Showing posts with label pengurusan. Show all posts
Showing posts with label pengurusan. Show all posts

Sunday, October 21, 2018

Bukan Semua Perkara Perlu Diswastakan (Privatisation)




Bukan semua perkara perlu diswastakan (privatisation). Penswastaan itu dikatakan dapat memenuhi pengurusan dan penyampaian yang lebih baik, cekap termasuk menggalakkan persaingan sihat di kalangan institusi, badan, agensi atau firma. Namun begitu, belum tentu penswastaan sebagai 'ubat mujarab' untuk segala masalah ketidakcekapan. Ini seperti yang telah disebutkan oleh Prof. Dr. Jomo K.S., penswastaan akan mengutamakan pertimbangan mengaut keuntungan semata-mata di samping mengorbankan kebajikan sosial dan kepentingan awam.  


Relatifnya, dasar penswastaan dalam menyampaikan perkhidmatannya, dari masa ke semasa akan menaikkan kos berlebihan dan mengenakan kadar caj tertentu atas khidmatnya, sedangkan prasarana dan infastrukturnya belum tentu dapat dimanfaat, dinikmati dan disenangi oleh masyarakat teramai.


Ironinya, kita melihat Penswastaan Kerja Pungutan Sampah di taman perumahan tidak kekal tetap diambil mengikut waktunya; Penswastaan Taman Rekreasi untuk riadhah keluarga dan awam - kemudahan dan persekitarannya amat sekali memalukan; Penswastaan Tandas Awam - kebersihannya digambarkan amat begitu menjelekkan; Penswastaan Tempat Parkir kenderaan - pengurusannya lemah dan penyelenggaraanya tidak diatur dengan baik;  Penswastaan Sistem Telekomunikasi - rangkaiannya tersekat-sekat, liputan terhad sehingga tidak dapat diakses di kawasan pedalaman; dan akhirnya Penswastaan Jaringan Lebuh Raya - mutu prasarana, mobiliti perjalanan dan keselamatan sering dipersoalkan.


Kerana itu, kita tidak perlu terikut-ikut dengan slogan penswastaan bahawa semuanya akan jadi baik-baik belaka.




| damaisuria.blogspot.com |



Saturday, July 28, 2012

Adab Cara Letak Buku Agama


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiPwc-gpuwJUMvCG4SdBF3D0MEGEY-90zapvzdmkAKy4Zs-p5GV3lQeKc5hrK5zk5ZaROD9Xdrr5PlsJ_WWoq5i6bMSGjx05QMZckPQr09kASzx6ZGXHWaI-OV3Bpvqy6h84rHAX5Rq6F2Z/s1600/buku+agama.jpg


Buku agama ialah buku  berunsur kerohanian yang di dalam terdapat keagungan kalimah yang perlu dijaga. Genre buku agama adalah banyak sekali seperti dalam judul sejarah, motivasi, pengurusan, politik, sains, perubatan, syariah dan sebagainya. Mushaf Al Quran juga dikategorikan dalam buku agama. Acap kali terjadi buku-buku agama yang dipamerkan di rak dalam susunan yang tidak kena. Buku-buku agama diletak pada susunan yang rendah sehingga mencecah kaki. Kedudukan perletakan lebih rendah membawa potensi kepada terlanggar, tersepak dan terlangkah.

Melalui pengalaman saya, saya pernah terlihat kedudukan buku agama disusun dalam keadaan yang tidak sesuai. Buku-buku agama di rak kedai diperagakan di bawah aras lutut sedangkan buku berkategori lain pada sudut atas. Hakikatnya, apabila pengunjung melalui zon buku agama ini, ia menyelisih betul-betul pada kaki. Di suatu tempat, terdapat peniaga meletakkan buku agama atas papan. Papannya pula terlalu rendah yang sama tinggi dengan buku lali. Ini juga mendedah kepada risiko terlangkah atau tersandung.

Di perpustakaan walaupun buku-buku disusun mengikut sistem genre dan kategori, buku-buku agamanya disusun bermula ruang rak atas sehingga ke ruang rak sangat bawah. Jika terdapat susunan kitab Al-Quran  pada aras bawah sekali tentu ia sepatutnya tidak berlaku sama sekali. Apabila seseorang itu mencapai buku di bahagian rak atas dengan menggunakan bangku bantu,  ini mengakibatkan kedudukan kakinya melampaui deretan buku agama di bahagian bawahnya.

Relatifnya buku-buku agama sering didominasi dan diakui teks yang mengandungi kalimah murni dan tulisan ayat-ayat suci Al Quran. Kalimah suci tersebut perlu dijaga kehormatannya. Cara letak buku agama dengan susunan yang betul merupakan sebahagian adab memelihara buku-buku agama daripada berada dalam keadaan yang tidak kondusif. Terus, bagaimana adab yang sesuai untuk peragaan buku agama ini? Saya mengemukakan tip-tip seperti berikut:

  • Peragakan buku-buku agama pada kedudukan tinggi dan selamat.
  • Elakkan buku-buku agama disusunkan memanjang sehingga ke paras lebih rendah, sebaliknya lebihan buku-buku agama boleh disusun sebelah kanan atau kiri rak, jauh dari paras terkebawah.
  • Jika memerlukan buku-buku agama diletakkan di atas papan, tinggi bangku papan sekurang-kurang pada aras pinggang.
  • Elakkan kitab Al Quran ditindih dengan buku-buku lain. Organisasikan mengikut pengkhususan Al Quran sahaja.
  • Jauhi posisi peragaannya berhampiran dengan patung, bahan tidak bermoral, bahan yang menjolok mata atau dianggap boleh merendahkan kemuliaan ayat suci Al Quran.
  • Jika menjual buku-buku agama secara bergerak (berkenderaan), jangan memilih lokasi di kawasan tepi-tepi longkang, tepi tandas, tempat kotor atau kawasan berbau tidak menyenangkan. Peragakan buku-buku agama di persekitaran bersih.



Friday, July 20, 2012

Kaedah Buku Baring dan Buku Menegak


Apabila seseorang mempunyai rak disertai banyak buku yang dimilikinya pada satu-satu masa, seseorang itu mungkin akan memikirkan bagaimana kaedah menyusun lambakan bukunya. Mengorganisasikan buku merupakan teknik dalam  mengurus dan memperagakan buku-buku agar berada dalam keadaan yang tersusun dan kemas. Penyusunan buku ini secara umumnya boleh dibahagikan kepada dua kaedah iaitu susunan buku secara menegak (vertical) dan susunan buku secara baring (horizontal).


♫ Buku Secara Menegak

Teknik buku menegak ialah kaedah menyusunkan buku-buku secara mendirikan ia. Buku-buku disusun secara rapat bersama di antara satu sama lain di mana ia akan menampakkan deretan tetulang buku di rak. Buku secara menegak merupakan kaedah penyusunan popular dan sering dilihat di perpustakaan-perpustakaan. Melalui buku secara menegak di perpustakaan, ia sebenarnya memudah dan mempercepatkan kita mengambil buku yang dicari. Di samping itu, terdapat juga buku yang disusun secara menegak dengan menampakkan muka buku. Melalui perletakan cara tersebut, gambaran penuh sesebuah buku atau bahan bacaan yang diterbitkan dapat diperlihatkan kepada orang ramai.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj1lCqCGDd_2G2RkMHJetKEvZgJAwKkXzOZrq3J1vq4pg630FbVAs8fezrMOaRae5SAdRTVlf0v1aEETB83CPyllOI6hfLz5urYLSHDELK3Lz4oxL8nXyQ9a8GaR-ESWF19Ro6w_HOWabH0/s1600/buku+secara+menegak.jpg
buku disusun menegak menampakkan tetulang buku

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgppcT-ihy7Omw8oo-m3cjNOhbjPZReMwcDDI-Pz2scz5HMrD9gOdaAXJIlk7TuGycWgcPKJv7zlv5G8103THPrGTo8OYCY9dq7b79jZL_Dj2RhGXafERI7URgY0y-1Se9gVHWIzleyc0s7/s1600/muka+buku.jpg
buku disusun menegak menampakkan muka buku


♪ Buku Secara Baring

Teknik buku baring ialah meletakkan buku secara melintang di rak. Ia boleh diumpamakan 'menidurkan' buku-buku kita. Dalam kaedah buku baring, buku yang disusunkan akan bertindih dengan buku-buku lain di atasnya. Untuk menampakkan kekemasan, buku baring boleh diorganisasikan dengan susunan mengikut saiz dan ketebalannya.


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjAbbCXZI-02OoVTV6N4itAVk6PCo3UJe0KtswBv_Gy4lQmc1TiOU1bTOZFgwGviVFrMbuim_BGGPU8ORr14fYYQGgnEgSr-bFsgaU8GOudUWph5dKGfbsLKb9gl5-O9zcalCwkSUYcDcQj/s1600/buku+baring.jpg
buku disusun cara baring


Untuk tip penjagaan dan pengurusan buku, penulisan saya tersebut ada dimuatkan pada arkib di blog ini.






Tuesday, April 24, 2012

Gangguan Sistem Perpustakaan UUM


Ketika saya sampai di perpustakaan UUM, saya tidak dapat menggunakan sistem pemulangan buku seperti kelaziman. Hari ini (Selasa) sistem yang digunakan adalah sistem manual dan saya harus menunggu lebih sedikit untuk memulangkan buku-buku saya. Kawan saya, Ariz turut mengeluh apabila buku-buku yang dipulang sudah tamat tempohnya sukar dijejaki apabila sistem 'down', lebih-lebih lagi buku yang dpinjam agak banyak kali ini. Melalui sistem manual, kami perlu beratur di kaunter. Di kaunter, kami akan menulis nama, kad pengenalan, no. perolehan, no. telefon, tarikh dan tandatangan di atas sekeping kertas. Apabila saya datang semula ke kaunter untuk urusan peminjaman buku, saya perlu menulis nama, kad pengenalan, nama buku, no. perolehan, no. panggilan, tarikh dan tandatangan di atas sekeping kertas. Begitulah proses rutin yang dilakukan para pelajar lain untuk memulang dan meminjam buku dalam beberapa hari ini.

Sistem digital pinjaman dan pemulangan buku di perpustakaan UUM menggunakan konsep teknologi RFID. RFID ialah teknologi pintar yang mengenalpasti objek untuk mengesan, menyimpan dan memproses data objek. Ia merupakan penggunaan teknologi terkini seperti yang difasilitet di perpustakaan-perpustakaan IPTA Malaysia.  Sayangnya ia langsung sama sekali tidak boleh dimanfaatkan kerana sistem mengalami gangguan kerosakan sejak Rabu lepas.

Melalui sistem digital pinjaman buku perpustakaan UUM (layan diri/self check), para peminjam akan imbas kad matriks pada sistem dan masukkan kata laluan pada skrin sentuh. Kemudian peminjam akan meletakkan buku pada 'tray' untuk imbas buku yang dipinjam. (Pada buku ia telah dipasang tag RFID)  Apabila imbasan buku sudah berjaya, sistem akan mengeluarkan slip yang menerakan no. resit, nama peminjam, maklumat buku, tarikh, waktu dan tempoh peminjaman.

Manakala bagi sistem digital pemulangan buku perpustakaan UUM, peminjam akan imbas kad matriks dan pintu buku pada sistem akan terbuka, bersedia untuk 'menelan' buku oleh peminjam (book drop). Sistem akan tamat apabila pengguna menekan butang resit pada skrin sentuh sebagai tanda tiada buku lagi mahu dipulangkan. Jika ada buku terlebih masa dipulangkan, sistem akan mengesan dan mempamerkan denda yang dikenakan pada resit tersebut. Seterusnya peminjam akan membawa resit ke kaunter untuk menjelaskan jumlah bayaran denda yang dikenakan. Ini kerana bayaran denda yang belum dijelaskan akan menafikan (senarai hitam) para pembaca untuk meminjam buku-buku baru.

Pada pandangan saya, secanggih mana peranti atau teknologi yang diasosiasi dan direalisasikan, kelemahannya tetap wujud. Berlakunya gangguan atau kerosakan pada sistem, ia terus melumpuhkan perjalanan operasi perbukuan pinjam dan pulang seperti kes tadi.  Sistem ialah suatu proses dan kekangan tetap ada disebabkan persekitarannya. Seandainya sistem yang tersebut lambat diperbetulkan, ia  mencipta kerja-kerja tunggakan baru kepada staf-staf perpustakaan. Akibatnya staf-staf perpustakaan UUM terpaksa berkerja lebih untuk mengkod semula segala maklumat peminjam dan rekod-rekod buku dari manual ke dalam sistem apabila operasi sistem kembali pulih. Manakala para pelajar mungkin akan berkerenah untuk menulis, memaut beban buku dan beratur panjang menunggu di kaunter!



Sunday, April 8, 2012

Sistem Giliran di Skrin Sentuh




Mengambil giliran di bank tidak semacam dulu di mana kita beratur memanjang mengikut kaunter.  Untuk cepat, kita beratur pada kaunter yang paling sedikit orang bagi mendapat perkhidmatannya. Ia seperti yang dipraktikkan kita sekarang di pasar raya di mana kita mencari baris-baris kosong bagi membuat pembayaran ke atas barangan kita.

Kemudian sistem giliran di bank diperbaiki. Para pelanggan akan beratur tetapi dalam satu had sempadan. Orang pertama pada had sempadan itu akan dilayan dahulu melalui kaunter mana yang kosong.  Jika kaunter yang lain kosong, orang kedua pula akan pergi ke kaunter yang kosong itu dan begitu orang ketiga, keempat dan seterusnya mengikut kaunter-kaunter kosong. Sistem giliran ini lebih adil, cumanya kekurangan yang ada ialah pelanggan tidak dapat duduk kerana terpaksa beratur.

Sistem giliran kemudian diperkemaskinikan. Ia menggunakan sistem nombor dan mesin nombor mula diperkenalkan di bank dan pusat-pusat perkhidmatan. Kaedah ini memerlukan pelanggan menekan nombor pada mesin tersebut dan slip nombor akan keluar menerakan nombor giliran kita. Apabila banyak servis yang disediakan oleh satu-satu bank tersebut, butang-butang mesin ditambah bilangannya mengikut kategori pekhidmatan yang disediakan. Para pelanggan akan dipanggil gilirannya melalui suara berkomputer atau tanda bunyi seperti tertera pada skrin pandangan di dinding bank. Sistem giliran mesin nombor banyak digunakan hari ini seperti di pejabat pos, TNB, kaunter pembayaran bil air dan pejabat-pejabat kerajaan. Dalam pengenalan sistem giliran bermesin, para pelanggan dapat duduk tanpa berdiri lama untuk beratur.

Hari ini sistem giliran diperhebatkan. Konsep skrin sentuh sudah mula menggantikan sistem giliran mesin. Dengan satu sentuhan sahaja, kita sudah mendaftar untuk mendapat giliran kita. Trend ini seiring hegemoni teknologi di arus perdana. Dari skrin sentuh kiosk maklumat di pejabat kerajaan sehinggalah skrin sentuh parking kenderaan, aplikasi skrin sentuh diperluaskan serata tempat. Konsep aplikasi skrin sentuh boleh dikatakan dirintis melalui  mesin ATM (Auto Teller Machine). Mesin ATM mempunyai skrin, antara muka, menu dan butang menu selain bahagian pengeluaran wang dan slip. Seperti mana mesin ATM mempunyai antara muka menu dan tempat pengeluaran slip, maka seperti mana skrin sentuh mempunyai antara muka menu dan tempat pengeluaran slip nombor. Bezanya cuma butang menu mesin digantikan skrin input yang mana pada skrinnya dikemaskinikan dengan sensor elektronik bagi membolehkan interaksi sentuhan jari dengan skrin dijanakan.

Bank EON (kini Bank Hong Leong) telah menggunakan sentuhan pada skrin. Dari sentuhan skrin, slip nombor dikeluarkan. Di Bank Islam, aplikasi sentuhan pada skrin mencetakkan nombor giliran. Bagi warga emas pula, mereka hanya memasukkan kad pengenalan pada sistem. Layanan yang cepat akan diberi kepada mereka yang berumur oleh perkhidmatan bank tersebut. Begitu juga konsep aplikasi skrin sentuh dilihat dominan dipraktikkan di syarikat-syarikat telekomunikasi.

Tatkala saya berurusan di takaful Etiqa, saya perlu mendaftar diri di sistem giliran skrin sentuh untuk mendapat giliran saya. Saya memasukkan kad pengenalan dan sistem akan membaca maklumat identiti saya. Skrin akan mempamerkan jenis menu pelanggan dan saya memilih urusan yang diingini. Seterusnya  nombor giliran saya dipamerkan pada skrin dan saya perlu mengingatinya. Kemudian saya mengeluarkan kad pengenalan dari sistem dan menunggu di ruang duduk. Pada skrin pandangan giliran di dinding, pelanggan boleh melihat nama dan nombor semasa mereka yang sedang berurusan di kaunter. Pada susunan jujukan giliran, pelanggan dapat mengetahui dia di bawah pelanggan siapa. Apabila masa giliran saya tiba, suatu nada dibunyikan dan  saya lihat abjad nama dan nombor kaunter saya sudah tertera di skrin pandangan. Rumusannya, tiada slip kertas dikeluarkan untuk giliran! Hatta tiada kertas-kertas penuh di meja kaunter. Kaunternya kemas, tersusun bersih. Takaful Etiqa telah mengorak langkah meminimakan penggunaan kertas (paperless).

Saya tidak pasti pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang di luar sana (baca: yang tidak terdedah dengan dunia IT)  mampu menggunakan khidmat skrin sentuh yang difasilitet di bank-bank atau pusat-pusat perkhidmatan. Sistem giliran di skrin sentuh sebenarnya suatu yang asas sebelum kita pergi jauh bagi penggunaan peranti PDA, telefon pintar, komputer tablet, GPS atau apa seumpama dengannya yang sedang berkembang dalam masyarakat kita. Skrin sentuh ialah hasil produk interaktif. Rogers, Sharp & Preece (2002) mentakrifkan  produk interaktif ialah mengenai semua kelas sistem yang interaktif, persekitaran, peralatan, aplikasi dan peranti.[1] 

Interaksi manusia dengan mesin memerlukan mesin itu mesra pengguna agar pengguna dapat menerima kemudahan dengan sebaiknya tanpa menyusahkan. Sekiranya mesin atau peranti itu menyukarkan pengguna, maka ia mempunyai desain yang rendah (poor design). Malah jika skrin sentuh mempunyai fungsi yang mengelirukan, peranan skrin sentuh sebagai peranti interaksi antara manusia dengan mesin telah sama sekali gagal dalam memenuhi penyampaian dan hubungan pengguna↔mesin walaupun harganya beratus-ratus ribu. 




1. Preece, J., Rogers, Y., & Sharp, H. 2002. Interaction design: Beyond human-computer interaction. New York: John Wiley & Sons, Inc.



Saturday, August 14, 2010

7 Tip Penjagaan dan Pengurusan Buku



1  Elakkan buku dari kepanasan

Jangan letak buku pada tempat yang panas. Membiarkan buku pada darjah suhu yang tinggi menyebabkan buku anda melengkung dan permukaannya tidak sama rata. Meninggalkan buku dalam kenderaan di tempat parkir panas atau membiarkan buku berdekatan mesin-jentera berhaba antara perkara yang perlu dielakkan bagi penjagaan buku anda. Bahang panas juga menyebabkan kulit muka dan halaman menjadi kekuningan.


2   Balut buku

Kekalkan penjagaan buku dengan membalut buku-buku yang dibeli. Membalut buku dapat memelihara kulit buku daripada rosak di tepi-tepinya. Ia juga dapa mengelak daripada lekatan debu, minyak dan kotor terus pada muka buku. Terdapat pelbagai plastik buku di pasaran mengikut kualiti dan ketebalannya. Pilihlah plastik buku yang berkualiti. Jika anda memilih plastik buku yang nipis atau bermutu rendah maka plastik ini adalah jenis yang tidak tahan lama, mudah koyak dan cepat bertindak balas apabila berhadapan perubahan suhu tinggi.


3   Sediakan almari / rak buku

Buku yang diperolehi / dibeli dari masa ke semasa sedikit demi sedikit menjadi banyak. Kelak ia menimbun dengan pelbagai judul yang memerlukan penyimpanan teratur. Justeru itu penyediaan almari buku atau rak buku merupakan suatu cara supaya buku anda tidak bersepah dan merata-rata. Jika ada duit lebih, beli almari / rak buku yang bercermin bagi mengelakkan buku anda dari cepat berhabuk dan berdebu.


4   Susun buku ikut kategori dan genre

Atur buku ikut kategori dan genre. Maksud kategori adalah pembahagian mengikut majalah, novel, jurnal, diari, ensiklopedia, fiksyen, bukan fiksyen, dsb. Genre pula adalah perjenisan judul buku melalui tema dan intipati sesebuah buku seperti biografi, agama, ekonomi, politik, sejarah, arkitektur, pendidikan, tamadun, perubatan, sains, dsb. Terpulang kaedah penyusunan masing-masing. Ada yang suka menyusun mengikut keluaran penerbit. Ada yang gemar menyusun mengikut nama penulis buku. Sebahagian lain mungkin meminati penyusunan mengikut siri / edisi.


5   Atur buku secara menegak

Aturan buku-buku secara menegak merupakan kaedah penyusunan yang terbaik berbanding penyusunan kaedah buku baring atau melintang. Mengapa? Pertama, buku secara menegak memudah dan mempercepatkan kita mengambil buku yang dicari. Kedua, penyusunan secara menegak memanjang jangka hayat buku. Ini kerana buku-buku secara baring menyebabkan binding buku lama-kelamaan tidak selari akibat bertindih dengan buku-buku lain di atasnya.


6   Letak penghadang buku

Apabila menyusun buku (secara menegak), letakkan penghadang buku pada susunan buku paling tepi / akhir buku. Tujuannya supaya buku-buku yang disusun itu tidak kelihatan senget atau terjatuh. Penghadang buku boleh didapati di kedai alat tulis.


7   Rekod maklumat buku

Pustakakan maklumat buku-buku supaya pengkoleksian senarai bahan bacaan anda lebih tersusun, terurus dan bermaklumat. Bagi sebuah buku, perkara yang boleh direkodkan adalah seperti judul buku, nama penulis, nama penerbit, tahun terbitan, jumlah halaman, ISBN, harga buku, genre, dsb. Perekodan ini memudahkan anda melihat kembali jenis-jenis buku yang ada dalam simpanan. Urutan senarai ini amat bermanfaat bagi kegunaan capaian di masa akan datang. Anda boleh menguruskan perekodan ini melalui catitan pada buku khas atau melalui perisian pangkalan data. Perisian asas seperti Database, Excel boleh diinisiatifkan atau memuat turun secara percuma perisian perekodan buku yang sesuai di laman siber. Hari ini, laman komuniti perpustakaan maya seperti Goodreads, Shelfari, LibraryThing menyediakan akaun buku yang membolehkan anda untuk berkongsi maklumat buku anda miliki dengan penggemar-penggemar buku dari pelosok dunia.

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA