Showing posts with label fikrah. Show all posts
Showing posts with label fikrah. Show all posts

Sunday, April 24, 2016

Wawancara Jejak Biografi Tokoh KPIP


Wawancara yang ditandai dengan kehadiran 3 tokoh Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP) merupakan suatu pengalaman berharga tatkala mengingati semula bagaimana saya bersemuka dengan mantan-mantan YDP yang pernah menabur budi dan bakti kepada pertubuhan ini. Sebagai ahli kerdil kepada pertubuhan ini, saya ditugaskan oleh presiden KPIP sebagai penemuramah bagi menjejaki fikrah mereka sempena sambutan Jubli Emas KPIP. Mereka ialah Tuan Haji Abdul Rahman Najib Haji Mohd Noor (Mantan YDP KPIP Ke-9), Ustaz Khairil Anwar El-Syazalli Musa (Mantan YDP KPIP Ke-17) dan Cikgu S. Samprizal Selamat (Mantan YDP KPIP Ke-18).

Dalam wawancara bersama Cikgu Rahman, beliau mengetengahkan bahawa sudah tiba masanya KPIP mengangkat inovasi sebagai kaedah memperkembangkan KPIP untuk pergi lebih jauh. Inovasi itu memangkin aplikasi ICT, multimedia, penyelidikan dan pembangunan untuk KPIP terus tumbuh sihat di arus perdana. Yang penting bagaimana KPIP menjana 'produk' dan 'perkhidmatan' tersebut dengan bijaksana.

Abang Samprizal melontarkan pandangan agar KPIP tidak tergelincir dari landasannya dengan memperkukuhkan program anjurannya sendiri. Latihan Asas Dedikasi Islam (LADI) dan Latihan Dedikasi Kepimpinan Islam (LDK) itu merupakan formula istimewa bagaimana KPIP melahirkan kaderisasi yang mempunyai dimensi kepimpinan, jati diri, berperwatakan mulia. Hari ini, KPIP telah melahirkan nama-nama besar dalam pelbagai lapangan - pendidik, ulama, politikus, teknokrat dan pemimpin masyarakat yang berjaya.

Manakala Abang Anwar menyatakan dalam memacu pertubuhan, usrah itu begitu penting, jangan sampai tertinggal. Usrah itu merupakan asas utama menyatukan jemaah, ukhuwwah dan solusi dalam KPIP mendepani pelbagai cabaran dan persekitaran hari ini. Usrah terbina dan mengakar kuat dalam diri sebenarnya memperkemaskan persaudaraan muslim, memecahkan tembok jurang perbezaan; warna dan rupa; pangkat dan darjat yang semakin rapuh merentasi zaman.

Betapa dalam penelusuran wawancara ini, nada saling nasihat-menasihati dan peringat-memperingati sentiasa dimekarkan oleh tiga tokoh ini untuk ke arah kebaikan bersama. Terima kasih kepada pimpinan tokoh-tokoh ini. Terima kasih juga kepada Tim Jejak Biografi Tokoh KPIP yang telah bersama-sama menjayakan misi jejak fikrah ini.

Wawancara bersama Tuan Haji Abdul Rahman Najib b. Haji Mohd Noor


 Wawancara bersama Cikgu S. Samprizal b. Selamat


 Wawancara bersama Ustaz Khairul Anwar El Syazalli b. Musa




Sunday, September 29, 2013

Ungkapan Dr. Siddiq Fadzil: Melayu, Islam dan Alam


Pengislaman telah mentransformasikan Melayu dari bangsa yang terkurung dalam kekarutan tahyul dan dongeng menjadi bangsa rasional yang responsif terhadap rangsangan al-Qur'an agar berfikir (tafakkur) dan merenung (tadabbur).  Ungkapan tradisi "alam terkembang dijadikan guru" adalah penjelmaan kesedaran Melayu tentang hakikat alam sebagai al-kitab al-maftuh (kitab terbuka) yang memuatkan pelbagai rahsia dan hikmah yang bermanfaat bagi manusia yang dapat memahaminya.  Memang alam adalah ayatu'Llah (tanda yang mengisyaratkan keesaan, kebesaran dan kekuasaan Allah).  Justeru, berguru kepada alam dalam tradisi Melayu dapat diertikan sebagai usaha memaknai tanda-tanda pada alam ciptaan Tuhan (ayat al-kawn) dan mengambil iktibar untuk panduan hidup.  Peribahasa Melayu yang mengungkapkan wisdom pusaka bangsa banyak sekali mengangkat objek kealaman: langit, tanah, gunung, bukit, batu, air, angin, flora dan fauna. Demikianlah bukti nyata ketajaman daya renung Melayu.

- Dr. Siddiq Fadzil
  Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat. 2012.




Friday, May 31, 2013

Fikrah Bicara Hasan Al Banna

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjKFTtqjmtj9sk5nDaIm1ukyo75BZllgnCugCfITCDBjGwn30YhNyM9XikaVb4KAPmu6AU_h7DZCZpxeCvt3W0LauZyX4sIglgF6twJ-TASmbNPLVlFHPKBfxnzokiZYEYJlkULtfTWPp9w/s1600/Hasan+Al+Banna.jpg
------------------------------------------------------------------------------------
Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, 
maka akan aku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda.
Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka,
tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku 
dan bersama membina kembali bangunan usang itu 
menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah. 
- Imam As-Syahid Hasan Al Banna
 ------------------------------------------------------------------------------------


Monday, February 20, 2012

Menyerlahkan Konsep Diri


Konsep diri seseorang berbeza dengan individu lain. Ini kerana kita dilahir, dibesar dan hidup dalam suasana pelbagai dan berbeda-beda. Persekitaran berbeda-beda inilah yang mempengaruhi konsep diri seseorang.

Mengikut Ainon Mohd. dalam bukunya Panduan Menggunakan Teori Motivasi di Tempat Kerja (PTS, 2003), makna konsep diri ialah imej diri. Setiap individu mempunyai imej tentang siapa dirinya. Imej itulah yang dikatakan konsep diri. Imej diri sesorang itu terbina daripada segala perasaaan dan fikirannya terhadap segala bakat, keupayaan, keistimewaan, kekuatan, kelemahan dan kekurangan-kekurangan yang ada pada dirinya.

Apabila dia mendaki gunung, konsep diri jasmaniahnya menyerlah
Apabila dia sedang berkonflik, konsep diri emosinya menyerlah
Apabila dia sedang beribadat, konsep diri rohaniah menyerlah
Apabila dia belajar di dalam kelas, konsep diri intelektual pula menyerlah

Konsep diri yang baik mempunyai corak positif manakala konsep diri yang rendah mempunyai corak negatif. Ia bergantung sejauh mana seseorang memanfaatkan konsep dirinya. Seandainya seseorang itu tidak menggunakan bakat atau kelebihan yang ada, maka konsep dirinya akan terus tepu dan beku. Jika seseorang menggunakan konsep dirinya yang negatif-negatif, maka konsep dirinya membentuk kekurangan diri atau mungkin berakhir tragedi yang malang. Tetapi seseorang yang menggunakan bakat dan kelebihan yang ada kepada perkara yang baik-baik, seseorang telah mencapai status konsep diri yang hebat.

Umpamanya dalam meninggi konsep dirinya, seseorang yang mempunyai kemahiran dalam seni desain, dia menyumbang kemahirannya dalam rekaan ilustrasi untuk pengkomersialan. Seseorang yang bebakat dalam pidato, dia menyertai pertandingan perbahasan di universitinya. Seseorang yang pandai menjahit, dia membuka kelas jahitan kepada orang ramai.

Hakikatnya, seseorang pelu bijaksana menggunakan konsep dirinya. Meletakkan konsep dirinya pada tempat dan waktu yang betul mengukir suatu konsep diri yang berharga dalam kehidupan seseorang.




Friday, April 15, 2011

Budaya Hiburan Semakin Mengasyikkan


Program yang berunsur hiburan semakin mudah tumbuh di sebalik nama.  Program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan, media, syarikat telekomunikasi, pasar raya dan penaja jenama popular relatifnya seolah-olah kehabisan idea jika tidak diselitkan hiburan. Kekadang hiburan itu nampak berat sehingga menenggelamkan definisi atau misi suatu program yang dianjurkan. Kekadang hiburan itu nampak begitu mengasyikkan dan  melalaikan sehingga seharian suntuk waktu penuh dengan acara hiburan.

Secara fitrah, memang benar naluri manusia sukakan hiburan. Hiburan bagi mereka suatu bentuk santai, rehat dan menenangkan. Tetapi jika hiburan nampak lebih menyerlah daripada tujuan utama sesebuah program yang diadakan maka konsep organisasi tersebut telah lari dan program yang dianjurkan menjadikan ia semata-mata hiburan. Apakan terjadi jika budaya berhibur menjadi 'trademark' dalam sosial masyarakat kita. Seandainya budaya berhibur tumbuh subur dalam generasi hari ini, maka kelak kita khuatir generasi hari ini akan lesu fikrah dan pertimbangannya serta lemah dalam merencana jati diri dan bekalan ilmu.

Jika selalu sahaja berhibur bagaimana mengangkasa martabat agama? Jika selalu sahaja berhibur, bagaimana mengangkat citra bangsa? Jika selalu sahaja berhibur bagaimana melahirkan modal insan yang berjaya? Jika selalu sahaja berhibur, bagaimana mengembeleng pertahanan negara? Jika selalu sahaja berhibur bagaimana memacu ekonomi negara. Jika selalu berhibur bagaimana mampu menjaga tanah air tercinta?


Tuesday, February 22, 2011

Pandangan Michael H. Hart Mengenai Muhammad SAW

Pemilihan saya untuk Muhammad SAW pada kedudukan pertama dalam senarai tokoh-tokoh yang paling berpengaruh di dunia mungkin mengejutkan sebilangan pembaca dan menjadi tanda tanya oleh orang lain, namun baginda adalah satu-satunya insan dalam sejarah yang sangat berjaya menegakkan syiar Islam kepada umat manusia keseluruhannya.

Berlatarbelakangkan kehidupan yang sederhana, Nabi Muhammad SAW menegak dan menyebarkan salah satu agama terbesar di dunia (Islam), dan menjadi pemimpin umat yang sangat berkesan. Hari ini, setelah tiga belas abad kewafatannya, pengaruh ajarannya masih kuat dan meluas.


Kelahiran junjungan mulia Muhammad SAW
di Makkah Al Mukarramah


Sebahagian besar tokoh-tokoh yang tersenarai dalam buku ini sangat bertuah kerana dilahir dan dibesarkan di tengah-tengah kegemilangan tamadun dan kebudayaan manusia atau dalam kecemerlangan lingkaran politik bangsa. Bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada tahun 570 masihi di kota Makkah yang terletak di Semenanjung Arab. Pada waktu itu, tanah Arab merupakan kawasan mundur, jauh dari pusat perdagangan, kesenian dan keilmuan. Nabi Muhammad SAW menjadi yatim piatu ketika meniti usia enam tahun dan dibesarkan dalam persekitaran sederhana. Dalam rakaman sejarah, baginda juga seseorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Hanya ketika usia baginda 25 tahun, kedudukannya bertambah baik apabila berkahwin dengan seorang wanita janda yang dermawan. Menjelang usia 40 tahun, ada sedikit penunjuk luaran bahawa baginda mempunyai sifat yang luar biasa.

Kebanyakan orang Arab pada waktu itu adalah masyarakat jahiliah yang menyembah berhala dan percaya pada banyak tuhan. Di kota Makkah, terdapat juga sebilangan kecil orang Kristian dan Yahudi. Berdasarkan ramalan mereka, inilah Nabi Muhammad SAW telah datang membawa keyakinan bahawa hanya Tuhan Yang Maha Esa yang memerintah seluruh alam semesta sahaja wajib disembah. Maka, ketika baginda berumur empat puluh tahun, baginda menerima wahyu daripada Allah SWT dan dipilih sebagai Rasul untuk menyebarkan kebenaran agama Islam.

Selama tiga tahun Muhammad SAW berdakwah tentang ajaran Islam kepada kaum keluarga dan sahabat-sahabat baginda secara sembunyi-sembunyi. Sehinggalah sekitar 613 masihi, baginda mulai berbicara kebenaran agama Islam di depan umum. Saat agama ini muncul dan mendapat perhatian baik dari masyarakat sekeliling, ketua-ketua puak jahiliah Makkah mulai mencurigai dan menganggap baginda sebagai musuh yang berbahaya. Pada tahun 622 masihi, keselamatan baginda semakin tergugat kerana kebenaran Islam yang dibawanya kepada para penduduk di kota Makkah. Baginda akhirnya melakukan hijrah ke kota Madinah (terletak kira-kira 200 batu dari utara Makkah). Di Madinah, sambutan terhadap Islam amat menggalakkan dan di sana kedudukan baginda dilindungi sebagai pemimpin umat Islam.

Dalam peristiwa perpindahan yang disebut ‘Hijrah’ ini, ia dicatatkan sebagai titik perubahan penting dalam sejarah kenabian Rasulullah SAW. Jika di Makkah, baginda mempunyai pengikut-pengikutnya, maka di Madinah bilangan pengikutnya bertambah ramai. Dalam masa beberapa tahun, ajaran dari wahyu ini mendapat tempat dan bilangan penganutnya semakin bertambah. Sementara itu, siri pertempuran juga tidak dapat dielakkan dan berlaku di antara kota Makkah dan kota Madinah. Peperangan ini berakhir pada tahun 630 masihi dengan kemenangan berpihak kepada Muhammad SAW dan seterusnya mengorak kejayaan kepada pembukaan kota Makkah oleh baginda berserta para pengikutnya. Dalam tempoh dua setengah tahun terakhir dalam kehidupan baginda, banyak perkara luar biasa berlaku dengan menyaksikan berbondong-bondong bangsa Arab masuk kepada agama Islam. Sehingga kewafatan baginda pada tahun 632 masihi, baginda muncul sebagai pemimpin yang paling berpengaruh dan pengembang agama yang berjaya di seluruh jazirah Arab.

Di tanah Arab terdapat suku Badwi. Secara tradisinya, suku Badwi Arab mempunyai ciri-ciri sebagai pahlawan yang gagah dan berani. Tetapi jumlah mereka yang tidak ramai dan dengan perbalahan sesama sendiri, menyebabkan mereka tidak berjaya untuk menewaskan ketenteraan dari kerajaan-kerajaan besar yang menetap di daerah pertanian sebelah utara. Namun, disatukan oleh Rasulullah SAW untuk pertama kalinya dalam sejarah dan dengan keimanan yang teguh mereka kepada keesaan Allah, akhirnya pasukan Arab yang kecil ini mampu melakukan penaklukan yang menakjubkan dalam sejarah manusia. Di bahagian timur laut Arab terletaknya empayar Neo-Parsi dari Sassanid dan di barat laut, berdirinya empayar Byzantine (empayar Rom) yang berpusat di Constantinopel. Jika diperhatikan, bilangan pasukan Arab dilihat tidak sepadan dengan lawan mereka. Bagaimanapun, ketika beraksi di medan pertempuran, pasukan Arab berjaya menakluki Mesopotamia, Syria, dan Palestin. Pada tahun 642 masihi, pasukan Islam telah berjaya merampas Mesir dari jatuh di bawah kekuasaan empayar Byzantine manakala dalam pertempuran Qadisiya, tentera Parsi telah dikalahkan pada tahun 637 masihi dan begitu juga terjadi di Nehavend pada 642 masihi.


tamadun empayar Islam di zaman kegemilangan


Ia tidak berakhir setakat di sini sahaja, bahkan kesinambungan penaklukan yang besar ini diteruskan para sahabat baginda dan penggantinya, Abu Bakar As-Siddiq dan ‘Umar Al-Khattab. Pada tahun 711 masihi, pasukan Arab telah meluaskan jajahan takluknya merentasi benua Afrika Utara sehingga Lautan Atlantik. Kawasan jajahannya merentasi ke utara, merentangi Selat Gibraltar dan melingkari kerajaan Visigothic di Sepanyol.

Untuk seketika, perluasan empayar Islam ini dilihat seperti orang-orang Islam akan melitupi Kristian di Eropah. Bagaimanapun, pada tahun 732 masihi, dalam Pertempuran Tours, pasukan Muslim yang sedang mara ke hadapan di Perancis, akhirnya ditewaskan. Namun begitu, pasukan Islam didorong dengan sabda Nabi Muhammad SAW, telah melakarkan empayar dari perbatasan India sehingga Lautan Altlantik iaitu sebagai satu-satunya empayar yang terbesar yang pernah dilihat di dunia. Di mana sahaja penaklukan Islam berlaku, ia disertai dengan bilangan besar umat manusia memeluk agama Islam.

Ternyata, tidak semua penaklukan ini kekal lama. Orang Parsi, meskipun penganutnya beragama Islam, telah memerdekakan diri semula dari tangan bangsa Arab. Di Sepanyol, selepas tujuh abad dalam peperangan, akhirnya orang Kristian menawan semula seluruh semenanjung. Bagaimanapun di Mesir, Mesopotamia dan Afrika Utara terus kekal dengan peradaban Arab. Agama Islam terus tersebar dari satu abad ke abad lain, jauh membawa agama ini dari empayarnya ke negara-negara lain di persada dunia. Kini, terdapat berjuta-juta penganutnya bertebaran di bumi Afrika dan Asia Tengah sehingga meluas berkembang di Pakistan, India Utara dan Indonesia. Di Indonesia, agama Islam dijadikan sebagai medium bagi faktor penyatuan. Bagaimanapun di India Utara, konflik antara Muslim dan Hindu merupakan halangan besar dalam penyatuan.

Maka, bagaimana untuk menilai pengaruh Muhammad SAW memberi kesan ke atas keseluruhan sejarah umat manusia? Seperti agama-agama lain, Islam mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap kehidupan pengikut-pengikutnya. Itulah menjadi alasan mengapa para pengasas dan penyebar agama-agama besar di dunia ini mendapat tempat di dalam buku ini. Jika diperhatikan, jumlah penganut Nasrani adalah dua kali ganda lebih besar dari Islam dan ia mungkin agak kelihatan ganjil mengapa Nabi Muhammad SAW diberi tempat pada kedudukan lebih tinggi berbanding Jesus. Ada dua alasan pokok bagi menjawab perihal tersebut. Pertama, Rasulullah SAW memainkan peranan yang jauh lebih penting dalam pengembangan agama Islam berbanding Jesus lakukan bagi agama Nasrani. Walaupun Jesus bertanggungjawab dalam menggariskan ajaran moral dan etika (hingga batas tertentu berbeza dengan Judaisme), tetapi yang sebenarnya St. Paul adalah tokoh utama dalam penyebaran ilmu tauhid, perubahan rukun-rukun Kristian dan menulis sebahagian besar Perjanjian Baru.

Sebaliknya, Nabi Muhammad SAW bukan sahaja berperanan terhadap tauhidiah, penggarisan moral dan etika tetapi baginda seorang insan pembawa wahyu dan suri teladan sunnah bagi mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan. Berbanding Kristian, tiada suatu kumpulan yang terperinci yang boleh diketemui dalam ajaran Kristian sehingga hari ini. Seperti Al Quran begitu penting kepada umat Islam dan begitulah jua kitab Injil sama penting kepada penganut Nasrani. Dalam hal ini, Muhammad SAW merupakan pengantara Al Quran dan kalam tuhan yang dilihat sangat besar peranannya. Ini adalah kemungkinan bahawa pengaruh hubungan Muhammad SAW dengan Islam lebih besar daripada pengaruh gabungan Jesus dan St. Paul dengan Kristian. Di peringkat rohaniah, sebagaimana Jesus mempunyai peranannya begitu juga Muhammad SAW mempunyai pengaruh dalam sejarah manusia.

Lebih dari itu (berbanding dengan Jesus), Muhammad SAW bukan sekadar pemimpin agama tetapi pemimpin yang memandu menelusuri kehidupan di dunia. Fakta menunjukkan di sebalik kemaraan perluasan empayar-empayar Islam, bagindalah di belakang tabir sebagai pemimpin politik sepanjang zaman.

Dari banyak peristiwa sejarah penting, mungkin seseorang itu boleh mengatakan sesuatu kejadian itu boleh berlaku tanpa pemimpin politik yang khusus yang membantu mereka. Mengambil contoh keadaan yang berlaku di koloni Amerika Selatan umpamanya, warganya boleh mencapaikan kemerdekaan dari kekuasaan Sepanyol walaupun Simon Bolivar tidak pernah wujud di dunia. Tetapi keadaan ini tidak sama dalam sejarah penaklukan oleh bangsa Arab. Sesiapa pun tidak boleh menafikan peranan yang dimainkan Rasulullah SAW bagi mencapai kejayaan dalam pembinaan ketamadunan empayar Islam. Anologi ini boleh disamakan seperti yang berlaku di Monggol apabila Genghis Khan melakukan penaklukan secara besar-besaran pada abad ketiga belas. Walaupun penaklukan yang lebih luas dari apa yang dilakukan oleh orang Arab, namun ia tidak kekal selama-lamanya. Hari ini, terbukti hanya wilayah yang dihuni oleh bangsa Monggol adalah seperti yang didiami sebelum kemaraan Genghis Khan suatu ketika dahulu.

Ia jelas menunjukkan perbezaan ketara dengan apa yang dilakukan bangsa Arab dalam melebarkan sayap empayarnya. Dari Iraq hingga ke bumi Maghribi, ikatan antara bangsa Arab dilihat begitu utuh bukan sahaja dalam kepercayaan dalam beragama tetapi termasuk dalam bahasa, kebudayaan dan peradabannya. Kedudukan Al Quran sebagai pegangan kuat di kalangan umat Islam dan penulisannya di dalam bahasa Arab merupakan suatu kelebihan bagi memelihara bahasa ini daripada dibahagi-bahagi kepada dialek-dialek yang sukar difahami. Jika kemampuan bahasa Arab senang dipecah-belahkan, maka awal-awal lagi pada abad ke-13 sudah terjadi halangan yang menyukarkan pengembangan ketamadunan Islam. Memang benar, perbezaan dan perpecahan di antara negara-negara itu ada, namun perpecahan itu tidak bermakna elemen perpaduan di kalangan ummah sedunia akan terus lenyap untuk disatukan. Secara tamsilannya, negara Iran dan Indonesia di mana kedua-duanya merupakan negara Islam dan pengeluar minyak di dunia. Kedua-duanya tidak menyertai embargo minyak pada musim sejuk 1973-1974. Sebaliknya hanya negara-negara Arab yang mengambil langkah melarang eksport minyak.

Kita telah melihat pada abad ketujuh, empayar Islam terus memainkan peranan penting dalam sejarah peradaban dunia sehingga hari ini. Dari perspektif saya, ini adalah gabungan yang kuat antara agama dan kehidupan dunia, hasil dari pembinaan insan bernama Muhammad SAW, tokoh paling berpengaruh dalam sejarah peradaban manusia.


Friday, February 12, 2010

Ceramah Hijratul Rasul

Malam tadi, saya berkesempatan menghadiri program ceramah agama di Masjid Asy-Syakirin, Ipoh. Program ceramah yang dianjurkan masjid ini disampaikan Y.Bhg. Dato' Haji Sheikh Mohamah Nor b. Haji Mansor Al Hafiz, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak. 

'Hijratul Rasul' merupakan intipati tajuk ceramah ini yang sampaikan secara berkesan untuk ditadah ilmunya oleh para jamaah masjid dan muslimah yang hadir. Banyak yang tersirat dalam hijratul Rasul. Sebagai tokoh agung Islam, nama Rasulullah disebut selalu dalam solat, azan, tahlil, zikir, wirid, selawat, doa dan kehidupan dan ibadah seharian kita. 

Kupasan apa erti Islam diolah dengan baik oleh Dato' Sheikh iaitu asshariatun, aqidatun wa akhlaq iaitu Islam diterjemah sebagai syariah, aqidah dan akhlak. Kesempurnaan Iman dan Islam adalah apabila kita beriman dengan rukun-rukunnya. Jika salah satu daripada rukunnya kita tolak, iman kita tidak sempurna. 

Ucapan beliau kira-kira hampir sejam setengah menanggapi nilai-nilai ilmu dan falsafah yang berguna untuk dimanfaat oleh kami. Mengakhiri ceramahnya, Dato' Sheikh menekan betapa penting penyatuan umat Islam kini bagi membina suatu ummah yang berjaya sebagai sebuah negara Islam. Perpecahan umat Islam menjadi umat itu mundur dan membuka ruang bangsa-bangsa lain mengambil kesempatan ke atas diri kita. 

Model dalam hijratul Rasul iaitu penghijrahan baginda dari kota Makkah ke Madinah diambil hikmah tentang bagaimana Rasulullah SAW menyatukan puak yang berhijrah (Muhajirin) dengan penduduk di Madinah (Ansar). Kemudian dengan penyatuan umat Islam ini, Rasulullah menyatukan orang Islam dengan orang yang bukan Islam untuk hidup dengan aman, damai dan bekerjasama di antara satu sama lain. Tertegaknya penyatuan ini, maka tertegaklah sebuah negara (daulah) Islam yang kukuh berlandaskan syariat. Perkembangannya membawa agama Islam ke pelusuk dunia.  

Selepas ceramah, solat Isyak disafkan dengan beliau sendiri sebagai imam. Acara diteruskan dengan jamuan makan malam bersama.



Tuesday, January 5, 2010

Suara Mahasiswa Perlu Didengari

Sebentar tadi saya menyaksikan program Suara Siswa (TV1) yang dihoskan oleh Dr. Fazley Yaakob. Pada kali ini, Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ‘turun padang’ bersama-sama dengan mahasiswa di studio hari ini. Saya tertarik dengan pendekatan Y.B. Datuk Saifudin Abdullah dalam memacu kementeriannya hari ini. Beliau dilihat cendiakawan, bersifat terbuka dan optimis dalam membawa agenda perubahan pendidikan dan mahasiswa mutakhir ini.

Pemimpin seperti ini yang diperlukan hari ini dalam mengangkasakan pengajian tinggi dan mengerak kepimpinan mahasiswa ke lapangan yang berdaya saing. Seperti kata-kata beliau, tiga perkara yang diperlukan mahasiswa hari ini, suara mereka didengari, peranan mereka diiktiraf dan isu yang diketengah mereka ditangani.

Pembukaan tirai 2010 membawa Suara Siswa kepada tajuk ‘Politik Baru’. Diskusi ini segar dengan tiga panel - YDP Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), Muhamad Ridzuan Muhamad, YDP Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Syamsul Salleh dan YDP Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Murshidi Mohd Diah serta Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah sebagai pandangan sisi.

Program yang direncana ini perlu terus disuburkan bagi membentuk mahasiswa dengan perkongsian idea, penjanaan kreativiti dan pengolahan hujah secara ilmiah. Di samping itu orang ramai dapat mengikuti fikrah kepimpinan mahasiswa hari ini dengan isu yang dibawakan. Saya sedikit kecewa di hujung perbincangan yang bersifat intelektual ini apabila seorang pengacara perempuan Selamat Pagi Malaysia tiba-tiba muncul di  bagi menyanyikan  lagu. Pakaiannya tidak sesuai dan pementasan nyanyiannya juga kurang tepat di gelanggang bicara bersifat ilmiah ini. Aduhai..




Friday, December 18, 2009

Hijrah 1431



Hari ini umat Islam di seluruh dunia menyambut Ma'al Hijrah, hari kebesaran Islam dalam permulaan takwim Islam. Takwim hijrah ini mengambil iktibar sempena dalam sejarah Rasulullah SAW melakukan hijrah dari kota Makkah Al Mukarramah ke Madinah. Dalam hijrah agung ini terdapat banyak pengajaran dan panduan yang boleh diambil oleh kita sebagai ummah bagi membentuk sikap dengan mencontohi peribadi murni junjungan mulia Rasulullah SAW dan para sahabat.

Seperti yang disebut Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz dalam ceramahnya di Masjid An-Nur, Ulu Kinta baru-baru ini, iaitu tiga watak mukmin yang hebat kerana keyakinan dan keberaniannya dalam peristiwa Hijrah.
  • Yang pertama Abu Bakar As-Siddiq sebagai orang dewasa menemani Rasulullah SAW sepanjang penghijrahan dari bumi Makkah ke Yathrib (Madinah); 
  • Yang kedua Ali bin Abi Talib sebagai orang muda yang menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW ketika baginda dikepung pihak musuh di rumahnya dan 
  • Yang ketiga Asma sebagai orang perempuan yang menyediakan makanan dan khabar berita kepada Rasulullah SAW dan Abu Bakar sepanjang mereka bersembunyi. 
Tiga watak ini begitu besar perjuangan mereka dalam mengharungi cabaran dalam membantu hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Ia merupakan pengorbanan murni yang tidak dapat dinilai dengan wang dan harta. Hanya Allah SWT dapat menaungi mereka dengan ganjaran sebaik-baiknya.

Dalam kalangan kita hari ini masing-masing ada mempebaharui tekad, semangat dan azam di tahun baru ini. Tentunya azam ini membawa kepada transformasi dari kurang baik kepada baik atau yang baik kepada lebih baik lagi. Saya tak terkecuali bagi azam tahun ini yang antaranya mengekalkan pembudayaan membaca bagi meningkat ilmu untuk dunia dan ukhrawi, Insya-Allah. Takkan ku luntur nilai ilmu ini seperti yang ku garap sebelum ini.

Semoga tahun yang menyinari ini lebih bermakna buat diri kita, keluarga, masyarakat dan umat Islam seantero dunia. Juga, semoga semangat hijrah ini dapat dihayati falsafahnya. Selamat Tahun Baru 1431 Hijriah buat semua.

“Memantap ukhuwah, Memperkasa ummah”



Wednesday, November 25, 2009

Parlimen Dahulu, Parlimen Sekarang

Parlimen Dahulu, Parlimen Sekarang

 







oleh Prof. Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim  




Parlimen adalah tempat di mana rakyat, melalui wakilnya, merealisasikan hasrat mereka. Amalan dan tindakan Parlimen memperlihatkan sikap dan kecenderungan penduduk sesebuah negara. Sejarah Parlimen Malaysia yang sebenarnya telah bermula sebelum pembentukan Malaysia (pada 16 September 1963) kini berusia setengah abad. Pada 31 Ogos, Tanah Melayu muncul sebagai sebuah negara bangsa. 

Ia merupakan suatu gabungan sembilan buah kerajaan berdaulat dan Negeri-negeri Selat yang dari tahun 1867-1957 (kecuali waktu Perang Dunia Kedua) merupakan Tanah Jajahan British. Sistem politik yang dipilih rakyatnya pada tahun 1957 adalah Demokrasi Berparlimen. Justeru sistem pemerintahannya terdiri daripada tiga bahagian yang berasingan: Kehakiman, Perundangan dan Eksekutif.  
Bukan hanya negara yang mempunyai Perlembagaan, setiap negeri juga mempunyai Perlembagaan. Sistem politik dan pemerintahan harus berjalan berasaskan Perlembagaan. Memang ramai tidak faham apa itu Perlembagaan. Secara ringkas, Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara. Undang-undang lain yang bertentangan dengan Perlembagaan adalah tidak sah. Secara umumnya Perlembagaan memang dapat dipinda dengan majoriti dua pertiga tetapi dalam Perlembagaan Malaysia ada fasal-fasal tertentu yang hanya dapat dipinda dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Amat jelas bahawa sepanjang 1970-an Parlimen bukan hanya sibuk dengan isu mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang melibatkan kepentingan kaum Melayu dan kaum bukan Melayu, ia tidak memberi penjelasan tentang kedudukan orang Melayu dan golongan bumiputera kepada orang ramai. Undang-undang yang diluluskan membezakan di antara orang Melayu dengan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak tetapi pada suatu ketika orang Melayu di Semenanjung biasanya merujuk kepada diri sendiri sebagai kaum bumiputera.  Sepanjang 1970-an, akibat rusuhan 1969, isu-isu yang dianggap sensitif tidak dapat dibincangkan oleh orang ramai. 

Walau pun wakil rakyat diberi kebebasan di Parlimen untuk membangkitkan hal-hal yang membabitkan kepentingan orang ramai, mereka lebih berhati-hati daripada dahulu. Di samping itu orang ramai diingatkan bahawa DEB bukan bertujuan memberi segala-galanya kepada orang Melayu. Strateginya ialah negara mesti meluaskan kekayaannya dan bahagian tambahan itu sahaja, dan bukan keseluruhannya, akan diberikan kepada orang Melayu.  

Keadaan berubah dengan agak drastik pada awal 1980-an apabila Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) muncul sebagai Perdana Menteri. Beliau mentafsirkan DEB dengan cara yang tersendiri. Bagi beliau usahawan seharusnya diberi bantuan oleh pihak pemerintah agar mereka dapat mencapai keuntungan yang maksimum. Dr. Mahathir juga pemimpin yang tidak bertoleransi dengan pengiring yang tidak mempunyai cita-cita tinggi. Pada masa beliau menjadi Perdana Menteri, DEB digunakan untuk menolong usahawan Melayu mencapai kejayaan yang luar biasa.  

Walau pun kedudukan Barisan Nasional dan UMNO tidak menghadapi sebarang masalah di Parlimen, pada zaman Dr. Mahathir, kedudukan UMNO bukanlah begitu tenang. Timbalannya berubah beberapa kali. Dalam jangka masa dua dekad Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, empat orang telah menjadi Timbalannya. Kemudian tiba-tiba Dr. Mahathir berundur untuk membolehkan Abdullah Badawi (kini Tun) menggantikannya.

Perdana Menteri baru berjanji akan memperkenalkan beberapa perubahan yang akan mempertingkatkan taraf hidup rakyat. Satu cara untuk memajukan negara ialah dengan menitikberatkan Islam Hadari - Islam yang adil pada semua dengan menitikberatkan agama itu sebagai mana terdapat pada kitab al-Quran. Beliau juga minta rakyat jangan berkhidmat untuk beliau tetapi bersama beliau. Walau pun sikap Abdullah Badawi diterima baik oleh rakyat, dari segi pelaksanaannya, parti pemerintah dan juga pegawai tadbir tidak berjaya meyakinkan rakyat.  

Ahli Parlimen pada zaman akhir-akhir ini jauh berbeza dengan mereka yang sampai ke Parlimen pada 1960-an dan 1970-an. Pada zaman dahulu Ahli Parlimen berbahas berasaskan gagasan dan undang-undang. Akhir-akhir ini, Ahli Parlimen lebih suka berlakon dan di antara mereka ini majoriti suka menjadi pelawak. Kadang-kadang ada juga yang tidak segan menggunakan bahasa yang tidak senonoh. Justeru rakyat mulai memandang negatif terhadap Ahli Parlimen. Ketidakpuasan hati mereka jelas ternampak bila prestasi Barisan Nasional merosot dengan jelas pada Pilihan Raya Umum 2008 dan juga selanjutnya bila Basrisan Nasional kalah di beberapa pilihan raya kecil.

Dalam jangka masa lebih kurang 25 tahun kebelakangan ini, Parlimen Malaysia tidak memperlihatkan bahawa ia semakin matang. Mutu perbahasan jelas tidak membuktikan peningkatan yang dapat menenangkan hati rakyat. Ada suatu ketika dicadangkan oleh sesetengah pihak bahawa mesyuarat Parlimen sepatutnya ditayangkan secara langsung. Tetapi ini tidak dilaksanakan kerana ramai khuatir perangai Ahli Parlimen yang tidak senonoh itu nanti akan memberi kesan negatif kepada golongan muda di Malaysia. Kini Parlimen sudah sampai ke suatu peringkat yang sangat genting. 

Pengumuman tentang konsep 1Malaysia memang dialu-alukan oleh mereka yang sayangkan Malaysia dan mahu melihat Malaysia muncul kembali sebagai sebuah negara yang dapat bersaing di peringkat antarabangsa dalam bidang ekonomi, pendidikan, pembangunan dan sukan. Tetapi prestasi Ahli Parlimen zaman sekarang tidak memperlihatkan kecemerlangan yang rakyat harapkan. Yang lebih membimbangkan ialah wakil rakyat tidak dapat membuktikan bahawa mereka memahami undang-undang maka mereka seolah-olah tidak sanggup patuh kepada prinsip-prinsip Rukunegara: "Keluhuran Perlembagaan" dan "Kedaulatan Undang-undang". 

Ternampak seolah-oleh mereka lebih mementingkan agenda diri sendiri daripada agenda rakyat. Malaysia ada satu matlamat lagi yang seharusnya dikejar: Wawasan 2020, iaitu Malaysia sepatutnya sampai ke status negara maju pada tahun itu. Untuk mencapai sasaran itu negara memerlukan pemimpin-pemimpin yang serius, berkebolehan dan penuh dengan integriti.  

Wakil rakyat memang pemimpin yang sangat penting dalam sesebuah negara. Merekalah yang dipilih oleh rakyat untuk menjalankan pemerintahan maka rakyat menaruh harapan sepenuhnya kepada mereka. Parlimen adalah tempat di mana prestasi mereka secara terus menerus diuji.  


sumber: Utusan Malaysia



Sunday, June 7, 2009

Lebuhraya yang Sesak

Di saat musim cuti sekolah meyaksikan lebuhraya agak penuh dengan kenderaan. Keadaan makin terasa apabila kemuncaknya pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad yang kebanyakan keluarga merancang percutian mereka. Masa-masa ini yang dinantikan sementelahan anak-anak cuti sekolah. Saya yang baru balik dari KL baru-baru ini turut merasa bahangnya apabila jalan agak sesak menuju ke utara. Tetapi tiadalah kesalahan ibu bapa kerana jika masa-masa ini diluang untuk bersama keluarga saat cuti pertengahan penggal 2009 bermula. Cuma keutamaan lebih tertumpu kepada ibu dan bapa / pemandu dalam merancang perjalanan dan berhemah di jalan raya. Lebuh raya dilihat genting pada musim-musim puncak. 

Jika alasan kerja-kerja pelebaran jalan mengambil kos, jumlah tenaga dan masa yang tinggi, ada baiknya kebijaksanaan PLUS untuk membesar kawasan R&R sedia ada di beberapa tempat, dan bukanlah kos kecantikan landskap menjadi ukuran ketika ini. Saya berpandangan tempat makan perlu diperbesarkan bagi menampung dari masa ke semasa pengguna lebuhraya yang berhenti untuk makan & minum setelah penat menekan pedal minyak kereta dan waktu untuk berehat diperlukan. Makanan & minuman di kedai mencukupi, cuma meja dan kerusi terasa sukar di masa-masa kemuncak cuti. Kawasan R&R dan Hentian Sebelah juga perlu dinaik taraf kemudahannya - tempat parking yang beregonomik, ruang solat, tandas, kerusi dan meja seumpamanya. Jika tiada tindakan yang bijak dari PLUS sekarang, 2-3 tahun lagi menyaksikan kerumitan pengguna di lebuhraya tersebut. 

Cuti persekolahan, cuti perayaan dan cuti am yang jatuh pada hujung minggu merupakan waktu kenderaan bertambah di lebuhraya. Lebih kurang 3 bulan lagi, kita akan meyambut Hari Raya, maka apa kebijaksanaan PLUS dan rakyat Malaysia dalam menghadapi waktu itu.



Saturday, March 7, 2009

PABM 2009 Mengangkat Bahasa Melayu ke Antarabangsa


Pada Sabtu malam, 6 Mac 2009, dewan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya 'bergegar' dengan dengan pemidato-pemidato yang hebat membahaskan hujah, idea dan kupasan semasa dalam berbahasa Melayu. Terasa seolah-olah bahasa Melayu tinggi nilainya, apabila ayunan suara berkumandang disaksikan dari tempat duduk dewan dan diperdengarkan secara langsung melalui medium internet dan layar televisyen kepada jutaan manusia. 

Terasa juga bahasa Melayu begitu tinggi nilainya apabila peserta-peserta dari luar negara sibuk mempelajari bahasa sewaktu masa dahulu dan kini memperdengarkan tutur lidahnya dalam bahasa Melayu di Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri 2009 (PABM 2009). Bermula seramai 45 jumlahnya peserta dari 40 negara mengambil bahagian yang bermula pada 3 Mac lalu membahaskan satu daripada 10 buah tajuk yang disediakan adalah bersifat tempatan dan sejagat. 

Kemuncaknya, malam itu merupakan peringkat akhir PABM 2009 mengetengahkan pertandingan bagi Kategori Nusantara diwakili dari negara Malaysia, Brunei, Indonesia; dan Kategori Antarabangsa diwakili Kemboja, China, Australia, Belanda dan Rusia. (Nusantara di menangi Malaysia, Antarabangsa dimenangi Kemboja). Walaupun pemidato Kategori Antarabangsa masih ada sedikit dialek tempat tumpah tanah air mereka namun PABM 2009 yang dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sekurang-kurangnya mengangkat bahasa Melayu ke persada antarabangsa. 

Rupa-rupanya di luar sana terdapat ratusan buah institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian bahasa Melayu di 40 buah negara di seluruh dunia. Negara-negara tersebut ialah Amerika Syarikat, Argentina, Jepun, China, Korea Selatan, Australia, New Zealand, United Kingdom, Jerman, Belanda, Perancis, Rusia, Kazakhstan, Georgia, Ukraine, Romania, Poland, Uzbekistan, Azerbaijan, Tajikistan, Bosnia Herzegovina, Albania, Yaman, Mesir, Iran, Afghanistan, Pakistan, India, Sri Lanka, Nigeria, Sudan, Somalia, Kemboja, Myanmar dan Vietnam. Begitu sungguh mereka mempelajari bahasa kita, begitupun kita juga malu jika maruah bahasa Melayu tidak dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan/pengantaraan di negara ini. 

Jika dicerminkan ke belakang apabila Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 banyak makna dan sumbangannya. Ia menjadi batu asas dalam menekan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan dan merangka hala tuju Dasar Pendidikan Negara hari ini. Sebenarnya bahasa Melayu kaya dengan nilainya. Manakan tidak sejak turun-temurun bahasa Melayu diaplikasi dalam pemerintahan kesultanan, perdagangan, pengajian, pengutusan warkah dan pengantar dalam masyarakat di Tanah Melayu sehingga ke Nusantara. Ia diguna meluas dalam adat-istiadat, istana, upacara perkahwinan, majlis formal dan tidak formal sehingga penulisan dan kesusasteraan. 

Sungguh kaya bahasanya. Nahunya mudah dipelajari. Bahasanya nan indah memikat hati. Hasilnya terserlahlah pengkayaan ke bentuk jawi, gurindam, lagu, sajak, syair, pantun, peribahasa yang maka memperhebatkan lagi keterampilannya.  

Suatu ketika dahulu di dalam kelas, seorang cikgu tuisyen saya pernah memberitahu kepada kami bahawa bahasa terbaik di dunia ialah bahasa Arab, kemudiannya bahasa Melayu dan selepasnya itu barulah bahasa Inggeris. Saya cuba memikir dan mentafsir kata-katanya semula.



  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA