Wednesday, January 21, 2009

Khabarnya Audicity of Hope diterjemahkan kepada bahasa Melayu

Difahamkan buku Audacity of Hope diterjemahkan kepada bahasa Melayu oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia. Buku ini dikarang oleh Barack Hussein Obama yang diangkat baru-baru ini menjadi Presiden Amerika Syarikat. Beliau mempunyai satu lagi karya, Dreams from My Father yang ditulis pada tahun 1997. Kalau di Indonesia, buku-buku ini sudah lama diterjemahkan kerana Indonesia memang hebat dan cepat kepada penterjemahan buku-buku luar negara. 

Ketika siri kempen Obama dipergiatkan bagi kerusi jawatan Presiden Amerika penggal 2009, buku-buku beliau ini laris dibeli orang ramai. Lewat tengah malam semalam, saya yang baru tiba di Perak dari Kuala Lumpur sempat sejenak bersama keluarga menonton lintas langsung upacara majlis proklaramasi Obama sebagai presiden baru Amerika serta Wacana Khas di TV1 mengenai Presiden Amerika Syarikat yang dipengerusi oleh sdr. Syed Munawar. Masyarakat dunia menyanjung Obama sebagai Presiden baru Amerika. Tidak kurang juga bersikap skeptikal terhadap beliau. Masing-masing mempunyai hujah diutarakan. Polemik beliau yang asalnya seorang senator Illinois untuk bertanding jawatan presiden mendapat tempat di dada akhbar, blog, you tube, tv sehingga ke meja kopi. 

Apa pun kali ini, pemilihan jawatan presiden negara tersebut agak luar biasa - kejayaan seorang berbangsa kulit hitam menjadi Presiden ke-44 dalam sejarah panjang negara selama 233 tahun. Dalam Wacana tersebut antara yang mencuri perhatian adalah Obama melalui 3 alamnya - berketurunan keluarga di negara Kenya, dibesar di negara Indonesia dan menjadi Presiden di negara Amerika. Dari perspektif Islam, melihat sejarah Obama, ketika kecil beliau diasuh dalam suasana Islam. Beliau mendapat tempat dalam sistem pendidikan agama di Indonesia sebagai sebuah negara Islam. Bapanya seorang muslim. Bapa tirinya juga seorang muslim. Dikatakan, ibunya menekan akan nilai-nilai murni dalam keluarganya. Jika suasana keindahan Islam dan toleransi digarap dalam dirinya, ada kemungkinan hubungan baik dipraktikkan dalam pentadbiran beliau dengan dunia Islam. 

Seandainya Obama ikhlas dan radikal terhadap perubahan & pembaharuan, beberapa cabaran menunggu beliau kerana pentadbiran, dasar luar, ekonomi sehingga ke bidang libur sekali pun dikuasai dibelakangnya oleh Yahudi dan mungkin mendepani beberapa golongan berkepentingan. Sebagai pemimpin kuasa besar diharapkan beliau dapat menaja keamanan, membawa suatu impak perubahan yang positif dan semoga isu/konflik Palestin dapat ditangani dengan bijak yang membawa sinar baru kepada rakyat di Palestin. Masyarakat dunia memerhati beliau!  

Berbalik kepada buku-bukunya, sama ada diterjemah atau tidak, buku adalah buku. Di Dalamnya terkandung banyak persoalan untuk dirungkaikan. Yang pasti, ada banyak buku-buku diterbit mengenai beliau ketika ini ditulis seramai mungkin mereka bergelar penulis dan jurnalis. Ketika ini saya sedang menelaah sebuah buku bertajuk Obama - Antara Islam, Israel & Amerika (Taufik Rahman, 2009).

No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA