Friday, September 23, 2011

Membedah buku Rojak Fakta Malaysia













Judul : Rojak Fakta Malaysia
Penerbit : ZI Publications
Penerbit Asal :  Editions Didier Millet (2009)
Halaman : 164
Tahun Terbitan : 2011
ISBN : 9789675266164
Genre : fakta, Malaysia, anekdot, peristiwa



Apabila terpandang kulit muka buku ini di MPH, saya tertanya kenapa logo Persekutuan Malaysia pada muka buku ini diilustrasi tidak begitu asli dengan asal. Ada apa dengan buku ini, fikir saya sambil menyelak halaman di dalamnya. Apabila diselak helaiannya, ada unsur-unsur ilmiah yang mecuri perhatian saya dan dengan tidak mengambil masa yang lama saya memutus untuk membelinya di kaunter.

ROJAK FAKTA MALAYSIA yang dijudul pada buku ini sangat berkait rapat dengan ciri-ciri Malaysia. Maksudnya, buku ini cuba merungkai segala fakta, angka, ungkapan dan anekdot berkisar sejarah, politik, agama, bahasa, kebudayaan, tokoh, ekonomi, iklim, haiwan dan apa saja berkaitan dengan Malaysia. Buku yang diterbitkan ZI Publications ini adalah terjemahan dari MALAYSIA AT RANDOM (Didier Millet).

Dari buku ini saya diinformasikan bahawa:
  • Cameron Higlands dinamakan sempena William Cameron, juruukur pemerintah kolonial British menemui kawasan tanah tinggi itu pada tahun 1885.
  • Menara Kuala Lumpur mempunyai ketinggian 421 meter.
  • 1 chupak bersamaan 1.14 liter dan 1 gantang bersamaan 4.55 liter.
  • Mana-mana orang yang menunggang gajah di mana-mana jalan raya awam tanpa kebenaran Ketua Pegawai Polis atau pegawai yang diberi kuasa olehnya akan didenda tidak melebihi RM50. (Akta Kesalahan-Kesalah Kecil 1955)
  • Maybank, Public Bank, CIMB, Genting Parkson, Celcom, Astro, Petronas, DiGi dan Hong Leong adalah 30 Jenama Malaysia paling bernilai tahun 2008. (Interbrand)
  • Perkataan 'ringgit' bermakna bergerigi dalam bahasa Melayu. Asalnya merujuk kepada bahagian bergerigi pada wang perak Sepanyol yang digunakan meluas di Asia Tenggara suatu masa dulu. (News Straits Times)
  • Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid merupakan profesor Melayu yang pertama.
  • Filem Malaya pertama ialah Laila Majnum, dihasilkan pada tahun 1933.
  • Kumpulan nasyid Raihan memegang rekod jualan album tempatan tertinggi sebanyak 700,000 unit pada tahun 1996 (News Straits Times)
  • Daun paling besar di dunia (jenis tidak berbelah) ialah dari pokok Alocasia Macrorbiza.
  • Perpustakaan pertama, Reading and Recreation for Officers pernah dibuka di Taiping pada 1882.
    Oleh kerana ia sebuah rojak maklumat, saudara akan mendapati maklumatnya tidak disusunkan mengikut bidang. Ia dicampur aduk antara halaman dan tiada Kandungan Bab dimasukkan pada buku setebal 164 muka surat ini. Bagi topik yang dibicarakan, ia dicetakkan dengan teks, rajah, angka atau simbol. Malah ilustrasi yang digambarkan dalam buku ini agak cantik. Penulis juga tidak lupa memasuk rujukan agar ikhbar maklumat adalah dari sumber-sumber yang dipercayai.

    Saya juga mendapati perkara remeh-temeh seperti salah terjemahan dari filem, puisi kongsi gelap, orang makan orang, maksud bunyi orang utan, salah laku dakwaan penarik beca, bagaimana buat kodok mengigit, laluan lawatan hantu Spookster di KL dan perkara berkaitan dengan seksual turut dimasukkan.

    Saya kira penulis ini membuat banyak kajian dan siri pembacaan sebelum sedia untuk mengangkat karya ini ke pasaran. Dari segi kandungannya, teksnya agak ringkas, padat dan tidak berjela-jela dengan metafora bahasa. Benar, untuk pembaca akan tertarik kepada sesuatu  fakta,  ia perlu  terang, tidak berbunga-bunga supaya ia dapat membawa kepada ingatan dan hafalan pada pembaca. Sekurang-kurangnya, saya suka pada penghasilan terbitan ini kerana ia adalah fakta untuk mengenali negara Malaysia lebih dekat.





    No comments:

      © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

    DAMAI SURIA