Judul: Muhammad S.A.W. , Insan Teladan Sepanjang Zaman - Kisah Hidup Nabi serta Peperangan di Zamannya
Pengarang: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Penerbit: Anbakri Publika
Tahun Terbitan: 2008
ISBN: 978-983-43748-6-0
Genre: ketokohan, biografi, sirah, Islam
Cerita-cerita dakwah baginda kepada raja-raja dan para pemerintah negeri menarik lagi perhatian untuk membacanya. Peribadi Rasulullah sungguh agung sebagai utusan Allah ke seluruh manusia. Kata-katanya penuh manfaat dan bijaksana. Akhlak baginda dalam segenap dimensi meneladani umat manusia ke arah panduan yang lebih bermakna. Memang benarlah menyejuk mata bagi setiap mata memandang baginda di waktu itu sehingga menjadi suri teladan bagi generasi hari ini dan akan datang.
Kerana kejujuran dan sifat benar baginda, menyebabkan baginda digelar Al-Amin. Sesungguhnya buku ini menyusuri pelbagai perjuangan baginda dan ia sesuatu yang mesti di dalam milikan. Sayugia karangan Tuan Guru Nik Abdul Abdul Nik Mat memang tepat dan layak sebagai seorang ulama memperihal pengisian sirah Rasulullah S.A.W. Penulisan beliau cukup rapi dan dikupas dengan perincian yang baik dengan mengambil dari nas al quran, perawi hadis, para fuqaha dan tokoh-tokoh sejarah.
Saya tertarik dengan perkara Syura Islam yang dipraktikkan di zaman Rasulullah SAW. Syura merupakan suatu mesyuarat yang mengetengah buah fikiran dan pandangan di kalangan ahli-ahlinya bagi membincang sesuatu perkara. Sistem Syura Islam ternyata amat berbeza dengan pendekatan sistem demokrasi yang ditaja barat. Perbezaan antara demokrasi dan syura yang diperkenal oleh Islam diolah Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam buku tersebut:
"Demokrasi menghendaki golongan minoriti patuh pendapat majoriti, kerana majoriti adalah pihak yang menang. Tidak timbul sama ada pandangan majoriti itu bertepatan dengan syariat Allah ataupun tidak. Syura Islam hanya memperakui segala pendapat dan pandangan yang sejajar dengan kehendak syariat Allah SWT. Hakikatnya syariat Allah SWT adalah penentu segalanya. Jika pandangan majoriti dijadikan penentu, bererti pendapat manusia telah mengatasi hak Allah SWT dalam menetapkan sesuatu hukum.
Sebab itu sistem hidup yang paling mudah dilaksanakan di muka bumi ini ialah sistem Islam, kerana sebahagian besar hukum yang berkaitan dengan manusia sudah tersedia dalam al-Quran dan Sunnah. Hanya dalam perkara yang tiada nas sahaja manusia dikehendaki bermesyuarat, tetapi dalam batas-batas yang telah digariskan oleh syariat yang sedia ada. Sebab itu sebuah negara yang berlandaskan syariat Islam, tidak membenarkan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT seperti riba, judi dan seumpamanya, sekali pun ia dituntut oleh majoriti rakyatnya.
Justeru itu penting bagi ketua pentadbir sesebuah negara menguasai ilmu al-quran, as-sunnah dan juga sejarah kerana mereka bukan sekadar mentadbir negara, tetapi bertanggungjawab membimbing orang ramai ke arah keredhaan Allah SWT, iaitu melalui pelaksanaan syariat-Nya. Justeru apabila suara majoriti membuat keputusan bercanggah dengan syariat Islam, ketua mempunyai tanggungjawab membetulkan dan menolak percanggahan itu. Kerana suara majoriti tiada hak untuk bersaing apatah lagi mengatasi kehendak Allah SWT."
No comments:
Post a Comment