Monday, August 13, 2012

Memeka Nasib Umat Islam di Myanmar


Tatkala kita gembira dengan kejatuhan rejim pemerintahan di Tunisia, Libya dan Mesir, kebangkitan rakyat diraikan dan kemunculan sinar Islam terus dinantikan. Kemunculan Islam yang syumul diharapkan dapat membina kegemilangan tamadun Islam yang pernah dilenyapkan sejak 1921 di Turki.


Biarpun kita menyenangi kebangkitan rakyat menggantikan pemerintahan kuku besi, di suatu sudut  kita amat bersimpati pergolakan umat Islam di Myanmar. Umat Islam di sana bergelumang dengan berbagai penindasan. Saudara kita diusir dari bumi tanah tumpah darahnya digantikan dengan pembunuhan berdarah. Saudara-saudara kita dinista, diusir, diserang, dipukul, dibelasah, diumpan dan disembelih. Rumah-rumah kediaman menjadi tempat berteduh terus dibakar. Hak-hak mereka dirampas lalu dinafikan. Anak-anak perempuan Islam dirosak kehormatannya. Kanak-kanak  menjadi mangsa rakus tidak berperikemanusiaan. Ini semua direkayasa junta biadab Myanmar.

Atas nama pembersihan etnik, ia tidak ubah seperti yang berlaku di Palestin sejak 1948 dan tidak berbeda apa yang berlaku di Bosnia Herzegovina pada tahun 1992. Dalam suasana dunia menerima kedatangan Ramadhan di tahun ini dan dalam masa dunia menumpukan sukan Olimpik berprestij,  apakah kepedulian kita terhadap saudara-saudara kita di sana masih ada? Bagaimana kita mendepani isu ini tatkala kita menghirup berkah Ramadhan manakala saudara-saudara seagama dengan kita bergelut derita dan sengsara? Andainya seluruh negara-negara Islam dunia bersatu, ketidakgerunan oleh musuh-musuh Islam dapat dipencilkan, jauh sekali menyempit kehidupan umat Islam seanteronya.

Mengambil petikan firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal:


"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh)  segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya  kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya. [Al-Anfal 8: 60]

Saudara, ambil inisiatif untuk membantu mereka. Pekalah nasib mereka di sana. Lantas, usahakanlah  semampu mungkin: kewangan mahupun material melalui saluran yang ada. Doakanlah mereka di sana. Pastinya pintu langit terbuka luas di Ramadhan mulia ini. Semoga mereka selamat dari tangan-tangan yang zalim.

"Ya Allah ya tuhan kami, selamatkanlah umat Islam kami di Myanmar, lindungilah mereka, bantulah mereka. Tempatkanlah mereka di bawah naunganMu. Mudahlah urusan mereka di sana. Ya Allah, pecah-belahkan puak kuffar mengganggu-gugat kedamaian umat Islam Myanmar. Amin, ya rabbal 'alamin."


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgY-ONiI4hvrBlAUQfzTf_9WIC2r6m9AlWOAdJk-g5D31xilt2Pa4upcv1_oe1lpTkrORyU3qeK8FMNouDketJAU1z06-W65R3lcUg2e-Tr6pI-NmsjEg60-zTGu9uZVirScmU6sIzoXywk/s1600/faisal.png

No comments:

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA