Sunday, January 31, 2010

Cerita Saya, Buku 2009

Bismillahirrahmanirrahim. Sebulan kita tinggalkan tahun 2009 dengan pelbagai ragam dan pengalaman. Di sebalik tirai 2009, saya berkongsi sedikit hari ini mengenai hobi saya – buku, iaitu cerita buku saya 2009. Oleh kerana meminati buku, saya perlu luangkan masa, wang dan tenaga untuk sebuah buku. Ada beberapa perkara yang mempengaruhi saya untuk membeli buku:
  • duit dalam tangan
  • promosi buku
  • pesta buku
  • dan info buku dari kawan dan media.
Tapi semuanya tidak berlaku jika tiada duit waktu itu, atau duit itu diperuntukkan dengan perkara yang lebih utama. Saya mengumpul banyak genre seperti agama, biografi, politik, ketamadunan, reka, travelog, novel dan ensiklopedia. Buku tahun lepas, paling banyak dibeli bergenre biografi dan ketamadunan. Di antara banyak-banyak buku (yang dibeli 2009) tersebut, buku terbaik bagi saya ialah The 100, The Most Influential Person in History (Michael H. Hart), Muhammad SAW, Insan Teladan Sepanjang Zaman - Kisah Hidup Nabi serta Peperangan di Zamannya (Nik Abd. Aziz Nik Mat), Aisyah Ummul Mukminin, Keangunan Sejati (Sulaiman An-Nadawi), Konflik Dunia Abad Ke-20 (sunt. Abdullah Zakaria Ghazali, Zulkarnain Abdul Rahman), Ayat-Ayat Cinta (Habiburrahman El Shirazy), Melayu - Masalah dan Masa Depan (Syed Husin Ali) dan sebuah Kamus Dewan Edisi Keempat (DBP). 

Bagi buku Muhammad SAW tersebut, saya pesan melalui pos sebagai kaedah pembelian alternatif dengan syarikat buku. Mendominasi buku-buku baru di rak saya, kebanyakan dari penerbit PTS. Perkembangan PTS dilihat menarik hari ini dalam memaju industri buku tempatan kita. Barangkali kerana judul-judulnya memikat, maklumatnya segar serta kulit mukanya cantik mempengaruhi saya untuk membeli buku-bukunya.

   

















Biasanya buku saya bawa ke mana-mana – ke pejabat, dalam kereta, waktu kembara sehingga ke katil. Masa senggang, masa terbaik untuk membaca buku. Ada sebuah buku yang saya mula baca pada tahun lepas tapi hingga sekarang tak habis baca. Tajuknya A Suitable Boy (Vikram Seth), sebuah novel inggeris. Sebab tak habis kerana kandungannya tebal, 1474 muka surat. Mula-mula semangat baca, lama-lama jadi malas pula.. aha. 

Harus diakui, buku-buku dibeli sebelum ini ada yang tak baca atau tak habis baca lagi. Namun banyak pula buku saya habis baca dalam masa setahun. Saya berprinsip tidak mahu menjadi pembaca buku dua helai muka setahun atau sebuah buku untuk setahun. Sekurang-kurangnya saya perlu habis sebuah buku dalam sebulan. Paling cepat saya baca dalam masa seminggu. Yalah, kita kadang-kadang sibuk dengan komitmen itu dan ini manakala ada masanya, misi skim and scan helaian dibuat bagi mengambil maklumat penting.
 
-->
buku-buku terpakai di Bazar Chowratsa, P. Pinang


Kedai Buku dan Pesta Buku

Menyusup masuk mana-mana kedai yang jual buku menjadi kegemaran. Saya ke kedai buku kebiasaannya bersama ahli keluarga, kawan-kawan atau sorang-sorang. Ada beberapa bentuk kategori kedai buku di Malaysia contohnya:

i) rangkaian kedai buku seperti MPH, Popular, Borders, Kinokuniya, Mynews yang didirikan di pasaraya. Biasanya rangkaian buku ini mengambil lot-lot besar untuk operasinya.

ii) Di bandar-bandar atau pekan, memang banyak kedai buku umum yang menjual buku teks, rujukan dan pelbagai genre tajuk. Ia menjadi pembekal dari banyak penerbit dalam atau luar negara. Kedai ini sentiasa mendapat perhatian dari pihak sekolah, tenaga pengajar, para pelajar dan orang awam.

iii) Kedai buku agama atau toko buku agama antara yang terlama di Malaysia yang berkembang subur sehingga ke ceruk-ceruk dan daerah-daerah. Buku-bukunya banyak dikhaskan kepada agama dalam pelbagai cabang – sejarah, akhlak, fiqh, al-quran, hadis, tauhid, syariah, tasawuf, munakahat, kepimpinan & pengurusan, dsb. Contohnya Pustaka Muda (Ipoh), Tinta Ilmu (Shah Alam), Pustaka Habibi (Sg. Petani), Jaafar Rawas (Kota Bharu), Al Fayyadh (Kluang), dsb. Ada sesetengah kedai mempelbagaikan buku agamanya dari negara Indonesia dan dari Asia Barat. Selain daripada buku-bukunya, terdapat barang-barang ibadah dijual bersama seperti songkok, sejadah, telukung, keperluan umrah dan haji.

iv) Kedai buku Cina merupakan fenomena yang tak dapat disangkal lagi. Corak kedai ini, ia menjual buku, majalah, novel, sastera, komik sama ada dari tempatan atau diimport dari China, Taiwan dan Hong Kong. Ada pun buku genre dalam komputer, masakan, arkitektur, seni atau bisnes, ia diversikan kepada bahasa Cina bagi memudahkan pembacaan di kalangan masyarakat etnik Cina di negara ini.

v) Manakala kedai-kedai buku terpakai seperti Novelhut, Bazar Chowratsa, Payless, BookXcess, dsb. menjualnya pada kadar rendah. Kedai buku terpakai tidak semestinya menjual buku-buku lama, ia juga menjual buku terbitan baru yang dijual semula atau dari syarikat buku lain yang kelebihan stoknya. Tempat ini sesuai bagi penggemar buku yang berbajet dalam soal mendapat buku.

vi) Satu lagi, di kedai buku majalah biasa yang menjual pelbagai versi akhbar, majalah kontemporari dan beberapa kategori buku disamping alat tulis. Ia semacam kedai runcit yang didirikan di merata-rata tempat. Kedai seperti ini selalunya banyak menjual pelbagai versi majalah dalam beberapa bahasa. Ia juga menjual buku-buku terbaru dan terbitan yang lepas-lepas. Melalui pengalaman saya, orang India, Mamak dan Cina selalu menjadi tauke buku ini.

 
macam-macam buku pun ada di Novelhut, Ipoh Parade
 
Seharusnya rakyat perlu berbangga dengan kehadiran kedai buku di bandar atau di desa. Kemunculan kedai buku sepatutnya dimanfaat sebagai pusat sehenti masyarakat mendapat buku dan galeri ilmu setempat. Tahun lepas saja, judul-judul buku saya beli + kumpul dari 3 buah negeri iaitu Perak, Selangor, P. Pinang dan ditambah satu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sekali-sekala seronok juga kembara buku :). Ada juga beberapa judul buku yang tamat dibaca, saya resensi dan ulaskan dalam blog ini.
 
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Kali Ke-28 

Pesta Read Malaysia tak kurang hebatnya 

Ekspo Buku UKM di bulan Ogos, 2009

Melalui penyusuran buku, seingat saya ada tiga pesta buku saya pergi tahun 2009: 
i) Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), PWTC; 
ii) Pesta Read Malaysia, Seri Kembangan; 
iii) Pesta Buku Karnival Kesenian dan Keilmuan Islam, Bangi; 
iii) dan Expo Buku UKM, Bangi. 

Paling seronok tentulah PBAKL kerana ia lebih gamat dengan pengunjung, promosi dan acaranya. PBAKL juga merupakan buku yang paling banyak saya beli dalam satu-satu masa. PBAKL akan datang, insya-Allah saya akan turun lagi memeriah pesta buku.  


Eksperisi Buku  
Kerana buku secara sosiologinya seseorang kemungkinan melalui pelbagai eksperisi seperti seronok, geram, marah, mencabar, letih, dsb. Seronok kerana menghabis bacaannya. Geram kerana tak dapat berjumpa dengan penulis. Marah kerana bukunya terkoyak. Mencabar kerana buku terbitannya kurang laku. Letih kerana kepayahan mendapatkan sebuah buku di merata tempat. Apa-apa pun, buku adalah buku. Di dalamnya terkandung ilmu. Jika dibeli relatifnya tak rugi. Jika dibaca insya-Allah memutik ilmu di dada. Selamat datang tahun baru dengan judul-judul yang menarik. Semoga para penulis mencatat suatu yang berharga bagi buku baru yang dikarangkan.



8 comments:

Afida Anuar said...

Akhir tahun baru ni beli buku Muhammad saw insan sepanjang zaman.. bagi hadiah kat teman baik. Tatau nak sambar buku apa dah. Sebelum tu dah beli buku nota hati seorang lelaki karangan ustaz pahrol mohd juoi.. pun sebagai hadiah..

Buku Aisyah tu pun dah dibuat koleksi.. Ayat2 cinta setakat pinjam dengan kawan...

DAMAI SURIA said...

Rupa-rupanya Afida pun minat buku. Bagusnye..

Ika Zulaikha said...

salam..

ur blog sgt berinformatif..tahniah..

kalau ade mase, do some review on books that u had read.

nway, sy baru je habes bace buku aisyah ummul mukmin..hehe
ayat2 cinta sy print je dr internet..skrg baru nak start bace ketika cinta bertasbih episod 1...episod 2 pun sudah dibeli dan akan dibaca kemudian..

=)

DAMAI SURIA said...

Zulaikha, sebelum ini ada beberapa buah buku saya baca diulaskan dlm blog ini. Untuk seterusnya, tunggu..insya-Allah akan dimasukkan. Terima kasih atas komen diberikan.

Belacanhangit said...

feveret spot sy "novelhut"..buku yg mahal2 dpt dgn harga murah but still ok...

DAMAI SURIA said...

Ya betul tu.. a secondhand books place. Harga diletakkan bergantung tahun terbitan.

AYIE said...

kat mana nak cari 100 most influental tu?? huhu..

kita sama la.. gile buku.. feveret saya sirah & english horror novel :)

DAMAI SURIA said...

The 100, The Most Influential Person in History boleh dicuba di MPH.

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA