Tuesday, December 29, 2009

Cameron Highlands 2009


Baru-baru ini, kami bertiga ke Cameron Highlands, sebuah tempat peranginan yang tidak asing lagi di Pahang. Asalnya kembara berempat, namun salah seorang sahabat ada komitmen penting yang tidak dapat dielakkan. Maka saya, Naz, Rizal tetap meneruskan perlancongan di Cameron Highlands sebagai kembara kami bagi akhir tahun ini. Kami bertolak 8.45 pagi dari Ipoh melalui jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands. Perjalanan ini mengambil masa kira-kira sejam setengah. Oleh kerana jalan ini bengkang bengkok, pengguna jalan raya harus berhemah dalam memacu kenderaan lebih-lebih lagi di waktu hujan dan malam.
 
[25.jpg]
[3.jpg][14.jpg]  










[15.jpg] 















Cuaca hari itu agak baik. Tidak terlalu panas. Tempat yang dituju dulu ialah ladang teh di Sg. Palas, Brinchang. Ladang teh ini merupakan satu daripada 3 ladang teh milik Boh Plantation Sdn. Bhd di Cameron Highlands. Memasuki kawasan ini, jalannya agak sempit. Namun kereta tak putus-putus keluar masuk ke kawasan ini. Daun palas boleh dilihat merimbun di kiri dan kanan sepanjang jalan ini. Daun palas memang sesuai dibuat pembalut ketupat di hari raya. Di Kedah (dan sebelah utara), juadah ketupat daun palas memang terkenal dengan intinya pulut. Ketika belajar di IPT dulu, kawan-kawan saya ada saja membawa ketupat Kedah ini musim-musim raya. Usai 5 minit melalui jalan ini, kehijauan daun teh mula kelihatan dari kaca cermin kereta. Ia membuka mata siapa saja memandangnya. Kelihatan juga pekerja ladang sibuk membungkus teh yang dipangkas ke dalam guni.
 
[5.jpg][1.jpg]
 

Di Sg. Palas selain mengunjungi ladang teh, destinasi kami tidak lengkap jika tidak singgah di Boh Tea Centre. Kereta tidak dibenarkan dibawa naik ke tempat tersebut. Pelancong yang datang berjalan dari tempat meletak kereta melalui laluan yang disediakan. Kami sarapan dulu di Kafe Boh lebih-lebih lagi perut kosong setelah jauh berjalan. Teh tarik menjadi minuman pagi saya dengan sandwic tuna + pai epal sebagai pembuka selera. Orang agak ramai di kafe ini. Kebanyakannya membawa keluarga. Ya, musim cuti sekolah masih berbaki lagi! Kafe ini berkonsep terbuka di mana orang ramai boleh melihat ladang teh secara ‘live’ sambil menikmati minuman di kafe ini. Terdapat tingkap cermin kaca terang di sisi kafe manakala reka bentuk hadapannya terbuka menghadap bebukit teh. Dari sini, saya lihat kehijauan pokok teh tumbuh luas di persada berbukit seolah-olah karpet hijau terhampar di bumi. Subhanallah.. Maha SuciMu Allah. Tidaklah Engkau menjadikan alam ini sia-sia belaka. Sekali-sekala  saya merasai angin masuk di kafe ini menderu laju sehingga terasa sejuk di muka. Selain kafenya,  terdapat kedai Boh, kilang Boh dan bilik tontonan Boh yang mencuri perhatian. Masuk percuma!  

[12.jpg]  


[13.jpg]
[11.jpg]
[9.jpg] 













Kereta bergerak meninggal Sg. Palas. Destinasi diteruskan ke Gunung Brinchang. Dalam perjalanan, kami melihat banyak pokok-pokok teh di sini. Kali ini lebih tinggi dari Sg. Palas tadi. Teruja kehijauan dan kedamaiannya, kami berhenti seketika. Naz dan Rizal sibuk mengambil gambar. Suasananya aman. Anginnya membayu sejuk. Tumbuh-tumbuhan hutan mekar melangit tinggi. Kenderaan kami melewati jalan yang bersimpang siur. Kekadang berbatu. Kekadang berlubang. Kekadang curam. Harus berhati-hati.. 

[10.jpg]   
[6.jpg]
[8.jpg]  
[7.jpg] 



















Kami akhir sampai jua di sebuah tempat yang dinkenali sebagai Mossy Forest. Di sini ada parkir kereta, ada pondok, ada ruang untuk bersantai. Sebelahnya pondok ini ada tangga menuju ke hutannya. Persekitaran luarnya nampak macam biasa, tetapi melalui tangga ini ada pengalaman baru di sini. Mossy Forest atau dengan nama lain Cloud Forest merupakan hutan semulajadi yang lembap, berlumut dan basah sepanjang tahun. Pengambaraan Puteri Gunung Ledang (2005) pernah diadakan di Mossy Forest. Ada laluan trek berpapan yang telah disediakan. Melalui trek ini pengembara dibawa melihat jenis-jenis pokok yang tumbuh serta menikmati keindahan alam bergunung. Pada penghujung laluan trek, bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak, boleh terus menyusup hutan ini untuk aktiviti hiking dan pendakian sehingga ke Gunung Irau. Kabus dan sejuk sinonim dengan hutan ini. Acapkali hembusan kabus keluar dari mulut kami. Saya, Rizal, Naz luangkan masa lebih sedikit di sini.  

[29.jpg] 




[16.jpg]
[19.jpg] 



[4.jpg] 
















Dari Mossy forest kami meneruskan perjalanan dengan kereta  kami ke kawasan menara telekomunikasi. Di sini terletaknya pemancar telekomunikasi yang didirikan pada kedudukan yang tinggi. Antaranya ialah TM. Ada menara tinjau berhampirannya. Peluang tidak dilepaskan dengan memanjat anak tangga untuk sampai ke puncak menara itu. Dari menara tinjau ini kami dapat melihat gunung-ganang serta alam sekeliling terbentang luas. Sekali-sekala kabus yang dibawa angin menempias di sini. Memang menyeronokkan! Khazanah alam ini sungguh indah ciptaan Tuhan. Menara tinjau ini mempunyai 2 aras untuk sesiapa sahaja yang ingin meninjau alam semulajadi pada kedudukan yang tinggi. Bersapa dengan seorang lelaki Cina dari Kelang yang bercuti bersama keluarga di Cameron Highlands suatu bicara yang santai. Bicaranya banyak mengetengahkan maklumat mengenai Mossy Forest yang kami pergi tadi. Katanya trekking ke Gunung Irau melalui Mossy Forest sesuatu yang menarik untuk dicuba. Emm.. nampak hebat dan memikat.. aha!

[18.jpg]   
[20.jpg]  





[26.jpg] 






[22.jpg] 












Pengembaraan separuh hari ke Cameron Highland sedikit sebanyak membuka mata kami dan memberi pengalaman tentang Cameron Highlands dan sekitarnya. Di antara aktiviti kami seterusnya - 
• Ke pekan Tanah Rata  
• Bersolat di Masjid Abu Bakar 
• Ke Taman Agro Al Mashoor 
• Makan di Restoran Nur Kasih Raihan 
• Membeli-belah di Pasar Kea Farm 
 
Pada pukul 6.20 petang, kami berangkat pulang.
 
[24.jpg]
[21.jpg][23.jpg] [28.jpg][27.jpg]

2 comments:

Ku_Che11 said...

Wow menarik jee tgk cameron ni...
Salam, anjung pe kabo? still keje kt UKM lagi ker?

DAMAI SURIA said...

Ha'ah. Cameron Highlands memang cantik, tapi tak sesejuk dulu. Skrg ni dah kat perak.

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA