Friday, July 15, 2011

Kartini
















Judul: Kartini
Penulis/Pelukis: Tembakau
Penerbit: PTS Milennia (Komik-M)
Tahun Terbitan: 2009
Halaman: 125
Kategori: Novel grafik
Genre: remaja, percintaan, humor
ISBN: 977-198-588-700-9




‘‘tapi apa yang kita paling nak, itulah yang kita takkan dapat…"
Kata-kata keramat dalam “Kartini”


Novel grafik ini merupakan hasil kreativiti Azhar Ahmad atau dikenali Tembakau. Idea pengkaryaan Kartini ini lahir melalui pengalaman hidup kartunis Tembakau ketika pelajar di sekolah berasrama. Kisah Kartini buat pertama kalinya pernah muncul dalam majalah humor Lanun pada penghujung 1990-an secara bersiri. Kisah Kartini tersebut pernah dibukukan dalam Siri Koleksi Lanun: Kartini sebelum dihimpun semula hari ini dalam siri Komik-M yang diterbitkan PTS Milennia.

Komik Kartini mengisahkan seorang pelajar sekolah bernama Asri bin Mohamad atau Yon atau Ariyon yang minat kepada pelajar perempuan bernama Kartini. Yon merupakan anak muda berwatakkan gila-gila, degil dan kuat cemburu yang menuntut di sekolah agama berasrama di peringkat menengah. Di samping rakan-rakannya, Halim, Ajil dan Akai, mereka berempat suka menyakat rakan-rakan di sekolah. Pertemuan Kartini secara tidak langsung ketika Kartini dan rakannya bergotong-royong mengangkat kerusi membawa kepada perkenalan pertama kali antara Yon dan Kartini. Adengan usik-mengusik Kartini dan rakannya berlaku pada ketika ini. Tiga kali pertemuannya dengan Kartini secara tidak sengaja menyebabkan Yon dan rakan-rakannya, Halim, Ajil dan Akai saling cabar-mencabar siapa yang dapat mencuri hati Kartini.

Kartini ialah pelajar junior yang digayakan dengan watak manis dan bertudung. Pada babak awal, Kartini besikap dingin dengan Yon kerana aksinya sering mengundang kemarahan Kartini. Dalam kisah Kartini, Yon pernah ditangkap kerana membuat aksi gila depan Kartini. Yon pernah diambil tindakan oleh warden sekolah kerana menghantar surat cinta Kartini. Yon juga pernah sampai dibuang sekolah apabila surat cintanya pada Kartini diketahui oleh pihak sekolah melalui ‘spot check’ di asrama perempuan. Watak Yon dihidup sebagai seorang yang sanggup bermati-matian apa sahaja untuk mencintai Kartini.

Di sekolah, nama dan wajah Kartini sering bermain-main di fikiran Yon. Namun Kartini bersikap bersahaja apabila berhadapan dengan Yon. Melangkah keluar dari alam persekolahan, Yon dengan Kartini disatukan dalam pertemuan mereka di sawah bendang. Pertemuan ini hanya bersifat pertanyaan khabar sesama mereka. Ketika itu, Yon sudah berkerja sebagai kartunis manakala Kartini menyambung belajar sebagai siswa. Rupa dan fizikal Yon agak berubah dengan berambut panjang dan berjanggut manakala Kartini tetap manis dan tidak lagi memakai tudung. Kisah mereka yang terakhir dicatatkan di tepi pantai di Terengganu. Pertemuannya dengan Kartini kali ini akan merungkai segala persoalan percintaan Yon pada Kartini. Namun dari jawapan Kartini, Yon sudah tahu bahawa cinta padanya tidak kesampaian.

Pembaca mungkin tidak berasa puas apabila jalan cerita yang ditamatkan begitu sahaja. Sebenarnya komik ini disambung pada episod seterusnya berjudul Kartini Kembali. Melalui pengamatan saya, misi karya ini mengajak pembaca menyelami kisah Kartini dengan gelagat Yon yang ingin memenangi hatinya. Dari segi watak, Kartini dan Yon ditonjolkan sebagai protagonis. Namun bagi saya terdapat kekurangan dari segi watak-watak di sekeliling Kartini dan Yon. Umpamanya, kawan-kawan Yon seperti Ajai dan Akai kecuali Halim tidak dipehebatkan kisah mereka. Tiba-tiba sahaja muncul watak-watak baru yang entah dari mana ketika Yon ingin pergi ke Terengganu mencari Kartini. Begitu juga watak rakan-rakan Kartini agak lemah. Tidak disebut siapakah teman karib Kartini ketika saat berkongsi suka dan duka. Elemen watak dalam garapan sebuah komik jika diperkemaskan lagi dapat mencantikkan plot Kartini tersebut.

Secara keseluruhan, komik ini diadaptasikan dengan elemen percintaan, remaja, nilai sifat positif dan negatif termasuk unsur humor tidak dilupakan. Penceritaan ini mungkin dapat mengimbau nostalgia pengalaman para pembaca di luar sana yang pernah mendiami asrama tatkala lukisan suasana di sekolah berasrama kuat diserlahkan oleh Tembakau dalam helai-helaiannya.

3 comments:

Afida Anuar said...

Alaa, saya duk asrama setahun je....takde apa nostalgia yang boleh diimbau... errr:D

DAMAI SURIA said...

Duk setahun je. Apa kes ni.. Afida lari dari asrama ke ni. aha.

Afida Anuar said...

he he..Masa tu belajar kat SMKA, kebetulan rumah pun tak jauh. Jadi ada option nak duk n tak nak..so masa form 1 terai rasa duk asrama... macam cannot go la. Dugaan berat sangat....errr...pastu duk la kat rumah sampai la form 5. Masuk U baru duk asrama balik.. nak kata anak manja..boleh jugak kot.. dulu2 la..errr;).

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA