Saturday, May 4, 2013

Undi Kita Menentu Hala Tuju Malaysia Tercinta

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgOSiG362kEsmtrsHfXKZmfkgrECYVhzc1sRp7onL5Pn4-Qo7Waf15bgFDdizHbWbYutLcVUdedq12FaBl_GoGzQlgRHFrxMT4AGJMuSp_rWz_OFlM0oeM37LDYE59GKk6NJO1JMo0hX6I4/s1600/Sayangi+Malaysia.jpg

Ada orang yang kurang senang apabila kita bercakap soal politik. Katanya politik itu kotor. Jadi dia menjauhi dan lalu tiada kepedulian yang dipertimbangkan terhadap politik negara. Ya, memang tidak dinafikan politik itu kotor apabila sesetengah pihak mengotorkan minda kita dengan bahan-bahan yang 'kotor'. Kita akhirnya dijumud dengan yang kotor-kotor, tanpa cuba membuka, mendekati dan memahami apa sebenarnya kewarasan berpolitik. Sebenarnya kesedaran politik itu ada nilai tambahnya. Dari kesedaran politik kita sebenarnya mampu memahami perkembangan isu semasa, pelegaran berita yang dibawa, termasuk pelbagai bidang ekonomi, sosial, agama dan sebagainya. Kesedaran ini mempertimbangkan kita untuk mengenal yang mana baik dan yang mana buruk. Politik itu mematangkan diri kita untuk bersikap kritikal dan kreatif terhadap sesuatu isu. Ia punyai potensi mencerdikkan kita dalam membuat keputusan.

Esok, Ahad 5 Mei 2013 adalah hari penting buat setiap warga Malaysia. Ia adalah saat penentu kita dalam membuat keputusan bagi menentu hala tuju negara tercinta. Kemerdekaan kita di tanah air selama 55 tahun direnungi semula. Pertanyaan boleh disoal sebegini:
  • Apakah kita sudah benar-benar bebas,  berekspresi dan bersuara atau terus disekat dan dicengkam? 
  • Apakah kita terus berasa selamat, aman dan tenteram atau sebaliknya dibayangi dengan kecurigaan dan ketakutan? 
  • Apakah Malaysia mempunyai nilai kesopanan dan budaya tinggi atau dihambur setiap hari dengan kata-mengata, fitnah dan lucah berleluasa. 
  • Apakah media-media  arus perdana terus menjadi medium didikan rakyat dan adil menyampai berita atau berat sebelah peranannya sebagai mata dan telinga masyarakat.
  • Apakah isi rumah kita mempunyai kuasa berbelanja dan membeli atau dikekang dengan kewangan dan gaji yang terbatas. 
  • Apakah kita sentiasa berasa sesuai dengan pendapatan dari kerjaya dan tanggungan yang ada atau dibeban dengan kos pendidikan, pengangkutan, harga barang, makanan, sara hidup, hutang yang melambung.
  • Apakah perpaduan bangsa yang dibina zaman berzaman terus kekal atau terhakis dengan politik sempit dan perkauman yang menebal. 
  • Apakah kita berasa selesa dengan kemudahan disediakan atau kita dihimpit dengan kekurangan daya prasarana yang mesra. 
  • Apakah benar agama Islam sebagai agama rasmi sudah syumul dipraktikkan atau pemerintah memilih bulu meletak Islam ikut tempat.
  • Apakah betul prestasi Malaysia boleh dibanggakan berbanding indeks rasuah dan korupsi masih tinggi dan kedudukan defisit kewangan negara terus melonjak dari tahun ke tahun.
Justeru itu, demi mengembalikan Malaysia bermaruah dan berkehadapan, kita perlu percaya diri, yakin dan berani membuat keputusan yang bijak dalam menuntut suatu perubahan. Undi kita 5 Mei ini adalah penentu segala-galanya bagi mendapat sebuah negara yang lebih baik, berkebajikan, berkepimpinan yang wibawa  dan martabat Islam terus diungguli. Sayangilah Malaysia untuk masa depan kita dan anak-anak! :)


| cetusan Faisal |


No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA