Mengambil giliran di bank tidak semacam dulu di mana kita beratur memanjang mengikut kaunter. Untuk cepat, kita beratur pada kaunter yang paling sedikit orang bagi mendapat perkhidmatannya. Ia seperti yang dipraktikkan kita sekarang di pasar raya di mana kita mencari baris-baris kosong bagi membuat pembayaran ke atas barangan kita.
Kemudian sistem giliran di bank diperbaiki. Para pelanggan akan beratur tetapi dalam satu had sempadan. Orang pertama pada had sempadan itu akan dilayan dahulu melalui kaunter mana yang kosong. Jika kaunter yang lain kosong, orang kedua pula akan pergi ke kaunter yang kosong itu dan begitu orang ketiga, keempat dan seterusnya mengikut kaunter-kaunter kosong. Sistem giliran ini lebih adil, cumanya kekurangan yang ada ialah pelanggan tidak dapat duduk kerana terpaksa beratur.
Sistem giliran kemudian diperkemaskinikan. Ia menggunakan sistem nombor dan mesin nombor mula diperkenalkan di bank dan pusat-pusat perkhidmatan. Kaedah ini memerlukan pelanggan menekan nombor pada mesin tersebut dan slip nombor akan keluar menerakan nombor giliran kita. Apabila banyak servis yang disediakan oleh satu-satu bank tersebut, butang-butang mesin ditambah bilangannya mengikut kategori pekhidmatan yang disediakan. Para pelanggan akan dipanggil gilirannya melalui suara berkomputer atau tanda bunyi seperti tertera pada skrin pandangan di dinding bank. Sistem giliran mesin nombor banyak digunakan hari ini seperti di pejabat pos, TNB, kaunter pembayaran bil air dan pejabat-pejabat kerajaan. Dalam pengenalan sistem giliran bermesin, para pelanggan dapat duduk tanpa berdiri lama untuk beratur.
Hari ini sistem giliran diperhebatkan. Konsep skrin sentuh sudah mula menggantikan sistem giliran mesin. Dengan satu sentuhan sahaja, kita sudah mendaftar untuk mendapat giliran kita. Trend ini seiring hegemoni teknologi di arus perdana. Dari skrin sentuh kiosk maklumat di pejabat kerajaan sehinggalah skrin sentuh parking kenderaan, aplikasi skrin sentuh diperluaskan serata tempat. Konsep aplikasi skrin sentuh boleh dikatakan dirintis melalui mesin ATM (Auto Teller Machine). Mesin ATM mempunyai skrin, antara muka, menu dan butang menu selain bahagian pengeluaran wang dan slip. Seperti mana mesin ATM mempunyai antara muka menu dan tempat pengeluaran slip, maka seperti mana skrin sentuh mempunyai antara muka menu dan tempat pengeluaran slip nombor. Bezanya cuma butang menu mesin digantikan skrin input yang mana pada skrinnya dikemaskinikan dengan sensor elektronik bagi membolehkan interaksi sentuhan jari dengan skrin dijanakan.
Bank EON (kini Bank Hong Leong) telah menggunakan sentuhan pada skrin. Dari sentuhan skrin, slip nombor dikeluarkan. Di Bank Islam, aplikasi sentuhan pada skrin mencetakkan nombor giliran. Bagi warga emas pula, mereka hanya memasukkan kad pengenalan pada sistem. Layanan yang cepat akan diberi kepada mereka yang berumur oleh perkhidmatan bank tersebut. Begitu juga konsep aplikasi skrin sentuh dilihat dominan dipraktikkan di syarikat-syarikat telekomunikasi.
Tatkala saya berurusan di takaful Etiqa, saya perlu mendaftar diri di sistem giliran skrin sentuh untuk mendapat giliran saya. Saya memasukkan kad pengenalan dan sistem akan membaca maklumat identiti saya. Skrin akan mempamerkan jenis menu pelanggan dan saya memilih urusan yang diingini. Seterusnya nombor giliran saya dipamerkan pada skrin dan saya perlu mengingatinya. Kemudian saya mengeluarkan kad pengenalan dari sistem dan menunggu di ruang duduk. Pada skrin pandangan giliran di dinding, pelanggan boleh melihat nama dan nombor semasa mereka yang sedang berurusan di kaunter. Pada susunan jujukan giliran, pelanggan dapat mengetahui dia di bawah pelanggan siapa. Apabila masa giliran saya tiba, suatu nada dibunyikan dan saya lihat abjad nama dan nombor kaunter saya sudah tertera di skrin pandangan. Rumusannya, tiada slip kertas dikeluarkan untuk giliran! Hatta tiada kertas-kertas penuh di meja kaunter. Kaunternya kemas, tersusun bersih. Takaful Etiqa telah mengorak langkah meminimakan penggunaan kertas (paperless).
Saya tidak pasti pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang di luar sana (baca: yang tidak terdedah dengan dunia IT) mampu menggunakan khidmat skrin sentuh yang difasilitet di bank-bank atau pusat-pusat perkhidmatan. Sistem giliran di skrin sentuh sebenarnya suatu yang asas sebelum kita pergi jauh bagi penggunaan peranti PDA, telefon pintar, komputer tablet, GPS atau apa seumpama dengannya yang sedang berkembang dalam masyarakat kita. Skrin sentuh ialah hasil produk interaktif. Rogers, Sharp & Preece (2002) mentakrifkan produk interaktif ialah mengenai semua kelas sistem yang interaktif, persekitaran, peralatan, aplikasi dan peranti.[1]
Interaksi manusia dengan mesin memerlukan mesin itu mesra pengguna agar pengguna dapat menerima kemudahan dengan sebaiknya tanpa menyusahkan. Sekiranya mesin atau peranti itu menyukarkan pengguna, maka ia mempunyai desain yang rendah (poor design). Malah jika skrin sentuh mempunyai fungsi yang mengelirukan, peranan skrin sentuh sebagai peranti interaksi antara manusia dengan mesin telah sama sekali gagal dalam memenuhi penyampaian dan hubungan pengguna↔mesin walaupun harganya beratus-ratus ribu.
1. Preece, J., Rogers, Y., & Sharp, H. 2002. Interaction design: Beyond human-computer interaction. New York: John Wiley & Sons, Inc.
No comments:
Post a Comment