Tuesday, September 30, 2008

Menelusuri Sirah Nabi dan Para Sahabat ( الصحابه )

Saya sepanjang Ramadhan, menelusuri sirah Nabi yang mengisahkan kehidupan dan perjuangan junjungan mulia Rasulullah S.A.W.  Beberapa buah buku mengenai sirah ini saya dapatkan dari perpustakaan. Juga sebuah buah buku lama terjemahan dari Indonesia, saya fotostat menjadi bahan simpanan di pustaka rak buku. Hadis-hadis Rasulullah S.A.W. diteliti. Ternyata mengandungi manfaat dan kebijaksanaan. Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. tetap menjadi suri teladan kita sepanjang zaman. Jasa dan pengorbanan baginda dikenang menjadi ikutan ummat manusia. 

Terdapat ayatul quran yang menerangkan keprihatinan Rasulullah S.A.W. pada umatnya yang bermaksud "Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu sendiri. Berat terasa olehnya penderitaan kamu, sangat mengambil berat akan ehwal kamu, amat belas kasihan dan penyayang terhadap orang-orang mukmin" (Surah At-Taubah:128)
 
Saya mengimbas profil Rasul-Rasul. 25 para Rasul yang wajib diketahui menjadi sumber ilmu yang menceritakan beberapa kisah yang dapat diambil pedoman dan iktibar. Kisah para Rasul banyak diceritakan di dalam Al Quran. Nabi Daud a.s. dengan suaranya merdu. Kepadanya diturunkan kitab Zabur. Nabi Sulaiman a.s. dengan kekuasaan ke atas makhluk jin, binatang dan serangga. Nabi Ayyub a.s. dengan cubaan iblis yang mengganggu keimanannya. Usaha iblis menggodanya terhadap harta, anak dan penyakit sedikit pun mengugat keimanan Nabi Ayyub a.s. 

Kisah Nabi Yunus a.s. dengan penduduknya dijadikan iktibar. Nabi Yunus juga diuji ketika berada di dalam perut ikan besar sambil berdoa kepada Allah S.W.T.  Doa Nabi Yunus a.s. diamalkan kita hari ini yang berbunyi: لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنتَ ، سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ (Tiada Tuhan melainkan Engkau (Ya Allah), Maha suci Engkau (Ya Allah), Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiayai diri sendiri. (Surah Anbiya':87) Nabi Zakaria a.s. dengan Maryam, wanita suci yang dijaganya juga diambil iktibar. Manakala Nabi Isa a.s. dalam menyampai dakwah ditemani oleh para sahabatnya yang terdekat seperti yang disebut dalam Al Quran dengan dikenali sebagai Al hawariyun. Nabi Isa a.s. diangkat ke langit, diselamatkan oleh Allah S.W.T. dari rencana jahat golongan munafiq.
 
4 Khalifah utama (Khulafa Ar Rasyidin) yang menerajui umat Islam di masa lalu mewarnai sejarah kita dengan pelbagai rintangan dan cabaran - Abu Bakar As-Sidiq r.a, Umar Al Khattab r.a, Usman bin Affan r.a dan Ali bin Abi Talib r.a. Saya juga meneruskan penelusuran saya pada sahabat-sahabat di zaman Nabi termasuk srikandi yang mendukung perjuangan Rasulullah SAW dalam menyebarkan Islam, membantu dalam peperangan, mendirikan kota suci Madinah & Makkah dan menyumbang tenaga, idea, masa, jiwa dan harta kepada agama Islam. 

Nama-nama seperti Abdul Rahman bin Auf, Zaid bin Harithsah, Bilal bin Rabah, Saad bin Rabi', Mus'ab bin Umair, Saad bin Abi Waqqas, Summayah binti Khubbath, Umamah binti Abu Al-Ash, Ummu Sulaim, Nasimah binti Ka'ab, Anas bin Nadhr, Hamzah bin Abdul Muthalib (singa Allah), Ammar bin Yasir, Abdullah ibn Jahsy, Abu Dzar Al-Ghifari, Abu Hurairah, Anas ibn Malik al-Ansari, Suhail bin Amr, Khalid bin Al Walid (pedang Allah), Abu Talhah merupakan watak-watak realiti yang menyinari di jalan Allah S.W.T.  Sumbangan mereka tidak terbayar dengan harga. Hanya pahala dan ganjaran disisiNYa menaung mereka.
 
Di kala bulan Ramadhan, kita menyaksikan pelbagai program agama muncul kembali melengkap santapan rohani ummah di negara dan serata dunia. Kita yang di Malaysia berpeluang menontoni program Jejak Rasul, Al-Risalah, Syahadah termasuk program yang disusun dari radio Ikim yang merupakan wadah menjejak semula kisah para Rasul, Anbia dan para sahabat. Program TV9 menyadurkan rancangan Ustaz Zamri Bercerita yang menceritakan kepada kanak-kanak mengenai kisah-kisah perjuangan Nabi-Nabi terdahulu. Semoga program seumpama ini berterusan seadanya. Emm..Ramadhan kali ini nampaknya menyajikan rohaniku dengan ilmu sirah Nabi dan para sahabat.

 

Thursday, September 18, 2008

Al Quran Explorer

Pada  17 Ramadhan, setiap tahun di Malaysia kita mengingati hari dimana Al Quran diturunkan pada malam  bulan yang berkat yang menjadi cahaya petunjuk bagi manusia. Al Quran diturunkan melalui perantaraan malaikat Jibril. Pada malam tersebut, malaikat Jibril memeluk erat Muhammad S.A.W. sebanyak 3 kali menyuruh baginda membaca. Inilah wahyu pertama yang diturunkan Allah S.W.T. kepada Muhammad S.A.W. dan inilah saatnya pelantikan Muhammad S.A.W. sebagai Rasulullah (utusan Allah) membawa risalah ke seluruh umat manusia.

Ayat tersebut bermaksud: " Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk);   Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;   Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah;   Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan;   Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.  ." (Al-'Alaq: 1-5)

Sempena di bulan Ramadhan yang mulia ini, bulan yang terdapatnya Al Quran diturunkan, disertakan bersama link quran explorer: http://www.quranexplorer.com yang membawa kita ke web sistem al quran digital atas talian. Sistem ini menjayakan menu-menu seperti qari, tajwid, juzuk, ayat-ayat pilihan selengkap 114 surah dengan mentafsirkan al quran ke dalam beberapa bahasa termasuk bahasa kita.



* About QuranExpoler
QuranExplorer.com was started in October, 2005, by a group of Sunni Muslims living in Orlando, Florida, USA. Our goal is to spread the message of the Holy Quran to all mankind (Muslims and non-Muslims) throughout this world free of cost. Furthermore, we want to advocate peace and tranquility by making people cognizant of the true message of Islam. We hope and pray that this web portal will serve as a source of guidance and light for all human beings throughout the face of this earth, regardless of race, color, age, nationality, and religion (Aameen). QuranExplorer.com

Tuesday, September 16, 2008

Belajar Dari Dua Umar - Kenyangkan Perut Rakyat









Judul: Belajar Dari Dua Umar - Kenyangkan Perut Rakyat  
Penulis: Hepi Andi Bastoni  
Pandangan Sisi : Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat  
Mukasurat: 130  
Penerbit: Anbakri Publika


 
Buku Belajar dari Dua Umar - Kenyangkan Perut Rakyat ternyata memberi kesan teladan dalam kepimpinan yang harus dicontohi kepada pemerintahan hari ini. Penulis Hepi Andi Bastoni bijak mengumpul beberapa siri perjuangan Rasulullah S.A.W., khalifah-khalifah dan para sahabat dalam menelusuri kehidupan bermasyarakat. Penulisan beliau juga membandingkan pemerintahan Nabi Muhammad S.A.W., khalifah-khalifah dan sahabat-sahabat dengan pemerintahan hari ini penuh dengan ketidaktelusan, rasuah, penyelewangan serta penulis memberi pandangan penambahbaikan sistem pemerintahan kerajaan hari ini dengan menekankan keadilan, syariat, pengagihan sumber negara yang berhemah, meningkat kesejahteraan rakyat dan penerapan Islam dalam pemerintahan.

Beberapa perkataan sinonim dengan pemerintah dan rakyat seperti kekuasaan, kezaliman, kekayaan, kemiskinan, keadilan mendominasi penulisan beliau. Ketokohan Dua Umar: Umar Al Khattab dan Umar Abd Aziz sebagai Khalifah ternyata meninggalkan kesan yang mendalam kepada kepimpinan rakyat. Kata-kata Khalifah Umar Al Khattab r.a. seperti "Aku orang pertama yang merasa lapar kalau rakyat kelaparan dan orang terakhir yang merasa kenyang kalau mereka (rakyat) kenyang". Begitu juga kisah Umar Abd Aziz r.a dengan anaknya, apabila beliau memadamkan lampu ketika menerima kedatangan anaknya. Beliau tidak mahu menggunakan kemudahan negara untuk keperluan peribadi dan keluarga.

Pandangan sisi / wawancara bersama Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan mengenai ketokohan dua Umar dan lontaran pandangan beliau melengkapkan kandungan buku ini yang mana beliau terkenal dengan sikap kesederhanaan dan ciri-ciri kepimpinan Islam dalam pemerintahan beliau.

26 tajuk dalam buku ini mengandungi:  
Antara Usaha dan Pertolongan Allah  
Bersedia Sebelum Musuh Bersatu  
Kenyangkan Perut Rakyat  
Menentukan Sikap Piawai 
Menangani Perbezaan  
Menghidupkan Semangat Anti Kezaliman  
Jangan Jadi Pengecut  
Belajar Berdoa daripada Para Nabi  
Bersama Membina Kekuatan  
Gendang Perang sudah Ditabuh  
Mencari Pendukung di antara Musuh  
Membuat Musuh Pasif  
Mendamba Hakim yang Adil  
Cerdas dalam Berdakwah  
Bersatu Melawan Badai 
Fitnah Menutup Ruang untuk Musuh  
Membumikan Cita-cita Belajar daripada Dua Umar  
Berdakwah di tengah Fitnah  
Menebar Ketenangan Meraih 
Simpati Memerangi Kemiskinan  
Berwaspada dengan Pakatan Kafir
Ke Arah Berdikari  
Tradisi Menuntut Ilmu  
Hilangkan Dengki 
Satukan Suara  
Kekuasaan itu Harus Direbut  


"Dua Umar ini adalah pemimpin yang mula-mula melaksanakan kepimpinan Negara Berkebajikan. Mereka mengajar rakyat bagaimana hidup dalam berkat kemiskinan atau kaya dalam petunjuk dan cahaya"  
- Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan  

"Penulisan sejarah sahabat atau tokoh Muslim, boleh menjadi rujukan kepada masyarakat. Bahawa, mereka memimpin dengan penuh keteladanan dan peribadi yang mempersona didasari al-Quran dan Sunnah. Semoga buku ini mampu meluruskan distorsi sejarah Islam dan tokoh-tokohnya."  
- Ahmad Mansur Suryanegara, Sejarawan Muslim Indonesia  


"Saya ingin mencontohi Khalifah Umaiyah, Khalifah Umar Abdul Aziz dalam gerak kerja saya."  
- Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

Sunday, September 7, 2008

Majalah Design..satu muqadimah

Meneliti beberapa majalah design pada rak buku rumah saya. Ahah.. nampaknya penuh di rak. Majalah seperti I.D., Anjung Seri, l'Arca, Interior Design, In Design, Impiana, Layers, Monocle melengkapi ruang di beberapa rak di sudut rumah. Semalam saya sempat menjengah sebuah majalah reka kereta di Perpustakaan Tun Razak Ipoh - menelaah sketching, reka bentuk, kejuruteraan & teknologi kereta dan orang kuat belakang tabir yang membangun model kereta Malaysia. Majalah seperti ini dah mula tumbuh di Malaysia. Baguslah, satu ilmiah..melengkapkan majalah industrial design dalam bidang automatif. 

Saya meminati design sebagai suatu ilmu tambahan. Abang minat pada seni dan filosofi, adik pula mengambil bidang arkitektur dan disamping keluarga meminati hiasan dan landskap. Anak saudara2 suka sangat melukis. Pantang dijumpanya kertas ade saja benda nak dilukis. Tapi biarlah.. bukan kita nak didik menjadi cita2 seorang pelukis. Tapi.. bakat yang ada ditonjol membudayakan idea2 dan bersifat kreatif. Graphic design, product design, arkitekur moden, arkitektur landskap dan sentuhan senibina Islam bidang design saya minati. 

Saya sedikit sebanyak berpangalaman dalam graphic design. Sebenarnya apabila bercakap pasal design, kita tidak boleh lari dari kaitannya dengan seni, reka bentuk, model, warna, dan kalau advance lagi.. falsafahnya. Posting topik design ini merupakan muqadimah pertama saya yang merintis kepada topik2 blog mengenai design di masa2 akan datang, insya-Allah.

Monday, September 1, 2008

Berpuasa di bulan Ramadhan

Ramadhan kembali lagi. Umat Islam berpuasa sebagaimana diwajibkan umat Islam terdahulu.
Firman Allah S.W.T.
" Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang dahulu daripada kamu. Semoga kamu beroleh taqwa."
( Al Baqarah 2: 183 )
Hikmah Puasa.
  • Melatih jiwa dan menahan nafsu syaitan. Menguji kesabaran dan keimanan dalam memenuhi tuntutan berpuasa. (berpuasa dari makan dan minum. berpuasa juga dari melakukan perkara-perkara tidak elok)
  • Melahirkan rasa insaf dan kesedaran terhadap orang-orang miskin yang lapar dan dahaga
  • Menyihat tubuh badan. Maksud hadis: "Berpuasalah kamu supaya kamu sihat"
  • Melatih manusia bersifat ikhlas dan meyemai nilai-nilai baik dalam diri.
Ramadhan dalamnya penuh dengan barakah tidak terhitung ganjarannya bagi hamba-hambaNya yang mengerjakan ibadah puasa, solat-solat dan amalan serta kebajikan di bulan mulia ini.
Selamat mengerjakan amal ibadah dan menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam. Semoga beroleh taqwa.

  © Powered by Blogger Theme ProBlogger, by Ourblogtemplates.com 2008

DAMAI SURIA