bought just now. It easy to hidrate when walk up hills. Even I put some lokam to be eaten up when we reaching to the top.
[kledang_3.jpg][kledang_2.jpg]
Rizal, an easy-going person
The journey took us 2 ½ hours to the peak. The route over all was okay but sometimes the route bent and getting slope and narrow. We passed a few hikers along the way. Some of them with their friends, family member and there were hikers have attempted the climb alone. Other than that, bicycle hikers with high courage cycled up and down steadily. We had been sorounded and passed away rubber trees, river and bridge. We also saw many types of forest trees. Some trees sprouted with beautiful flowers. On hiking, Rizal often asked me. “Are you okay?” “Yes. I`m fine”, said me. We continued our hike with ambition to capture the top of mount and then he asked again whether I was in good condition. “No, I`m not”. I had to catched my breath. But it would take some times to slow my breathing down. It was a tired hiking. And we stopped at the point each time of exhaustion and tried to free our weary legs. Rizal, even he was tired, he always maintained his stamina. I dunno where he got those energy and he never done this hiking before. (Rizal, are you having some sort of ‘cakra’ inside your body.. aha..)
[kledang_4.jpg][kledang_5.jpg] [kledang_7.jpg][kledang_8.jpg]
Hiking up!
Roughly at 10.20 a.m, we made to the junction route which turn right or left. There was no visible signs or official checkpoints. But at the right, seemed there’s a TM building nearby. We choose the right one and at last, 10.30 a.m. we reached the TM station. The name’s ‘TM Kledang Bawah’. 50 meter above from here we walked again to the second TM station. So, we were on the top of it. What a surprise! This area looked unhappy condition. There were bushes everywhere and some rubbish here. There were also some wooden shelter but poorly maintained. Rizal added, this place only allocate for TM’s and its activities in telecommunication services. So there is no way for eco–tourism here. From here we could see the city, houses, farms and lakes and moving cars. The landscape was adorned in glorious sunshine. At the top we felt hot of sun. The sun shone brightly in the sky and our clothes get soaking wet since the hiking things back then. Here, under shelter roof, we spent half an hour - chit chat, drinking and eating. Later, we took some pictures. Actually there was another TM station by walking another 1/2 hour. But I think, reaching here, thanks, Alhamdulillah we made it. Maybe, next time if time allow, we ‘re going half an hour to the another Kledang summit.
[kledang_10.jpg] [kledang_9.jpg] [kledang_12.jpg][kledang_11.jpg]
View of the top mountain
It’s time to go back. Let’s move! We were packing everything. Going down from the hill will be more relaxed but walking at the noon, ha.. yes, it was too hot. There were nobody around on our way back except a Chinese family (Gong Xi Fa Chai to you all) whom started to walk a few hundred yards from the below. Near the base there were troop of monkeys scattered everywhere. Finally, we arrived the base at 12.30 p.m., which took a 15 minutes past the hour. It was worth and inspiring experience. Hiking up Kledang, of course tested our endurance and stamina.

Sunday, January 31, 2010

Cerita Saya, Buku 2009

Bismillahirrahmanirrahim. Sebulan kita tinggalkan tahun 2009 dengan pelbagai ragam dan pengalaman. Di sebalik tirai 2009, saya berkongsi sedikit hari ini mengenai hobi saya – buku, iaitu cerita buku saya 2009. Oleh kerana meminati buku, saya perlu luangkan masa, wang dan tenaga untuk sebuah buku. Ada beberapa perkara yang mempengaruhi saya untuk membeli buku:
  • duit dalam tangan
  • promosi buku
  • pesta buku
  • dan info buku dari kawan dan media.
Tapi semuanya tidak berlaku jika tiada duit waktu itu, atau duit itu diperuntukkan dengan perkara yang lebih utama. Saya mengumpul banyak genre seperti agama, biografi, politik, ketamadunan, reka, travelog, novel dan ensiklopedia. Buku tahun lepas, paling banyak dibeli bergenre biografi dan ketamadunan. Di antara banyak-banyak buku (yang dibeli 2009) tersebut, buku terbaik bagi saya ialah The 100, The Most Influential Person in History (Michael H. Hart), Muhammad SAW, Insan Teladan Sepanjang Zaman - Kisah Hidup Nabi serta Peperangan di Zamannya (Nik Abd. Aziz Nik Mat), Aisyah Ummul Mukminin, Keangunan Sejati (Sulaiman An-Nadawi), Konflik Dunia Abad Ke-20 (sunt. Abdullah Zakaria Ghazali, Zulkarnain Abdul Rahman), Ayat-Ayat Cinta (Habiburrahman El Shirazy), Melayu - Masalah dan Masa Depan (Syed Husin Ali) dan sebuah Kamus Dewan Edisi Keempat (DBP). 

Bagi buku Muhammad SAW tersebut, saya pesan melalui pos sebagai kaedah pembelian alternatif dengan syarikat buku. Mendominasi buku-buku baru di rak saya, kebanyakan dari penerbit PTS. Perkembangan PTS dilihat menarik hari ini dalam memaju industri buku tempatan kita. Barangkali kerana judul-judulnya memikat, maklumatnya segar serta kulit mukanya cantik mempengaruhi saya untuk membeli buku-bukunya.

   

















Biasanya buku saya bawa ke mana-mana – ke pejabat, dalam kereta, waktu kembara sehingga ke katil. Masa senggang, masa terbaik untuk membaca buku. Ada sebuah buku yang saya mula baca pada tahun lepas tapi hingga sekarang tak habis baca. Tajuknya A Suitable Boy (Vikram Seth), sebuah novel inggeris. Sebab tak habis kerana kandungannya tebal, 1474 muka surat. Mula-mula semangat baca, lama-lama jadi malas pula.. aha. 

Harus diakui, buku-buku dibeli sebelum ini ada yang tak baca atau tak habis baca lagi. Namun banyak pula buku saya habis baca dalam masa setahun. Saya berprinsip tidak mahu menjadi pembaca buku dua helai muka setahun atau sebuah buku untuk setahun. Sekurang-kurangnya saya perlu habis sebuah buku dalam sebulan. Paling cepat saya baca dalam masa seminggu. Yalah, kita kadang-kadang sibuk dengan komitmen itu dan ini manakala ada masanya, misi skim and scan helaian dibuat bagi mengambil maklumat penting.
 
-->
buku-buku terpakai di Bazar Chowratsa, P. Pinang


Kedai Buku dan Pesta Buku

Menyusup masuk mana-mana kedai yang jual buku menjadi kegemaran. Saya ke kedai buku kebiasaannya bersama ahli keluarga, kawan-kawan atau sorang-sorang. Ada beberapa bentuk kategori kedai buku di Malaysia contohnya:

i) rangkaian kedai buku seperti MPH, Popular, Borders, Kinokuniya, Mynews yang didirikan di pasaraya. Biasanya rangkaian buku ini mengambil lot-lot besar untuk operasinya.

ii) Di bandar-bandar atau pekan, memang banyak kedai buku umum yang menjual buku teks, rujukan dan pelbagai genre tajuk. Ia menjadi pembekal dari banyak penerbit dalam atau luar negara. Kedai ini sentiasa mendapat perhatian dari pihak sekolah, tenaga pengajar, para pelajar dan orang awam.

iii) Kedai buku agama atau toko buku agama antara yang terlama di Malaysia yang berkembang subur sehingga ke ceruk-ceruk dan daerah-daerah. Buku-bukunya banyak dikhaskan kepada agama dalam pelbagai cabang – sejarah, akhlak, fiqh, al-quran, hadis, tauhid, syariah, tasawuf, munakahat, kepimpinan & pengurusan, dsb. Contohnya Pustaka Muda (Ipoh), Tinta Ilmu (Shah Alam), Pustaka Habibi (Sg. Petani), Jaafar Rawas (Kota Bharu), Al Fayyadh (Kluang), dsb. Ada sesetengah kedai mempelbagaikan buku agamanya dari negara Indonesia dan dari Asia Barat. Selain daripada buku-bukunya, terdapat barang-barang ibadah dijual bersama seperti songkok, sejadah, telukung, keperluan umrah dan haji.

iv) Kedai buku Cina merupakan fenomena yang tak dapat disangkal lagi. Corak kedai ini, ia menjual buku, majalah, novel, sastera, komik sama ada dari tempatan atau diimport dari China, Taiwan dan Hong Kong. Ada pun buku genre dalam komputer, masakan, arkitektur, seni atau bisnes, ia diversikan kepada bahasa Cina bagi memudahkan pembacaan di kalangan masyarakat etnik Cina di negara ini.

v) Manakala kedai-kedai buku terpakai seperti Novelhut, Bazar Chowratsa, Payless, BookXcess, dsb. menjualnya pada kadar rendah. Kedai buku terpakai tidak semestinya menjual buku-buku lama, ia juga menjual buku terbitan baru yang dijual semula atau dari syarikat buku lain yang kelebihan stoknya. Tempat ini sesuai bagi penggemar buku yang berbajet dalam soal mendapat buku.

vi) Satu lagi, di kedai buku majalah biasa yang menjual pelbagai versi akhbar, majalah kontemporari dan beberapa kategori buku disamping alat tulis. Ia semacam kedai runcit yang didirikan di merata-rata tempat. Kedai seperti ini selalunya banyak menjual pelbagai versi majalah dalam beberapa bahasa. Ia juga menjual buku-buku terbaru dan terbitan yang lepas-lepas. Melalui pengalaman saya, orang India, Mamak dan Cina selalu menjadi tauke buku ini.

 
macam-macam buku pun ada di Novelhut, Ipoh Parade
 
Seharusnya rakyat perlu berbangga dengan kehadiran kedai buku di bandar atau di desa. Kemunculan kedai buku sepatutnya dimanfaat sebagai pusat sehenti masyarakat mendapat buku dan galeri ilmu setempat. Tahun lepas saja, judul-judul buku saya beli + kumpul dari 3 buah negeri iaitu Perak, Selangor, P. Pinang dan ditambah satu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sekali-sekala seronok juga kembara buku :). Ada juga beberapa judul buku yang tamat dibaca, saya resensi dan ulaskan dalam blog ini.
 
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Kali Ke-28 

Pesta Read Malaysia tak kurang hebatnya 

Ekspo Buku UKM di bulan Ogos, 2009

Melalui penyusuran buku, seingat saya ada tiga pesta buku saya pergi tahun 2009: 
i) Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), PWTC; 
ii) Pesta Read Malaysia, Seri Kembangan; 
iii) Pesta Buku Karnival Kesenian dan Keilmuan Islam, Bangi; 
iii) dan Expo Buku UKM, Bangi. 

Paling seronok tentulah PBAKL kerana ia lebih gamat dengan pengunjung, promosi dan acaranya. PBAKL juga merupakan buku yang paling banyak saya beli dalam satu-satu masa. PBAKL akan datang, insya-Allah saya akan turun lagi memeriah pesta buku.  


Eksperisi Buku  
Kerana buku secara sosiologinya seseorang kemungkinan melalui pelbagai eksperisi seperti seronok, geram, marah, mencabar, letih, dsb. Seronok kerana menghabis bacaannya. Geram kerana tak dapat berjumpa dengan penulis. Marah kerana bukunya terkoyak. Mencabar kerana buku terbitannya kurang laku. Letih kerana kepayahan mendapatkan sebuah buku di merata tempat. Apa-apa pun, buku adalah buku. Di dalamnya terkandung ilmu. Jika dibeli relatifnya tak rugi. Jika dibaca insya-Allah memutik ilmu di dada. Selamat datang tahun baru dengan judul-judul yang menarik. Semoga para penulis mencatat suatu yang berharga bagi buku baru yang dikarangkan.



Monday, January 4, 2010

Tahun Baru, Pelajar dan Persiapan

Hari ini di tahun baru 2010 para murid dan para pelajar melangkah baru di alam persekolahan. Tentunya azamnya baru dan semangatnya pun baru. Bagi para pelajar di negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu, semalam merupakan hari mereka ke sekolah setelah bercuti sebulan lebih. Mengikut statistik Kementerian Pelajaran Malaysia (Januari, 2010), terdapat 9,844 sekolah di negara ini iaitu 7,655 bilangan sekolah rendah dan 2,189 sekolah menengah dengan enrolmen pelajar sehingga hampir lima juta setengah para pelajar. 

Di kedai-kedai buku, saya pasti hari ini ramai di kalangan rakyat Malaysia bertandang untuk membeli buku di tahun baru ini. Masa-masa inilah disempatkan untuk membeli judul apa yang tertinggal. Manakan tidak, persekolahan bermula, anak-anak perlu dititikberatkan manakala ada saja buku baru yang disyor oleh guru atau pihak sekolah untuk kegunaan para pelajar/murid di tahun ini. 

Bagi tuan punya kedai buku, musim ini merupakan buku-buku teks, latihan dan alat tulis serta barang bantuan mengajar paling mendapat sambutan selain diri mereka sibuk mendapat stok baru dari pembekal. Manakala Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) yang disediakan oleh pihak kerajaan seharusnya disyukuri dan dihargai bagi meringan beban kewangan keluarga. Apa-apa pun selamat belajar kepada adik-adik sekalian. Semoga mengapai cita-cita murni!



Friday, December 18, 2009

Hijrah 1431



Hari ini umat Islam di seluruh dunia menyambut Ma'al Hijrah, hari kebesaran Islam dalam permulaan takwim Islam. Takwim hijrah ini mengambil iktibar sempena dalam sejarah Rasulullah SAW melakukan hijrah dari kota Makkah Al Mukarramah ke Madinah. Dalam hijrah agung ini terdapat banyak pengajaran dan panduan yang boleh diambil oleh kita sebagai ummah bagi membentuk sikap dengan mencontohi peribadi murni junjungan mulia Rasulullah SAW dan para sahabat.

Seperti yang disebut Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz dalam ceramahnya di Masjid An-Nur, Ulu Kinta baru-baru ini, iaitu tiga watak mukmin yang hebat kerana keyakinan dan keberaniannya dalam peristiwa Hijrah.
  • Yang pertama Abu Bakar As-Siddiq sebagai orang dewasa menemani Rasulullah SAW sepanjang penghijrahan dari bumi Makkah ke Yathrib (Madinah); 
  • Yang kedua Ali bin Abi Talib sebagai orang muda yang menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW ketika baginda dikepung pihak musuh di rumahnya dan 
  • Yang ketiga Asma sebagai orang perempuan yang menyediakan makanan dan khabar berita kepada Rasulullah SAW dan Abu Bakar sepanjang mereka bersembunyi. 
Tiga watak ini begitu besar perjuangan mereka dalam mengharungi cabaran dalam membantu hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Ia merupakan pengorbanan murni yang tidak dapat dinilai dengan wang dan harta. Hanya Allah SWT dapat menaungi mereka dengan ganjaran sebaik-baiknya.

Dalam kalangan kita hari ini masing-masing ada mempebaharui tekad, semangat dan azam di tahun baru ini. Tentunya azam ini membawa kepada transformasi dari kurang baik kepada baik atau yang baik kepada lebih baik lagi. Saya tak terkecuali bagi azam tahun ini yang antaranya mengekalkan pembudayaan membaca bagi meningkat ilmu untuk dunia dan ukhrawi, Insya-Allah. Takkan ku luntur nilai ilmu ini seperti yang ku garap sebelum ini.

Semoga tahun yang menyinari ini lebih bermakna buat diri kita, keluarga, masyarakat dan umat Islam seantero dunia. Juga, semoga semangat hijrah ini dapat dihayati falsafahnya. Selamat Tahun Baru 1431 Hijriah buat semua.

“Memantap ukhuwah, Memperkasa ummah”



Thursday, December 17, 2009

PPSM di Ipoh

Baru-baru ini saya menghadiri suatu majlis ringkas penyerahan kunci bangunan baru PPSM di Jalan Dato’ Shaari, Ipoh. Majlis penyerahan kunci itu diserahkan oleh En. Jeffryl Azniel dari Pejabat Pembangunan Negeri Perak kepada Tuan Haji Mohamed Haji Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengolala Penubuhan PPSM. PPSM merupakan akronim Pusat Pintar Sains dan Matematik yang ditubuhkan Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP) yang menjadi entiti pendidikan Kesatuan bagi membudayakan kecintaan Sains dan Matematik di kalangan pelajar-pelajar di negeri ini. Turut hadir di majlis tersebut ialah barisan kepimpinan KPIP iaitu Cikgu Rahman Najib, Sdr. Ahmad Shah, Sdr. Lokman, Sdr. Musa dan En. Nasir (kontraktor) disamping beberapa staf.

Sebelum ini PPSM mengalami kerja pembersihan dan baik pulih bangunan yang disewa dengan kerajaan negeri melalui suatu pemeteraian perjanjian. Dengan penyerahan kunci ini kepada KPIP, bermakna PPSM boleh mengorak langkah bagi merancang dan membentuk programnya. Justeru itu, penyediaan peralatan & kelengkapan bangunan dan menyuntik dana PPSM merupakan jalan seterusnya sebelum PPSM dapat beroperasi secara rasminya. Tertubuhnya PPSM membawa ia ke arah penyuburan ilmu, pembinaan motivasi serta pembentuk akhlak bagi mewadah generasi pelajar yang cemerlang. Insya-Allah.


[PPSM4.jpg][PPSM3.jpg][PPSM1.jpg][PPSM2.jpg]
[PPSM5.jpg]


[PPSM7.jpg]

[PPSM6.jpg]

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA