LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, January 20, 2013

Universiti, Ilmu dan Penyuburannya


















Muqadimah

Ilmu mempunyai makna yang luas. Profesor  Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam membicarakan ilmu memberi takrifan "... ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang".  Inilah pengertian seorang cendiakawan tersohor bahawa ilmu yang ada pada seseorang itu dapat menjana diri seseorang dengan bidang yang diceburinya. Ia seterusnya bagaimana seseorang memaknai kehidupan dengan ilmu yang dibawanya. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam bukunya, Kuasa Iqra memberi makna “Ilmu dalam konteks semangat iqra' selamanya berorientasi tauhidik, bertolak daripada motivasi imanik dan bergerak mencapai objektif mengenal, mengagumi dan mengabdi kepada Ilahi.” Dari kaca mata saya, ilmu itu terus unggul apabila sentiasa dipelajari dan diamalkan untuk kebaikan diri dan kemaslahatan ummah.

Dalam mengungkapkan motivasi pula, ia suatu yang tidak dapat dipisahkan dalam proses pemantapan ilmu dan pembelajaran. Motivasi yang disuntik oleh guru-guru sebenarnya membangkitkan hati-hati manusia daripada terus layu. Guru adalah pembimbing terbaik. Guru bukan sahaja bersifat akademik tetapi mendorong anak-anak buah mencuba eksperimen diri  itu dan ini supaya anak-anak buahnya terus mencipta potensi diri. Selebihnya murid-murid mengemudi diri bagaimana mengadapatasi dengan kehidupan yang pelbagai ini. Buat guru-guru UUM, terima kasih diucapkan kerana mendewasakan diriku dengan ilmu dan memotivasikan pengalaman berharga. Kelak, semoga cekal selalu!


Universiti

Hari ini adalah hari terakhir saya berada di UUM sebelum bercuti semester. Perjalanan semester saya di sini sentiasa dicatatkan sebagai proses mengarap pendedahan, mencerakin ilmu dan menimba pengalaman berguna. Lebih daripada itu, peluang-peluang yang ada di kampus seharusnya dimanfaat dengan bijaksananya. Pembukaan semester berikut adalah  pada 13 Februari 2013.  Di kampus, para pelajar sibuk memunggah barang ke dalam beg dan kotak, satu tanda bahawa mereka akan pulang ke kampung halaman. Kedatangan penuntut-penuntut ke gedung ilmu membawa misi pengharapan. Dalam periode ini mereka mencipta peluang, membina diri dengan aktiviti kampus dan apa yang lebih penting mendalami pengetahuan.  Misi pengharapan ini  nanti ditukar kepada misi kejayaan apabila tamatnya pembelajaran mereka di IPT. Selepas itu penuntut akan berkerjaya dan menyumbangkan apa yang dipelajari, sama-sama membantu mengangkat negara kepada kemajuan.

Universiti adalah gedung ilmu. Peranannya dalam menjanakan keintelektualan jangan dipandang sepi. Mengambil peristiwa yang berlaku di dalam sebuah seminar mahasiswa UUM baru-baru ini, nilai keintelektualan perlu dijana bukan dinafikan semata-mata ideologi dan politik sempit. Kita tidak mahu mahasiswa disekat kerana pandangan dan ideanya. Kita tidak mahu mahasiswa digelar pendidikannya kurang tanpa periksa dan bukti. Janganlah dihina sebegitu rupa kerana kita perlu mencermin diri apakah kita benar-benar telah sempurna ilmu dan mendapat pendidikan terbaik. Universiti adalah suatu tempat persinggahan sebelum mahasiswa pergi jauh ke hadapan. Ia umpama musafir di padang pasir yang minum air  bagi menghilang dahaganya. Kemudian dia akan bertolak meneruskan perjalanannya. Persinggahan di unversiti adalah mengambil ilmu yang tercicir dan seseorang terus-menerus menimba ilmu apabila dia keluar universiti nanti. Tiada siapa dapat menafikan bahawa ilmu adalah pembelajaran sepanjang kehidupan.

Sebagai sebuah gedung ilmu,  apa yang kita dambakan mahasiswa bersama-sama kepimpinan, pensyarah, panel, moderator, staf dan warga kampus saling merencanakan gagasan percambahan idea.  "Kita perlu kembali kepada roh universiti", itulah kenyataan yang dibawa Dato' Saifuddin Abdullah dalam Forum Penyuburan Amalan Demokrasi di Malaysia di UM pada 3 tahun lepas. Dalam menncerminkan mahasiswa hari ini, Saifuddin Abdullah melihat bahawa suara mahasiswa perlu didengari, peranan mereka diiktiraf dan isu yang diketengah mereka ditangani.

Di khalayak ramai, saya lontarkan pandangan bahawa universiti ialah pusat keilmuan masyarakat. Di dalamnya ada manusia yang sentiasa mengajar dan terus belajar. Pemupukan daya keintelektualan, kajian penyelidikan, nilai-nilai keilmiahan perlu dibaja selalu. Menghargai peranan dan pandangan adalah teras membudayakan demokrasi yang matang di universiti. Membenarkan universiti berfungsi sebagai tempat penyuburan ilmu harus dipersempatkan dengan berkesan. Janganlah kecenderungan atau tekanan pihak berkepentingan menyebabkan universiti-universiti Malaysia terus jumud ketinggalan ke belakang. Ini kerana universiti yang akal budi dan bebas merupakan faktor membawa kegemilangan bangsa di persada dunia.




| cetusan Faisal |


No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA