Showing posts with label s | t | i. Show all posts
Showing posts with label s | t | i. Show all posts

Tuesday, April 24, 2012

Gangguan Sistem Perpustakaan UUM


Ketika saya sampai di perpustakaan UUM, saya tidak dapat menggunakan sistem pemulangan buku seperti kelaziman. Hari ini (Selasa) sistem yang digunakan adalah sistem manual dan saya harus menunggu lebih sedikit untuk memulangkan buku-buku saya. Kawan saya, Ariz turut mengeluh apabila buku-buku yang dipulang sudah tamat tempohnya sukar dijejaki apabila sistem 'down', lebih-lebih lagi buku yang dpinjam agak banyak kali ini. Melalui sistem manual, kami perlu beratur di kaunter. Di kaunter, kami akan menulis nama, kad pengenalan, no. perolehan, no. telefon, tarikh dan tandatangan di atas sekeping kertas. Apabila saya datang semula ke kaunter untuk urusan peminjaman buku, saya perlu menulis nama, kad pengenalan, nama buku, no. perolehan, no. panggilan, tarikh dan tandatangan di atas sekeping kertas. Begitulah proses rutin yang dilakukan para pelajar lain untuk memulang dan meminjam buku dalam beberapa hari ini.

Sistem digital pinjaman dan pemulangan buku di perpustakaan UUM menggunakan konsep teknologi RFID. RFID ialah teknologi pintar yang mengenalpasti objek untuk mengesan, menyimpan dan memproses data objek. Ia merupakan penggunaan teknologi terkini seperti yang difasilitet di perpustakaan-perpustakaan IPTA Malaysia.  Sayangnya ia langsung sama sekali tidak boleh dimanfaatkan kerana sistem mengalami gangguan kerosakan sejak Rabu lepas.

Melalui sistem digital pinjaman buku perpustakaan UUM (layan diri/self check), para peminjam akan imbas kad matriks pada sistem dan masukkan kata laluan pada skrin sentuh. Kemudian peminjam akan meletakkan buku pada 'tray' untuk imbas buku yang dipinjam. (Pada buku ia telah dipasang tag RFID)  Apabila imbasan buku sudah berjaya, sistem akan mengeluarkan slip yang menerakan no. resit, nama peminjam, maklumat buku, tarikh, waktu dan tempoh peminjaman.

Manakala bagi sistem digital pemulangan buku perpustakaan UUM, peminjam akan imbas kad matriks dan pintu buku pada sistem akan terbuka, bersedia untuk 'menelan' buku oleh peminjam (book drop). Sistem akan tamat apabila pengguna menekan butang resit pada skrin sentuh sebagai tanda tiada buku lagi mahu dipulangkan. Jika ada buku terlebih masa dipulangkan, sistem akan mengesan dan mempamerkan denda yang dikenakan pada resit tersebut. Seterusnya peminjam akan membawa resit ke kaunter untuk menjelaskan jumlah bayaran denda yang dikenakan. Ini kerana bayaran denda yang belum dijelaskan akan menafikan (senarai hitam) para pembaca untuk meminjam buku-buku baru.

Pada pandangan saya, secanggih mana peranti atau teknologi yang diasosiasi dan direalisasikan, kelemahannya tetap wujud. Berlakunya gangguan atau kerosakan pada sistem, ia terus melumpuhkan perjalanan operasi perbukuan pinjam dan pulang seperti kes tadi.  Sistem ialah suatu proses dan kekangan tetap ada disebabkan persekitarannya. Seandainya sistem yang tersebut lambat diperbetulkan, ia  mencipta kerja-kerja tunggakan baru kepada staf-staf perpustakaan. Akibatnya staf-staf perpustakaan UUM terpaksa berkerja lebih untuk mengkod semula segala maklumat peminjam dan rekod-rekod buku dari manual ke dalam sistem apabila operasi sistem kembali pulih. Manakala para pelajar mungkin akan berkerenah untuk menulis, memaut beban buku dan beratur panjang menunggu di kaunter!



Sunday, April 8, 2012

Sistem Giliran di Skrin Sentuh




Mengambil giliran di bank tidak semacam dulu di mana kita beratur memanjang mengikut kaunter.  Untuk cepat, kita beratur pada kaunter yang paling sedikit orang bagi mendapat perkhidmatannya. Ia seperti yang dipraktikkan kita sekarang di pasar raya di mana kita mencari baris-baris kosong bagi membuat pembayaran ke atas barangan kita.

Kemudian sistem giliran di bank diperbaiki. Para pelanggan akan beratur tetapi dalam satu had sempadan. Orang pertama pada had sempadan itu akan dilayan dahulu melalui kaunter mana yang kosong.  Jika kaunter yang lain kosong, orang kedua pula akan pergi ke kaunter yang kosong itu dan begitu orang ketiga, keempat dan seterusnya mengikut kaunter-kaunter kosong. Sistem giliran ini lebih adil, cumanya kekurangan yang ada ialah pelanggan tidak dapat duduk kerana terpaksa beratur.

Sistem giliran kemudian diperkemaskinikan. Ia menggunakan sistem nombor dan mesin nombor mula diperkenalkan di bank dan pusat-pusat perkhidmatan. Kaedah ini memerlukan pelanggan menekan nombor pada mesin tersebut dan slip nombor akan keluar menerakan nombor giliran kita. Apabila banyak servis yang disediakan oleh satu-satu bank tersebut, butang-butang mesin ditambah bilangannya mengikut kategori pekhidmatan yang disediakan. Para pelanggan akan dipanggil gilirannya melalui suara berkomputer atau tanda bunyi seperti tertera pada skrin pandangan di dinding bank. Sistem giliran mesin nombor banyak digunakan hari ini seperti di pejabat pos, TNB, kaunter pembayaran bil air dan pejabat-pejabat kerajaan. Dalam pengenalan sistem giliran bermesin, para pelanggan dapat duduk tanpa berdiri lama untuk beratur.

Hari ini sistem giliran diperhebatkan. Konsep skrin sentuh sudah mula menggantikan sistem giliran mesin. Dengan satu sentuhan sahaja, kita sudah mendaftar untuk mendapat giliran kita. Trend ini seiring hegemoni teknologi di arus perdana. Dari skrin sentuh kiosk maklumat di pejabat kerajaan sehinggalah skrin sentuh parking kenderaan, aplikasi skrin sentuh diperluaskan serata tempat. Konsep aplikasi skrin sentuh boleh dikatakan dirintis melalui  mesin ATM (Auto Teller Machine). Mesin ATM mempunyai skrin, antara muka, menu dan butang menu selain bahagian pengeluaran wang dan slip. Seperti mana mesin ATM mempunyai antara muka menu dan tempat pengeluaran slip, maka seperti mana skrin sentuh mempunyai antara muka menu dan tempat pengeluaran slip nombor. Bezanya cuma butang menu mesin digantikan skrin input yang mana pada skrinnya dikemaskinikan dengan sensor elektronik bagi membolehkan interaksi sentuhan jari dengan skrin dijanakan.

Bank EON (kini Bank Hong Leong) telah menggunakan sentuhan pada skrin. Dari sentuhan skrin, slip nombor dikeluarkan. Di Bank Islam, aplikasi sentuhan pada skrin mencetakkan nombor giliran. Bagi warga emas pula, mereka hanya memasukkan kad pengenalan pada sistem. Layanan yang cepat akan diberi kepada mereka yang berumur oleh perkhidmatan bank tersebut. Begitu juga konsep aplikasi skrin sentuh dilihat dominan dipraktikkan di syarikat-syarikat telekomunikasi.

Tatkala saya berurusan di takaful Etiqa, saya perlu mendaftar diri di sistem giliran skrin sentuh untuk mendapat giliran saya. Saya memasukkan kad pengenalan dan sistem akan membaca maklumat identiti saya. Skrin akan mempamerkan jenis menu pelanggan dan saya memilih urusan yang diingini. Seterusnya  nombor giliran saya dipamerkan pada skrin dan saya perlu mengingatinya. Kemudian saya mengeluarkan kad pengenalan dari sistem dan menunggu di ruang duduk. Pada skrin pandangan giliran di dinding, pelanggan boleh melihat nama dan nombor semasa mereka yang sedang berurusan di kaunter. Pada susunan jujukan giliran, pelanggan dapat mengetahui dia di bawah pelanggan siapa. Apabila masa giliran saya tiba, suatu nada dibunyikan dan  saya lihat abjad nama dan nombor kaunter saya sudah tertera di skrin pandangan. Rumusannya, tiada slip kertas dikeluarkan untuk giliran! Hatta tiada kertas-kertas penuh di meja kaunter. Kaunternya kemas, tersusun bersih. Takaful Etiqa telah mengorak langkah meminimakan penggunaan kertas (paperless).

Saya tidak pasti pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang di luar sana (baca: yang tidak terdedah dengan dunia IT)  mampu menggunakan khidmat skrin sentuh yang difasilitet di bank-bank atau pusat-pusat perkhidmatan. Sistem giliran di skrin sentuh sebenarnya suatu yang asas sebelum kita pergi jauh bagi penggunaan peranti PDA, telefon pintar, komputer tablet, GPS atau apa seumpama dengannya yang sedang berkembang dalam masyarakat kita. Skrin sentuh ialah hasil produk interaktif. Rogers, Sharp & Preece (2002) mentakrifkan  produk interaktif ialah mengenai semua kelas sistem yang interaktif, persekitaran, peralatan, aplikasi dan peranti.[1] 

Interaksi manusia dengan mesin memerlukan mesin itu mesra pengguna agar pengguna dapat menerima kemudahan dengan sebaiknya tanpa menyusahkan. Sekiranya mesin atau peranti itu menyukarkan pengguna, maka ia mempunyai desain yang rendah (poor design). Malah jika skrin sentuh mempunyai fungsi yang mengelirukan, peranan skrin sentuh sebagai peranti interaksi antara manusia dengan mesin telah sama sekali gagal dalam memenuhi penyampaian dan hubungan pengguna↔mesin walaupun harganya beratus-ratus ribu. 




1. Preece, J., Rogers, Y., & Sharp, H. 2002. Interaction design: Beyond human-computer interaction. New York: John Wiley & Sons, Inc.



Monday, May 31, 2010

Majalah PC Mei 2010 dan Cerita Sewaktu dengannya

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh39enp91O0dviXuLnv2mt80AnuhkX9nFr4kVsNSDXROV-kfvPlmRJI_MCbzilw8SV_EzjSAxxxQYlV1YYIwFUmrnV0a5ATE4aJJ5Pt52JOtiDVNQX4sIP1j5R3OT5IXi_YmnfP5UR4yjoE/s1600/Majalah+PC+Mei+2010+%23161.jpg  
Majalah PC Mei 2010 (#161)  

Majalah PC keluaran Mei 2010 (#161) bertemakan Windows 7. Jika dilihat pada kulit muka majalah tersebut, grafik bernombor tujuh mewakili sistem pengoperasian (OS) Windows 7. Begitulah majalah yang dikeluarkan oleh Karangkraf yang selalu sahaja dengan perhiasan grafik dan warna-warni pada muka dan halamannya. Saya mendapatkan majalah ini ketika kebetulan tahun ini komputer saya telah memasang windows 7 setelah lama dengan Windows XP. 
 
Oleh kerana ada beberapa masalah teknikal pada sistem pengoperasian dan perlu diformat balik, maka OS digantikan baru dengan Windows 7. Apabila bersama dengan Windows 7 ternyata banyak kelainan dan pembaharuan syarikat Microsoft lakukan pada antaramukanya. Ia kelihatan cantik, lebih interaktif, capaian mudah-mesra dan banyak efek memberi nilai tambah kepada penggunanya. Windows 7 telah dilancar pada 22 Oktober 2009 dengan enam edisi utama:
  • Starter
  • Home Basic
  • Home Premium
  • Professional
  • Enterprise
  • Ultimate

Antaramuka Windows 7

Saya mendapatkan Home Basic pada harga RM289 di sebuah kedai komputer. Pada mulanya ia kelihatan agak berat dengan perkakasan saya. Walaupun dilarikan di atas Intel Core (2) Duo, RAM 1GB yang ada pada motherboard masih belum memadai. Tambahan pula kerja-kerja saya dalam bidang design + multimedia memerlukan sokongan RAM yang lebih besar. Bagi mengisi slot kosong pada motherboard, RAM 512MB saya pinjam dari adik saya (yang dia tidak pakai buat sementara ini). Manakala pendrive saya, boleh dijadikan sebagai RAM pada slot USB.

Windows 7 seperti juga Vista memudahkan penggunanya menambahkan RAM tambahan pada komputernya dengan menjadikan pendrive / peranti storan sebagai RAM. Proses ini dinamakan ReadyBoost. Untuk pemprosesan yang lebih efisien dengan RAM yang tidak begitu tinggi, ada beberapa perkara yang saya perlu lakukan pada Windows ini, umpamanya menidakkan banyak perkara pada Visual Effect di System Properties, memadam aplikasi pada Startup, mengenepikan Search Index, mematikan Sound Systems, meninggalkan servis panel yang tidak perlu, meniadakan Thumbnail Preview pada Folder Options dan memanfaatkan maklumat yang berguna dari laman web untuk tip pembersihan storan, kelajuan aplikasi dan browser bagi melicinkan Windows 7 performance.

Sebenarnya tidak banyak cerita kali ini mengenai Windows 7 pada majalah Mei 2010. Fokus Windows 7 bertumpu kepada tiga subjek utama iaitu “Soalan Lazim Windows 7” , “Kenali Windows 7 secara Visual” dan “Perisian Percuma Untuk Melengkapi Windows 7” yang saya rasa boleh diperhebatkan lagi maklumatnya. Tentu berlegar di fikiran kita tentang mengapa dinamakan Windows 7, kenapa tidak dengan nama Windows lain? Melalui penulisan majalah tersebut seperti yang diperkatakan dalam beberapa tapak web di ruang siber menyatakan turutan peristiwa Windows sebegini:
  • Windows 1 (Windows 1)
  • Windows 2 (Windows 2)
  • Windows 3 (Windows 3, Windows NT) 
  • Windows 4 (Windows 95, Windows 98, Windows 98 SE, Windows ME) 
  • Windows 5 (Windows 2000, Windows XP) 
  • Windows 6 (Windows Vista) 
  • Windows 7 (Windows 7) 
Untuk versi Windows 8, khabarnya akan diluncurkan pada tahun 2012.

Majalah PC beredar di pasaran setiap bulan. Ia merupakan sumber ilmu perkomputeran dan dunia digital semasa. Majalah ini saya kumpul ketika saya di peringkat pengajian Diploma lagi. Sepanjang bersama majalah ini ada masanya ia bertukar tangan dengan rakan-rakan yang ingin menjadi pembacanya lebih-lebih lagi bidang kami ceburi dalam jurusan IT. Saya juga melalui waktu di mana pengkoleksian ini agak terhenti apabila tamat pengajian di IPT. Sesekali saya mendapatnya juga di pasaran atau mengikutinya melalui perpustakaan dan pinjaman dari kawan-kawan. 

Apa yang membanggakan pada nilai majalah ini, adalah kerana ia sesuatu yang berani untuk terus kekal dalam bahasa Melayu dan kelangsungannya dianggap baik tanpa jemu mendidik / memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai ICT. Jika tidak silap, Majalah PC ini telah bertapak pada pertengahan 90-an dan ia segar dengan pelbagai bahan tajuk. Oleh kerana ia tidak tertumpu pada pengguna Windows sahaja, paparannya turut mencerminkan bagi pengguna OS Unix, Linux, Ubuntu dan memasukkan pelbagai kategori perisian dan perkakasan. Cumanya saya berharap ada artikel atau rencana panjang mengenai asosiasi ICT, industri animasi, aspirasi inovasi yang ditulis oleh pakar / wartawan / aktivis IT yang boleh dimasukkan setiap bulan selain penumpuan pada berita IT pada waktu ini. 

Apabila namanya majalah, banyak informasi yang boleh diketengahkan seperti mana dengan majalah-majalah lain yang tidak habis dengan keilmiahannya. Kerana teknologi itu suatu pembaharuan yang membawa banyak impak kepada trend, sosial masyarakat dan di pelbagai lapangan, maka ketuntasan penulisannya pula didahagai.



  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA