Tuesday, April 24, 2012

Gangguan Sistem Perpustakaan UUM


Ketika saya sampai di perpustakaan UUM, saya tidak dapat menggunakan sistem pemulangan buku seperti kelaziman. Hari ini (Selasa) sistem yang digunakan adalah sistem manual dan saya harus menunggu lebih sedikit untuk memulangkan buku-buku saya. Kawan saya, Ariz turut mengeluh apabila buku-buku yang dipulang sudah tamat tempohnya sukar dijejaki apabila sistem 'down', lebih-lebih lagi buku yang dpinjam agak banyak kali ini. Melalui sistem manual, kami perlu beratur di kaunter. Di kaunter, kami akan menulis nama, kad pengenalan, no. perolehan, no. telefon, tarikh dan tandatangan di atas sekeping kertas. Apabila saya datang semula ke kaunter untuk urusan peminjaman buku, saya perlu menulis nama, kad pengenalan, nama buku, no. perolehan, no. panggilan, tarikh dan tandatangan di atas sekeping kertas. Begitulah proses rutin yang dilakukan para pelajar lain untuk memulang dan meminjam buku dalam beberapa hari ini.

Sistem digital pinjaman dan pemulangan buku di perpustakaan UUM menggunakan konsep teknologi RFID. RFID ialah teknologi pintar yang mengenalpasti objek untuk mengesan, menyimpan dan memproses data objek. Ia merupakan penggunaan teknologi terkini seperti yang difasilitet di perpustakaan-perpustakaan IPTA Malaysia.  Sayangnya ia langsung sama sekali tidak boleh dimanfaatkan kerana sistem mengalami gangguan kerosakan sejak Rabu lepas.

Melalui sistem digital pinjaman buku perpustakaan UUM (layan diri/self check), para peminjam akan imbas kad matriks pada sistem dan masukkan kata laluan pada skrin sentuh. Kemudian peminjam akan meletakkan buku pada 'tray' untuk imbas buku yang dipinjam. (Pada buku ia telah dipasang tag RFID)  Apabila imbasan buku sudah berjaya, sistem akan mengeluarkan slip yang menerakan no. resit, nama peminjam, maklumat buku, tarikh, waktu dan tempoh peminjaman.

Manakala bagi sistem digital pemulangan buku perpustakaan UUM, peminjam akan imbas kad matriks dan pintu buku pada sistem akan terbuka, bersedia untuk 'menelan' buku oleh peminjam (book drop). Sistem akan tamat apabila pengguna menekan butang resit pada skrin sentuh sebagai tanda tiada buku lagi mahu dipulangkan. Jika ada buku terlebih masa dipulangkan, sistem akan mengesan dan mempamerkan denda yang dikenakan pada resit tersebut. Seterusnya peminjam akan membawa resit ke kaunter untuk menjelaskan jumlah bayaran denda yang dikenakan. Ini kerana bayaran denda yang belum dijelaskan akan menafikan (senarai hitam) para pembaca untuk meminjam buku-buku baru.

Pada pandangan saya, secanggih mana peranti atau teknologi yang diasosiasi dan direalisasikan, kelemahannya tetap wujud. Berlakunya gangguan atau kerosakan pada sistem, ia terus melumpuhkan perjalanan operasi perbukuan pinjam dan pulang seperti kes tadi.  Sistem ialah suatu proses dan kekangan tetap ada disebabkan persekitarannya. Seandainya sistem yang tersebut lambat diperbetulkan, ia  mencipta kerja-kerja tunggakan baru kepada staf-staf perpustakaan. Akibatnya staf-staf perpustakaan UUM terpaksa berkerja lebih untuk mengkod semula segala maklumat peminjam dan rekod-rekod buku dari manual ke dalam sistem apabila operasi sistem kembali pulih. Manakala para pelajar mungkin akan berkerenah untuk menulis, memaut beban buku dan beratur panjang menunggu di kaunter!



No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA